Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Lagi dua lelaki didakwa kencing di stesen MRT

Dua lelaki warga Singapura dalam lingkungan usia 50an tahun pada Rabu (15 Jan) didakwa kerana kencing di stesen MRT dalam kejadian berasingan.

Anggaran Waktu Membaca:
Lagi dua lelaki didakwa kencing di stesen MRT

Warga SG Zhou Hongwei didakwa kencing di stesen MRT Potong Pasir.

Diterbitkan : 15 Jan 2025 12:10PM Dikemas Kini : 15 Jan 2025 12:37PM
SINGAPURA: Dua lelaki warga Singapura dalam lingkungan usia 50an tahun pada Rabu (15 Jan) didakwa kerana kencing di stesen MRT dalam kejadian berasingan.

Warga Singapura Zhou Hongwei dituduh kencing di depan pusat khidmat penumpang di stesen MRT Potong Pasir kira-kira pukul 7.30 malam pada Isnin (13 Jan).

Zhou memaklumkan kepada mahkamah bahawa dia berhasrat untuk mengaku bersalah dan diberikan tarikh untuk berbuat demikian iaitu pada 26 Februari.

Dia dibebaskan dengan ikat jamin sebanyak S$5,000. Hakim mengingatkan Zhou supaya tidak melakukan lagi kesalahan ketika dibebaskan dengan ikat jamin, di mana Zhou menjawab: "Okay, boleh."

Seorang jurucakap dari pengendali pengangkutan SBS Transit sebelum ini menyatakan bahawa seorang kakitangannya telah melihat kejadian itu lalu menghubungi polis.

Lelaki itu meninggalkan stesen tersebut sambil diiringi polis dan kawasan terjejas segera dibersihkan, menurut jurucakap berkenaan.

Dalam kes kedua, Soo Fook Khan, 53 tahun didakwa kerana kencing di platform stesen MRT Tanah Merah kira-kira pukul 12.30 tengah hari pada 8 Januari lalu.

Soo juga berdepan tuduhan berasingan kerana menganggu seorang peminjam wang bagi pihak seorang pemiutang wang haram pada 5 Oktober 2024, dengan menuang abu dari bekas sembahyang (prayer urn) dan menggunakan bekas itu untuk mengetuk pintu flat.

Dia direman di Institusi Kesihatan Mental bagi pemeriksaan perubatan selepas didakwa dan dibebaskan dengan ikat jamin sebanyak S$15,000.

Kejadian yang berlaku di stesen MRT Tanah Merah turut dirakam dan dimuat naik online pada Isnin (13 Jan).

Setakat ini, tiga kes individu membuang air kecil di khalayak ramai di stesen MRT berlaku dalam tempoh kurang seminggu.

Sebelum ini, warga China Li Guorui kencing di susur tangga eskalator di MRT Outram Park pada 10 Januari lalu dan didenda S$2,000.

Hukuman bagi kesalahan melakukan gangguan awam adalah denda sehingga S$2,000.

Jika pesalah itu tahu bahawa tindakannya itu boleh menyebabkan kecederaan, bahaya atau menjengkelkan orang lain, hukuman penjara sehingga tiga bulan boleh dikenakan terhadap mereka.
Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan