Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Lalat dan perabot: Huraian inovatif masalah sisa makanan S’pura

Bayangkan, hampas kopi di dapur anda saat ini, boleh dijadikan bahan membuat perabot. Sisa makanan lain pula diberi pada larva lalat, yang jadi santapan ikan tilapia yang boleh anda beli. Ini antara huraian kreatif yang disorot, BERITA Jelajah dalam tangani sisa makanan di sini...

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAmediacorp: Bunyinya aneh, namun satu hari kelak memelihara lalat dan membeli lebih perabot berasaskan hampas kopi mungkin akan menjadi antara huraian masalah sisa makanan di sini.

Jalan keluar berdaya inovatif itu lebih relevan terutama bagi negara kecil seperti Singapura, kerana kaedah biasa menggunakan sisa makanan sebagai baja mungkin tidak sesuai bagi jangka panjang. Ini memandangkan hanya kurang 1 peratus kawasan tanahnya diperuntukkan bagi tujuan pertanian.

BERITA Jelajah baru-baru ini meninjau dua cara yang sedang dirintis di sini dalam menangani masalah sisa makanan di Singapura.

TIDAK CUKUP LADANG UNTUK TAMPUNG BAJA SISA

Bagi sebilangan penduduk Singapura, minum kopi ibarat satu kemestian untuk memulakan hari mereka.

Namun hakikatnya, dalam menyiapkan secawan kopi itu, menghasilkan jumlah hampas kopi yang begitu besar.

Singapura menggunakan sekitar 6.3 juta kilogram biji kopi setahun - melebihi berat 430 buah bas dua tingkat - menyumbang kepada masalah sisa makanan yang kian meningkat di sini.

Menyedari hakikat itu, syarikat pengurusan sampah A1 Environment Pte Ltd sejak 2019 mengalihkan operasi mereka kepada memproses hampas kopi sahaja.

Cik Loh Yen-Lyng, pengasas bersama syarikat tersebut, berkongsi kepada BERITA bahawa pihaknya mengumpulkan 18 tan hampas kopi setiap bulan daripada rakan-rakan kerjanya seperti kedai kopi, kafe, dapur katering dan pembekal kapsul kopi.

Menyalurkannya ke ladang-ladang di sini untuk dijadikan baja bukanlah satu huraian jangka panjang.

“Kami tidak ada banyak ladang (sayur-sayuran) di Singapura. Tidak semua ladang juga yang mahu menerima hampas kopi. Jadi kami perlu cari jalan alternatif untuk menyalurkan hampas itu,” jelas Cik Loh, yang juga pengarah pemasaran dan penjualan A1 Environment.

Menurut laman Agensi Makanan Singapura (SFA), daripada 220 ladang makanan yang ada di sini, kurang 90 daripadanya adalah ladang tumbuh-tumbuhan.

1 MEJA ‘SELAMATKAN’ 700 CAWAN KOPI

Lantaran itu, kongsi Cik Loh, syarikatnya sedang meneroka proses valorisation, iaitu kaedah menambah nilai pada sisa makanan untuk dijadikan barang baru.

Dengan kerjasama Politeknik Nanyang (NYP), A1 Environment kini menggunakan teknologi miliknya untuk menghasilkan prototaip pelbagai jenis barangan.

Salah satu barang tersebut adalah sebuah meja tamu. Kelihatan seperti meja kayu biasa, namun ia sebenarnya diperbuat daripada bahan yang mengandungi 50 peratus hampas kopi.

Menurut syarikat itu, meja tersebut telah ‘menyelamatkan’ hampas daripada 700 cawan kopi daripada terbuang.

Selain perabot, bermacam lagi barangan sudah berjaya dihasilkan walaupun pada peringkat prototaip - termasuk dulang, papan dan pinggan mangkuk.

Ini menunjukkan bahan tersebut banyak kegunaannya, lantas membayangkan potensi proses tersebut sebagai satu cara mengurangkan jumlah sisa yang perlu dihapuskan.

