Lagi S$133 juta dihulurkan bagi bantu pemandu teksi, kereta sewa privet mulai Jan 2021
Para pemandu teksi dan kereta sewa privet akan menerima sokongan tambahan bernilai S$133 juta daripada Pemerintah.
SINGAPURA: Para pemandu teksi dan kereta sewa privet akan menerima sokongan tambahan bernilai S$133 juta daripada Pemerintah.
Sokongan itu bermatlamat untuk mengurangkan kesan daripada pemansuhan Skim Bantuan Pendapatan bagi Individu yang Bekerja Sendiri (SIRS), menurut Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) pada Rabu (16 Dis).
Sokongan tambahan ini disediakan di bawah Dana Bantuan Pemandu COVID-19 yang baru dilancarkan, selain S$55 juta yang sudahpun diperuntukkan bagi Dana Bantuan Khas sedia ada, menurut LTA dalam kenyataan medianya.
Di bawah Dana Bantuan Pemandu COVID-19, para pemandu akan menerima S$600 setiap bulan dari Januari hingga Mac dan S$450 sebulan dari April hingga Jun tahun depan.
Skim baru ini akan menggantikan Dana Bantuan Khas yang diperkenalkan pada Februari bagi membantu pemandu teksi dan kereta sewa aktif mengimbangi kos. Para pemandu menerima agihan S$300 setiap bulan di bawah skim tersebut.
Sekitar 52,000 pemandu yang buat masa ini layak bagi Dana Bantuan Khas akan diletakkan di bawah skim Dana Bantuan Pemandu COVID-19 secara automatik, mulai Januari.
Dana baru itu akan diperkenalkan sedang Skim Bantuan Pendapatan bagi Individu yang Bekerja Sendiri (SIRS) - yang diperkenalkan sebagai sebahagian daripada Belanjawan Berdaya Tahan pada Mac - bakal berakhir. Di bawah skim itu, para pemandu yang layak menerima S$3,000 pada Mei, Julai dan Oktober.
Para penerima Dana Bantuan Pemandu COVID-19 tidak layak menerima Geran Pemulihan COVID-19 yang diumumkan pada Rabu oleh Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF).
Meskipun keadaan COVID-19 semakin bertambah baik di sini, jumlah penumpang menurut Penguasa Pengangkutan Darat (LTA), masih rendah berbanding paras sebelum berlaku pandemik COVID-19 kerana ramai penduduk masih terus bekerja dari rumah.
"COVID-19 juga sudah mengubah corak perjalanan, dengan jarak perjalanan teksi dan kereta sewa lebih pendek, sekali gus menyebabkan tambang yang lebih rendah bagi setiap perjalanan," tambah LTA.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.