Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Laluan berbasikal baru akan dibina di 7 bandar SG

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 12 Jan 2023 03:06PM Dikemas Kini : 12 Jan 2023 08:51PM
SINGAPURA: Laluan-laluan berbasikal baru akan dibina di tujuh bandar di Singapura di bawah fasa baru dalam program rangkaian berbasikal Penguasa Pengangkutan Darat (LTA).

Ia akan dibina di Geylang, Hougang, Kaki Bukit, Marine Parade, Potong Pasir, Sengkang dan Serangoon.

Laluan baru itu akan menghubungkan para penduduk dengan prasarana utama pengangkutan, pusat kejiranan dan sekolah-sekolah, serta meningkatkan laluan berbasikal antara bandar.

Demikian menurut LTA pada Khamis (12 Jan).

Laluan-laluan berbasikal terbaru itu akan selesai dibina secara bertahap-tahap dari 2024.

LTA sudah membuka tender bagi pembinaan laluan-laluan tersebut.

Untuk menyesuaikan laluan-laluan tersebut sejajar dengan infrastruktur yang dirancang, laluan-laluan pejalan kaki dijangka diperluaskan untuk menyediakan ruang lebih besar bagi para pejalan kaki dan pengayuh basikal.


"Disebabkan hambatan ruang di sekitar bandar-bandar matang dan dipenuhi dengan bangunan, langkah penyesuaian terhadap ruang jalan serta kemudahan termasuk longkang, perhentian bas dan tangga mungkin diperlukan," nyata LTA.

Tambah LTA, pihaknya akan bekerja rapat dengan agensi-agensi lain untuk melakukan penilaian terhadap kebolehlaksanaan teknikal bagi pilihan-pilihan demikian.

Ia juga akan mendampingi pihak-pihak berkepentingan tertentu sebelum sebarang perubahan dilaksanakan terhadap kemudahan-kemudahan sedia ada.

Program Rangkaian Berbasikal Seluruh Negara LTA diperkenalkan pada 2020. Ia menetapkan sasaran untuk memperluaskan laluan-laluan berbasikal seluruh negara kepada sekitar 1,300 kilometer menjelang 2030.

Setelah program itu selesai dibangunkan, lapan daripada 10 penduduk Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) dapat mengakses rangkaian laluan berbasikal itu dalam masa beberapa minit saja. Ia sekali gus merangsang pengangkutan hijau, seperti berjalan kaki atau berbasikal.

Laluan-laluan berbasikal sepanjang lebih daripada 30 kilometer sudahpun selesai dibina di Ang Mo Kio, Bishan, kawasan pusat bandar (CBD), Taman Jurong, Tampines dan Toa Payoh.

Ia memperluaskan rangkaian tersebut kepada lebih daripada 530 kilometer.

Kecuali kawasan CBD, terdapat 10 bandar yang sudah dilengkapi dengan laluan berbasikal, termasuk Bedok, Changi-Simei, Daerah Tasik Jurong, Pasir Ris, Punggol dan Sembawang.

Kerja-kerja masih sedang dijalankan di Bishan, Bukit Panjang, Choa Chu Kang, Toa Payoh dan Woodlands.

Menurut LTA, ketersambugan antara bandar melalui berbasikal juga bertambah baik.

Di Daerah Tasik Jurong, laluan berbasikal baru juga menghubungkan para penduduk dengan bandar-bandar berdekatan seperti Choa Chu Kang dan Bukti Batok.

LTA turut merancang untuk meningkatkan bilangan tempat letak basikal. Setakat ini, terdapat 254,000 ruang letak basikal di Singapura.

Dalam pada itu, sebanyak 3,000 lagi ruang akan disediakan di stesen MRT menjelang 2025.

Tambahan lagi, infrastruktur sokongan yang lain seperti lintasan basikal, tanjakan bagi kerusi roda dan papan peta turut akan disediakan.

 
Sumber : CNA/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan