Skip to main content

Singapura

Lagi 8 taman baharu, penghubung taman sejauh 13 km akan dibina 5 tahun mendatang

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 05 Mar 2025 02:46PM Dikemas Kini : 05 Mar 2025 09:11PM
SINGAPURA: Mereka yang gemar berlari-lari anak, mengayuh basikal dan melawat taman di Singapura boleh menjangkakan lebih banyak pilihan riadah dengan Lembaga Taman Negara (NParks) menambah lapan lagi taman dan penghubung taman sejauh 13km dalam tempoh lima tahun akan datang.

Taman-taman baharu itu termasuk tiga yang terletak di kawasan kejiranan Farrer Park, Spottiswoode dan Woodgrove, menurut Menteri Negara Kanan Pembangunan Negara Tan Kiat How pada Rabu (5 Mac) semasa membahaskan peruntukan bagi kementeriannya.

Selain itu, taman di Farrer Park akan ditempatkan dalam pembangunan bersepadu yang lebih besar dan dilengkapi dengan ciri-ciri seperti kawasan permainan alam semula jadi, trek joging, kawasan rumput terbuka dan elemen-elemen landskap terapeutik.

Secara keseluruhannya, lebih 25 taman - merangkumi kawasan seluas lebih 170 hektar atau kira-kira saiz 240 padang bola - akan disiapkan antara 2025 dan 2030, kata NParks.
Gambaran Taman Teachers' Estate dekat Upper Thomson. (Gambar: NParks)
Ini termasuk Taman Teacher's Estate seluas 7.6 hektar yang diumumkan sebelum ini berhampiran Upper Thomson, dan Taman Alam Semula Jadi Mandai seluas 72.8 hektar yang dikaitkan dengan Paya Simpanan Sungei Buloh.

Agensi itu juga akan menyediakan lebih 50km penghubung taman menjelang 2030, menjadikannya lebih mudah untuk rakyat Singapura berjalan kaki dan berbasikal di kawasan-kawasan hijau. Laluan-laluan baharu boleh dijangkakan di Yishun Avenue 1, Bukit Panjang North dan Pioneer Road North.

NParks juga akan terus menjalankan kajian konsep untuk lebih 100 hektar kawasan yang berpotensi dibangunkan sebagai taman dan sedang bekerjasama dengan agensi-agensi lain untuk mengkaji laluan penghubung taman tambahan.

Usaha ini adalah sebahagian daripada visi pemerintah untuk Bandar dalam Alam Semula Jadi, yang bertujuan untuk mengubah Singapura menjadi bandar yang lebih hijau dengan lebih banyak alam semula jadi dikembalikan dalam kawasan bandar.

Sasaran menjelang 2030 termasuk menambah 200 hektar taman semula jadi baharu dan mempunyai 500km penghubung taman supaya setiap isi rumah di Singapura berada dalam jarak 10 minit berjalan kaki dari taman.

NParks setakat ini telah membangunkan 130 hektar taman baharu, setahun lebih awal daripada sasaran asal pada 2026. Ia juga telah mewujudkan penghubung taman sejauh 391km setakat akhir 2024.

"Kami mencapai kemajuan yang baik ke arah sasaran penghubung taman sejauh 500km menjelang 2030," kata Encik Tan.

Pemerintah juga sedang menimbangkan untuk memperluaskan ruang-ruang biru di negara ini.

Pelan-pelan itu diumumkan Mei lalu untuk menetapkan bahagian selatan Lazarus Island (yang juga dikenali sebagai Pulau Sekijang Pelepah) dan terumbu di Pulau Kusu (yang juga dikenali sebagai Pulau Tembakul) sebagai taman laut kedua Singapura.

Encik Tan berkata pihak berkuasa sedang bekerjasama dengan masyarakat alam semula jadi, para pakar dan agensi-agensi lain mengenai kajian terperinci "untuk menetapkan" taman laut kedua itu.
Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita