Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Lagu-lagu popular dan yang 'hilang' Zubir Said diraikan dalam 'Don't Call Him Mr. Mari Kita'

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Bagi membangkitkan lagi semangat patriotisme menjelang Hari Kebangsaan, sebuah konsert bagi menghargai sumbangan dan perjalanan seni penulis dan penggubah lagu, Allahyarham Zubir Said sepanjang lebih 40 tahun bakal dipentaskan.
 
Bertajuk 'Dont' Call Him Mr. Mari Kita', konsert lebih satu jam itu dipersembahkan oleh syarikat teater tempatan, Wild Rice.

(Penasihat Penulis Skrip, Alfian Sa'at)

"Pak Zubir itu bukan sahaja lambang kebanggaan orang Melayu dan orang Minang di Singapura tetapi seorang seniman dan manusia yang telah merakamkan pasang surut dan pahit manis kehidupannya di dalam lagu-lagunya.
 
"Tujuan kita membuat persembahan ini adalah untuk memasyarakatkan lagu-lagu Zubir Said. Lebih-lebih lagi lagu yang kurang didengari sekarang," kata Penasihat Penulis Skrip, Encik Alfian Sa'at.
 
LEBIH 15 LAGU-LAGU TERBAIKNYA DIPILIH DARIPADA KOLEKSI 1,500
 
Semasa hayatnya, Zubir Said sudah menghasilkan lebih daripada 1,500 lagu yang berunsur kerakyatan dan bertemakan cinta. 
 
Sebahagian besar daripada karyanya dihasilkan semasa beliau bertugas di studio Cathay-Keris sebagai seorang penggubah lagu-lagu filem. 
 
Sepanjang lebih satu jam, penonton akan dapat melayari kehidupan Zubir Said yang disampaikan menerusi lebih 15 karyanya yang dikenali ramai termasuk 'Orang Singapura', 'Sayang Di Sayang' dan 'Semoga Bahagia'.
 
Penonton juga berpeluang mendengar lagu-lagu yang 'hilang' ataupun jarang didengar seperti 'Cempaka Biru' dan 'Cantik Menghijau' yang pernah dinyanyikan Nona Asiah.

(Pengarah Muzik dan Penulis, Julian Wong)

"Banyak muzik Pak Zubir sudah hilang. Kadang-kadang saya cari 'score' tapi ia tidak lengkap. Mungkin takda ‘chords’ ataupun nota yang ditulis itu salah. Jadi saya harus berfikir cara pemikirannya. Apakah yang didengar di dalam kepalanya," kata Pengarah Muzik dan Penulis, Encik Julian Wong.
 
Encik Wong yang juga memegang peranan sebagai pencerita dan penyanyi berharap pementasan tersebut dapat menghakis gelaran yang diberikan pada beliau iaitu 'Mr Mari Kita' dan menarik orang ramai untuk mengenali Pak Zubir yang sebenar.

(Pengarah Muzik dan Penulis, Julian Wong)

"Kita semua tahu Pak Zubir, penggubah hebat yang menulis 'Majulah Singapura' tetapi kenapa kebanyakkan orang ramai tidak tahu lebih banyak tentang dia dan muziknya? Itu adalah misteri besar bagi saya," tambah Encik Wong.
 
Menurut Wild Rice, konsert tersebut juga adalah bagi mengenang mentor Encik Wong sendiri, iaitu Allahyarham Iskandar Ismail, yang pernah berguru dengan Pak Zubir.
 
Sebagai guru muzik di ITE, Encik Wong sendiri berbangga kerana dapat menampilkan tiga anak didiknya iaitu Hannah Nordin, Malcolm Lim dan Rohaniah Sa'id. 
 
KISAH ZUBIR SAID MENYENTUH HATI PEMUZIK, PENYANYI
 
Walaupun berusia 23 tahun, Rohaniah sangat tertarik dengan semangat patriostime Zubir Said semasa hayatnya. 

(Vokalis, Rohaniah Sa'id, Gambar: Syawal Yusoff)

"Kisah kehidupan Pak Zubir ini amat menyentuh hati. Oleh itu kami ingin menyuntik semangat Pak Zubir dalam diri para penonton. Satu perkara yang amat saya kagumi tentang beliau adalah walaupun beliau berasal daripada Indonesia, Pak Zubir tetap memberikan jiwa dan raganya sewaktu menggubah lagu kebangsaan Singapura," kata Rohaniah, penuntut tahun kedua di Kolej Seni Lasalle.
 
Seorang lagi yang amat tersentuh dengan kisah Pak Zubir ialah, pemain bas, Encik Din Safari.
 
Pemuzik dengan lebih 43 tahun pengalaman itu menyifatkan konsert tersebut sebagai pementasan yang begitu profesional dan mengalu-alukan mereka yang berminat dalam muzik untuk menontonnya.

(Pemain bas, Din Safari)

"Bukan hanya setakat hiburan sahaja tetapi dia ada satu perjalanan kerohanian yang kita harus tahu dan faham dan kepada sesiapa yang ingin mengambil ini sebagai satu kerjaya, ini adalah contoh yang baik. Ia mengenai semangat, kehendak dan pengorbanan, dan perjuangan," ujar Encik Din, yang pernah membuat persembahan bersama Anita Sarawak dan Ramli Sarip sebelum ini.
 
Persembahan itu sepatutnya diadakan tahun lalu, namun dibatalkan dek langkah-langkah keselamatan COVID-19 yang diperketatkan.

(Pengarah Wild Rice, Ivan Heng (berbaju merah))

"Kami gembira kerana akhirnya dapat menjemput penonton ke 'Don't Call Him Mr. Mari Kita. Ini adalah satu pementasan yang istimewa sebagai surat cinta kepada sejarah dan muzik Singapura, dan ia perlu ditonton bagi mereka yang memanggil Singapura 'tanah air'," kata Pengarah Wild Rice, Encik Ivan Heng.
 
Encik Alfian yang juga merupakan pengarang dan sutradara di Wild Rice menambah: "Saya yakin bahawa penonton, lagu-lagu Pak Zubir akan terngiang-ngiang di telinga para penonton. Bukan sahaja di telinga tetapi di lubuk hati mereka."
 
'Don't Call Him Mr Mari Kita' akan berlangsung mulai 7 hingga 23 Julai 2022 di Teater Ngee Ann Kongsi @ Wild Rice, di bangunan Funan.
 
Tiket-tiket berharga S$25 hingga S$60 masih boleh didapatkan di SISTIC.

Sumber : BERITA Mediacorp/SY
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan