Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Lagu tema NDP 2024 dapat pujian ramai; 'menyentuh hati, penuh inspirasi'

Lagu tema Hari Kebangsaan tahun ini yang berjudul "Not Alone" menerima pujian meluas daripada para pengguna media sosial sejak ia dilancarkan pada Khamis (23 Mei).

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Lagu tema Hari Kebangsaan tahun ini yang berjudul "Not Alone" menerima pujian meluas daripada para pengguna media sosial sejak ia dilancarkan pada Khamis (23 Mei).

Video rasmi lagu itu yang ditulis dan dinyanyikan oleh penyanyi-pencipta lagu dari Kota Singa, Benjamin Kheng, telah dimainkan lebih 60,000 kali dan mendapat lebih 300 komen, setakat lewat petang Jumaat (24 Mei).

Lirik lagu itu juga senada dengan tema NDP tahun ini iaitu "Bersama-sama, Sebagai Rakyat yang Bersatu Padu".

Kapsyen yang mengiringi video tersebut berbunyi: "Not Alone meraikan warisan kita, tanah air kita dan rakyat kita, mengingatkan kita akan alunan dan keluarga lebih besar yang kita sebahagian daripadanya."

Video muzik rasmi itu memaparkan imej-imej gaya hidup rakyat Singapura dahulu dan sekarang yang diselang-selikan dengan Kheng yang mempersembahkan lagu itu.

Ia bermula dengan rujukan kepada Singapura sewaktu zaman kampung, yang turut memaparkan persembahan getai dan cara hidup di kampung.

Ia kemudian beralih ke babak yang memaparkan zaman moden Singapura dengan menampilkan Lapangan Terbang Changi termasuk kompleks runcit Jewel dan imej-imej lain.

Selain itu, ia juga menampilkan beberapa babak di mana golongan muda dan sebuah keluarga berpindah ke rumah baharu mereka.

Video itu berakhir dengan acara sambutan di atas bumbung yang menampilkan individu berbilang kaum berinteraksi antara satu sama lain.

Penghasilan video lagu tema NDP 2024 melibatkan lebih 200 peserta dari 100 babak set unik.

INSPIRASI LAGU

Lirik lagu 'Not Alone' merujuk kepada lagu-lagu Hari Kebangsaan sebelum ini, menurut Jawatankuasa Eksekutif Perbarisan Hari Kebangsaan (NDP) kepada Mediacorp.

Ia bermatlamat untuk "menyuntik nostalgia dan menghidupkan semula hubungan rakyat Singapura melalui sentimen patriotik".

Kheng yang merupakan anggota kugiran tempatan The Sam Willows berkata bahawa beliau mahu "menghubungkan warga Singapura dengan erti dan makna di sebalik lirik-lirik lagu NDP yang kita dengar saban tahun".

MAKLUM BALAS POSITIF

Lagu tersebut sejauh ini menerima maklum balas yang positif di media sosial.

Seorang pengguna YouTube menulis di ruangan komen: "Ada sesiapa yang perhatikan ada sedikit rujukan kepada lebih 50 lagu NDP? Ia sangat menyentuh hati."

Seorang lagi pula berkata: "Lagu yang benar-benar mencerminkan aspirasi kita. Lagu NDP agak bagus sejak kebelakangan ini! Teruskan usaha anda."
Sumber : Today/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan