Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Laluan baru berbasikal sepanjang 4km dilancarkan di Tampines

Para penduduk Tampines kini boleh berbasikal dengan lebih selamat ke kemudahan-kemudahan utama dan ruang-ruang menghijau di sekitar bandar itu, menyusuli pelancaran laluan berbasikal sepanjang 4 kilometer hari ini (29 Jan).

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 29 Jan 2022 06:20PM Dikemas Kini : 29 Jan 2022 09:49PM

SINGAPURA: Para penduduk Tampines kini boleh berbasikal dengan lebih selamat ke kemudahan-kemudahan utama dan ruang-ruang menghijau di sekitar bandar itu, menyusuli pelancaran laluan berbasikal sepanjang 4 kilometer hari ini (29 Jan).

Laluan-laluan baru itu yang terletak di Tampines Avenue 1, 4, 5 dan 8, menghubungkan para penduduk dari rumah dan sekolah masing-masing ke tempat-tempat seperti stesen MRT Tampines West, Hab Tampines Kita, Tampines Central Park dan Tampines Green Forest Park.

Kini terdapat laluan berbasikal dan penghubung taman sepanjang 25 kilometer di Tampines.

"Ini menjadikan Tampines salah satu bandar dengan rangkaian laluan berbasikal yang paling menyeluruh," kata Anggota Parlimen GRC Tampines Masagos Zulkifli, yang juga merupakan Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga.

"Laluan berbasikal yang dibina baru-baru ini di Tampines menunjukkan komitmen Pemerintah untuk meluaskan prasarana berbasikal di Singapura, bagi memudahkan cara pengangkutan yang mampan dan sihat."

Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) sebelum ini mengumumkan rancangan untuk menambah tiga kali ganda rangkaian laluan berbasikal di Tampines, bagi menghubungkan para penduduk ke tiga stesen MRT iaitu Tampines, Tampines East dan Tampines West.

Hari ini menandakan penyelesaian fasa pertama kerja-kerja binaan bagi laluan berbasikal bagi Tampines.

Laluan berbasikal yang baru itu berwarna merah untuk membezakannya daripada laluan pejalan kaki, menurut LTA.

Tanda keselamatan dan jalur bagi mengawal kelajuan dipasang sepanjang laluan itu untuk mengingatkan orang ramai supaya berbasikal dengan selamat dan mengawasi para pengguna laluan yang lain, tambahnya.

Lima tempat menyeberang jalan bagi pejalan kaki di sepanjang laluan berbasikal itu juga diluaskan bagi meningkatkan keselamatan untuk para pejalan kaki dan pengayuh basikal.

Kerja-kerja penambahbaikan turut dijalankan untuk mewujudkan ruang bagi laluan berbasikal di belakang 13 perhentian bas di Tampines, menurut LTA.

Bagi membantu orang ramai menyesuaikan diri dengan laluan baru ini, papan peta dipasang di simpang Tampines Avenue 5 dan 8 serta di simpang Tampines Avenue 8 dan 1, menggariskan kemudahan rangkaian-rangkaian pengangkutan antara jarak berjalan kaki dengan berbasikal.

"Di bawah program Rangkaian Berbasikal Merata Pulau (ICN), LTA akan meluaskan ketersambungan laluan berbasikal kepada sekitar 1,300 kilometer menjelang 2030," menurut LTA.

"Selain laluan-laluan baru di Tampines dan yang dilancarkan baru-baru ini di Taman Jurong, laluan berbasikal yang baru sedang dibina dan selesai secara bertahap-tahap di bandar-bandar lain juga untuk membolehkan lebih ramai penduduk mengamalkan pergerakan aktif dan memudahkan perjalanan lebih sihat dan mesra alam sekitar."

Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan