Lain dari yang lain: Perjumpaan Hari Raya keluarga ini agih 24 dermasiswa bagi sanak-saudara
Memang ramai orang menganjurkan majlis-majlis perjumpaan Hari Raya untuk mempertemukan sanak saudara dan keluarga.
SINGAPURA: Memang ramai orang menganjurkan majlis-majlis perjumpaan Hari Raya untuk mempertemukan sanak saudara dan keluarga.
Namun perjumpaan Hari Raya yang satu ini boleh dianggap sebagai lain daripada yang lain, kerana ia juga mengagihkan sebanyak 24 dermasiswa untuk para anggota keluarganya - daripada peringkat sekolah rendah, hinggalah ke peringkat universiti.
Idea mengadakan majlis perjumpaan Hari Raya lazimnya bertujuan mengumpulkan para anggota keluarga di satu-satu tempat.
Sebagaimana majlis-majlis perjumpaan keluarga yang lain, acara seperti inilah juga dimanfaatkan lebih 100 anggota keluarga besar Allahyarham Sapawi untuk saling bertemu dan bermaaf-maafan; berdakap mesra dan bertanyakan khabar; serta semestinya juga menjamu pelbagai juadah yang menyelerakan.
Demi mengeratkan lagi tali kekeluargaan, satu video khas mengenai susur galur keluarga dan sejauh mana sudah bercabangnya keluarga Allahyarham Sapawi, ditayangkan.
Untuk menyerikan lagi suasana, cabutan bertuah diadakan dengan pelbagai hadiah boleh diagih-agihkan, selain dihiburkan dengan penyanyi Didicazli yang juga diundang menjadi juruacaranya.
Namun keistimewaan majlis perjumpaan Hari Raya itu sebenarnya terletak kepada unsur gotong royong pendidikan yang diterapkan keluarga tersebut - iaitu pengagihan dermasiswa untuk anak-anak dalam keluarga besar itu yang cemerlang dalam pendidikan.
Dipanggil 'Hadiah Pendidikan', keluarga tersebut mengumpul sumber untuk mengeluarkan 24 dermasiswa, dengan pelajar sekolah rendah misalnya mendapat $50, posmenengah dihadiahkan $100 manakala anggota keluarga yang menuntut di universiti pula mendapat $150.
"Hadiah pendidikan Warisan Sapawi ini diberikan untuk menjadi satu hadiah dan juga galakan kepada generasi anak-anak muda sekarang untuk maju dalam pelajaran," kata penganjur Riang Raya Warisan Sapawi, Juriah Santari.
"Saya berasa gembira untuk mendapat hadiah ini kerana saya sudah bekerja keras dan saya berasa bahagia untuk bersama dengan keluarga saya," salah seorang penerima dermasiswa, Muhd Aqiel Hayyan. Beliau adalah pelajar darjah 5 di Sekolah Rendah Shuqun.
Penerimanya termasuklah anggota keluarga yang sedang menuntut di universiti luar negara, yang ibarat sambil menyelam minum air.
"Saya berasa gembira kerana dapat pulang untuk bersama-sama keluarga saya dan saya gembira dapat menerima hadiah ini kerana ia akan membantu saya dalam pelajaran saya dan juga memperbaiki diri saya pada masa hadapan," Khaliph Zimmer memberitahu BERITAMediacorp. Beliau adalah penuntut tahun tiga di University San Jose State.
Walaupun ia adalah kali kedua dermasiswa keluarga dianjurkan - yang pertama dua tahun lalu - ia adalah skalanya yang terbesar dilaksanakan Warisan Sapawi.
Pada akhirnya, semua itu bertujuan merapatkan lagi silaturahim dalam keluarga.
"Bagi saya inilah kali pertama diadakan secara keseluruhan Warisan Sapawi jadi sangat gembira dapat bertemu dengan adik-beradik, kakak semua. Begitu juga dengan cucu dan cicit," kata Ketua Warisan Sapawi, Haji Muhammad Amin Shafawi.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.