Berkongsi rancangannya bagi masa hadapan, Cik Loh berkata syarikatnya memperhalusi proses tersebut agar barangan yang dihasilkan mengandungi peratusan hampas kopi yang lebih tinggi, serta boleh diguna pakai ke atas sisa makanan lain.

‘ASKAR’ DIKERAH URUS SISA MAKANAN

Selain kaedah berasaskan teknologi seperti yang digunakan A1 Environment, pendekatan lebih alami juga sedang dirintis dalam mengurangkan sisa makanan yang perlu dilupuskan.

Antaranya adalah inisiatif perintis Sustainability @ Tampines Park, yang sejak dilancarkan lewat 2020, telah menarik sekitar 100 keluarga untuk menderma sisa makanan mereka secara tetap.

Sisa makanan itu digunakan sebagai bahan makan bagi larva 'Black Soldier Flies' (BSF) atau lalat askar hitam yang kemudian menghasilkan najis.

Najis ini digunakan sebagai baja khas untuk menanam sayur di sebuah ladang vertikal di flat HDB, yang menghasilkan lebih banyak sayur-sayuran menggunakan ruang tanah yang lebih kecil.

Manakala larva BSF pula sesuai untuk haiwan ternakan seperti ikan tilapia di kolam berdekatan - sekaligus menjadikannya satu ekosistem lingkaran (circular ecosystem).

Orang ramai yang menderma sisa makanan dapat mengumpul mata yang ditukar ganti dengan sayur-sayuran dan ikan. Ganjaran serupa turut ditawarkan kepada sukarelawan yang menyumbang tenaga di situ, semuanya demi menggalak lebih ramai orang terlibat dalam usaha mengurus sisa secara alami.

Dalam jangka masa panjang, usaha perintis itu akan diperluas ke kawasan-kawasan lain di Singapura.

SELARAS PELAN HIJAU 2030, SASARAN ’30 JELANG 30’

Semua inisiatif itu selaras dengan usaha Singapura menangani masalah penghasilan makanan dan pengurusan sisanya.

Matlamat '30 menjelang 30', diumumkan pada 2019, menetapkan sasaran menghasilkan 30 peratus keperluan zat makanan negara secara setempat menjelang tahun 2030.

Ini berbanding sekarang di mana Singapura mengimport lebih 90 peratus bekalan makanannya.

Terkini, usaha memelihara alam sekitar di Singapura diperhebat dengan pelancaran Pelan Hijau 2030 – gerakan seluruh negara yang menyentuh segenap aspek kehidupan.

Salah satu tunggak visi ini adalah Kehidupan Mampan (Sustainable Living), yang antaranya termasuk mencantas jumlah sisa yang dihantar ke tapak pelupusan sebanyak 30 peratus menjelang 2030.

POKOK PANGKALNYA KESEDARAN, PENDIDIKAN

Satu lagi komponen penting Pelan Hijau 2030 adalah Program Teraju Eko. Selain memastikan bangunan-bangunan sekolah lebih mesra alam, usaha itu juga termasuk memperkukuh sukatan pelajaran agar dapat memupuk kesedaran tentang isu-isu alam sekitar dengan lebih berkesan dalam generasi akan datang.

Berkongsi pendapatnya sebagai seorang pemain industri, Cik Loh menekankan sememangnya usaha peningkatan kesedaran adalah kunci kejayaan apa-apa pun inisiatif pemeliharaan alam sekitar yang dijalankan.

Ia juga penting untuk memastikan entiti komersil yang cuba menghasilkan produk mesra alam seperti syarikatnya, dapat bertakat.

Jelas Cik Loh:

"Cabaran utama kami sekarang adalah menghasilkan lebih banyak produk (mesra alam), supaya kami dapat mengitar semula sebanyak mungkin hampas kopi. Namun kami tidak ingin hanya membuat, tetapi kelak tidak ada orang yang mahu menggunanya."  

Sumber : BERITA Mediacorp/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan