Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Laluan berbasikal baru 6km dilancarkan di kawasan CBD SG

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 27 Nov 2022 01:39PM Dikemas Kini : 27 Nov 2022 09:11PM

SINGAPURA: Laluan-laluan berbasikal baru sepanjang 6 kilometer di kawasan pusat bandar (CBD) Singapura, dari Clarke Quay hingga ke Bayfront dan Tanjong Pagar, dilancarkan pada Ahad (27 Nov). 

Rangkaian laluan berbasikal di bahagian tengah Singapura itu menghubungkan beberapa stesen MRT termasuk Clarke Quay, Tanjong Pagar dan Telok Ayer. Ia juga melalui tiga stesen MRT yang baru dibuka di Laluan Thomson-East Coast (TEL) iaitu Shenton Way, Marina Bay dan Taman di Pesisiran. 

Laluan basikal itu ditandakan dengan logo pengunggang basikal dan dengan garis tebal atau putus-putus, sama ada adalam warna merah atau kuning, di laluan pejalan kaki, menurut Penguasa Pengangkutan Darat (LTA). 

Dengan laluan-laluan berbasikal baru tersebut, kawasan CBD kini menyediakan laluan berbasikal dan penghubung taman sepanjang 21 kilometer.

Bercakap semasa pelancaran laluan berbasikal tersebut pada Ahad, Menteri Pengangkutan S Iswaran mengulas tentang potensi untuk menjadikan berjalan kaki dan mengayuh basikal sebagai kaedah perjalanan pilihan di CBD dan kawasan bersejarah di Singapura.

Encik Iswaran menambah laluan-laluan baru tersebut akan memudahkan perjalanan orang ramai dari stesen-stesen MRT ke tempat-tempat tumpuan seperti Tanjong Pagar Plaza, Lau Pa Sat, Pusat Penjaja Market Street dan Hong Lim Complex serta juga ke daya tarikan terkenal seperti Marina Bay dan Bendungan Marina.

Ada sekitar 4,800 tempat letak basikal awam di kawasan CBD yang terletak berdekatan stesen MRT, tempat-tempat dan kemudahan popular serta nadi pengangkutan lain. Ini termasuk 120 tempat letak basikal yang disediakan LTA menerusi pembangunan semula 12 tempat letak kereta di tepi jalan.

Encik Iswaran berkata kini pemaju lebih berminat untuk menyokong perjalanan aktif. Pemaju boleh memohon Geran Pengangkutan Aktif LTA untuk menyediakan kemudahan-kemudahan seperti tempat mandi dan lokar yang boleh digunakan setibanya di destinasi setelah mengakhiri perjalanan. 

LTA akan membantu membiayai bersama sehingga 80 peratus kos binaan, tidak melebihi S$80,000 bagi setiap pembangunan. 

Pihak berkuasa itu juga sedang mengkaji kesesuaian untuk menyediakan lebih banyak laluan berbasikal di banyak lagi kawasan tengah Singapura seperti di Orchard, Newton, River Valley, Rochor dan Outram.

Sumber : CNA/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan