Skip to main content

Singapura

Laluan berbasikal 10.8km siap dibina di Toa Payoh

Penduduk Toa Payoh kini dapat berbasikal dengan lebih mudah dengan siapnya laluan berbasikal baharu 10.8 kilometer (km) di kawasan tersebut.

Anggaran Waktu Membaca:
Laluan berbasikal 10.8km siap dibina di Toa Payoh

Laluan berbasikal di sepanjang Lorong 1 Toa Payoh. (Gambar: LTA)

SINGAPURA: Penduduk Toa Payoh kini dapat berbasikal dengan lebih mudah dengan siapnya laluan berbasikal baharu 10.8 kilometer (km) di kawasan tersebut.

Laluan berbasikal itu dilancarkan pada Sabtu (18 Okt) oleh Anggota Parlimen Cai Yinzhou, yang juga Penasihat Akar Umbi kepada Pertubuhan Akar Umbi Bishan-Toa Payoh.

“Rangkaian yang siap dibina ini menyediakan laluan yang lebih selamat bagi para penduduk untuk ke kemudahan-kemudahan utama seperti Hab HDB, pasar di kawasan kejiranan, pusat makanan, taman dan sekolah, di samping meningkatkan hubungan ke nod-nod pengangkutan seperti Stesen MRT Toa Payoh dan Braddell di Laluan Utara-Selatan, serta Stesen MRT Caldecott di Laluan Circle dan Laluan Thomson-East Coast,” menurut Penguasa Pengangkutan Darat (LTA).

Sebagai sebahagian daripada rangkaian itu, satu lintasan basikal baharu turut dibina di Lorong 8 Toa Payoh, membolehkan para penduduk mengakses Penghubung Taman Kallang berdekatan serta bandar-bandar seperti Bishan, Ang Mo Kio dan Kallang.

Dengan itu, penduduk Toa Payoh kini boleh berbasikal ke Taman Bishan-Ang Mo Kio dalam masa kurang dari 15 minit, dan dari situ meneruskan kayuhan sepanjang Sungai Kallang hingga ke Marina Bay, tambah LTA.

Satu lagi tarikan utama projek yang disiapkan itu adalah penggunaan semula ruang di sepanjang laluan berbasikal, dengan sekitar 2.8km longkang terbuka sedia ada dibina semula menjadi longkang bawah tanah, membolehkan permukaannya digunakan untuk berjalan kaki dan berbasikal.

Ruang jalan di Lorong 1A Toa Payoh juga diubah menjadi laluan berbasikal khusus, yang menampilkan dua lintasan pejalan kaki berbelang baharu yang ditinggikan bagi meningkatkan akses untuk para pejalan kaki dan penunggang basikal.

Peningkatan lain termasuk pembinaan laluan pintas di lebih 15 hentian bas dan lintasan pejalan kaki yang diperluas di lebih lapan persimpangan trafik bagi meningkatkan keselamatan para penduduk dan pengguna jalan raya.

Sebanyak 64 tempat letak basikal tambahan turut dipasang di Stesen MRT Braddell bagi menyokong perjalanan peringkat awal dan akhir para pengguna.

Di bawah program Rangkaian Berbasikal Seluruh Pulau, LTA sedang memperluaskan rangkaian laluan berbasikal ke semua bandar dengan sasaran kira-kira 1,300km laluan berbasikal menjelang 2030.
Tempat meletak basikal baharu di Pintu Keluar A stesen MRT Braddell. (Gambar: LTA)
Sumber : CNA/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita