Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Laluan berbasikal bagi hubungkan Geylang, Queenstown dengan kawasan bandar sedang dirancang

Sepanjang tempoh lima tahun mendatang, prasarana berbasikal di Singapura akan diperluaskan dengan rangkaian laluan berbasikal yang baru di Woodlands, Toa Payoh, Choa Chu Kang, Geylang dan Queenstown, menurut Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) pada Selasa (26 Mac).

Anggaran Waktu Membaca:
Laluan berbasikal bagi hubungkan Geylang, Queenstown dengan kawasan bandar sedang dirancang

(Gambar: AFP)

Diterbitkan : 26 Mar 2019 07:01PM Dikemas Kini : 26 Mar 2019 07:03PM

SINGAPURA: Sepanjang tempoh lima tahun mendatang, prasarana berbasikal di Singapura akan diperluaskan dengan rangkaian laluan berbasikal yang baru di Woodlands, Toa Payoh, Choa Chu Kang, Geylang dan Queenstown, menurut Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) pada Selasa (26 Mac).

Woodlands akan mempunyai salah satu rangkaian berbasikal paling luas dalam kawasan bandar, dengan laluan sekitar 20 kilometer ditambah pada laluan sedia ada dan Rangkaian Penyambung Taman (PCN), menurut LTA.

Laluan-laluan baru itu akan menghubungkan para penduduk melalui empat stesen MRT: Marsiling, Woodlands dan Admiralty di Laluan Utara-Selatan (NSL) serta stesen Woodlands South di Laluan Thomson-East Coast. Akses dengan kemudahan-kemudahan utama dan estet-estet perindustrian juga akan dipertingkat.

Menurut LTA, rangkaian berbasikal sejauh 7 kilometer akan dibina di Toa Payoh. Para penduduk akan menikmati "ketersambungan yang lebih baik" antara kediaman mereka dengan pusat bandar Toa Payoh dan stesen-stesen MRT Braddell dan Toa Payoh.

Perhentian bas di kawasan berkenaan juga akan diubah suai untuk menampung para pengayuh basikal dan pejalan kaki.

Sementara itu, rangkaian berbasikal di Choa Chu Kang akan diperluaskan dengan tambahan 12 kilometer.

Pihak berkuasa sedang menjalankan kajian bagi meluaskan lorong jalan kaki di Jejambat Choa Chu Kang West kepada 2.5 meter yang boleh dikongsi dengan pengguna lain dan ia akan menghubungkan bandar itu dengan Yew Tee, yang buat masa ini dipisahkan oleh Ekspreswe Kranji.

LTA menambah, laluan berbasikal baru di Geylang (sepanjang 150 meter) dan Queenstown (2.3 kilometer) akan dihubungkan dengan PCN sedia ada. Ini akan membolehkan para penduduk di kawasan itu untuk mengayuh basikal secara langsung ke kawasan bandar.

Semua laluan berbasikal yang sedang dirancang masih lagi di peringat awal dan bergantung kepada kajian kebolehlaksanaan, menurut LTA. PIhaknya akan terus bekerjasama dengan agensi-agensi relevan untuk memastikan terdapat rangkaian laluan berbasikal di setiap bandar HDB menjelang 2030.

Dalam kenyataan medianya, LTA turut mendedahkan bahawa pihaknya akan membuka tender untuk membina laluan-laluan itu pada lewat tahun ini.

LTA juga akan membuka tender reka bentuk untuk meninjau bagaimana laluan berjalan kaki dan mobiliti aktif di Daerah Tasik Jurong dan bandar-bandar di sekelilingnya boleh dipertingkatkan.

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan