Skip to main content

Singapura

Laluan berbasikal 11km siap di Choa Chu Kang-Yew Tee

Anggaran Waktu Membaca:
Laluan berbasikal 11km siap di Choa Chu Kang-Yew Tee

Lintasan berbasikal di Choa Chu Kang Drive berdekatan Sekolah Rendah Kranji. (Gambar: LTA)

SINGAPURA: Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) pada Ahad (25 Ogos) mengumumkan bahawa pembinaan rangkaian laluan berbasikal Choa Chu Kang-Yew Tee sudah selesai dijalankan.

Laluan berbasikal sepanjang sekitar 11 kilometer itu, dilancarkan oleh Timbalan Perdana Menteri Gan Kim Yong, yang juga merupakan Penasihat Akar Umbi kepada Pertubuhan-Pertubuhan Akar Umbi GRC Chua Chu Kang.

"Para penduduk kini boleh berbasikal secara selamat dan mudah ke pelbagai kemudahan di dua kawasan kejiranan, seperti Kelab Masyarakat Chua Chu Kang, Lot One, Pusat Beli-Belah Tech Whye, Sunshine Place dan Yew Tee Point," menurut LTA.

"Laluan berbasikal ini juga saling melengkapi sebilangan penghubung taman sedia ada, menyediakan lagi keterhubungan lebih baik ke taman-taman termasuk taman Choa Chu Kang dan Yew Tee."
 
Peta Rangkaian Laluan Berbasikal Choa Chu Kang-Yew Tee. (Gambar: LTA)
Dengan rangkaian laluan berbasikal sudah siap dibina, semua stesen di laluan LRT Bukit Panjang, mahupun stesen MRT Yew Tee dan Choa Chu Kang kini boleh diakses laluan-laluan berbasikal.

Lebih 300 lot letak basikal juga ditambah di stesen MRT Choa Chu Kang, mahupun stesen-stesen LRT Keat Hong, Phoenix, South View dan Teck Whye.

"Mereka yang merancang untuk menggabungkan mod lebih aktif apabila melakukan perjalanan dari satu tempat ke tempat lain, kini mempunyai pilihan untuk berbasikal ke kemudahan-kemudahan di kawasan kejiranan seperti Bukit Panjang, dengan rangkaian laluan berbasikal menghubungkan kawasan-kawasan itu," menurut LTA.

LTA juga sudah melebarkan 22 lintasan pejalan kaki dan membina tiga lintasan basikal baharu di Choa Chu Kang dan Yew Tee.

Beberapa perhentian bas di kawasan berkenaan juga sudah dinaik taraf agar para pengayuh basikal boleh melalui bahagian belakangnya.
 
Perhentian bas yang dinaik taraf di luar CC Chua Chu Kang. (Gambar: LTA)
Penanda 'hanya buat pejalan kaki' juga akan pasang di 8km laluan pejalan kaki yang mempunyai laluan berbasikal di sebelahnya.

"Mewujudkan ruang buat laluan berbasikal dalam kawasan kejiranan matang yang sudah dilengkapi begitu banyak prasarana, sememangnya mencabar," menurut LTA.

Bagi rangkaian laluan berbasikal Choa Chu Kang-Yew Tee, penguasa itu bekerjasama dengan sekolah-sekolah untuk menyesuaikan sempadan masing-masing agar laluan di luar sekolah dapat diluaskan.

LTA juga mengubah sebilangan ruang jalan raya di kira-kira 100 meter Laluan Atas Choa Chu Kang West bagi laluan berbasikal yang menghubungkan Choa Chu Kang dengan Yew Tee.
 
Laluan berbasikal di Laluan Atas Choa Chu Kang West. (Gambar: LTA)
Beberapa laluan berbasikal yang dibina pada tarikh lebih lewat di Choa Chu Kang juga dibina menggunakan konkrit rendah karbon, menurut LTA, sejajar dengan komitmennya untuk menggunakan lebih banyak bahan dan kaedah mampan.

Di bawah program Rangkaian Berbasikal Merata Negara, LTA sedang meluaskan rangkaian laluan berbasikal kepada semua kawasan kejiranan - dengan sasaran sekitar 1,300km laluan berbasikal menjelang 2030.

Sepanjang dua tahun lalu, LTA sudah memulakan kerja-kerja laluan berbasikal di beberapa kawasan merata negara. Semua kawasan perumahan HDB akan mempunyai laluan berbasikal menjelang akhir tahun ini.
Sumber : CNA/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita