Lagi 70,000 pekerja bergaji rendah layak untuk skim peningkatan kemahiran mulai Julai
SINGAPURA: Mulai Julai ini, had usia kelayakan bagi Skim Sokongan Kemahiran Daya Kerja (WSS) akan diturunkan daripada 35 kepada 30 tahun.
Para pekerja yang menerima gaji sehingga $2,500 sebulan juga kini layak untuk WSS, naik daripada had gaji $2,300 sekarang.
Ini bermakna, lagi 70,000 pekerja bergaji rendah akan layak mendapat sokongan tambahan bagi meningkatkan kemahiran mereka.
Secara keseluruhannya, langkah-langkah seperti Skim Daya Kerja dan Model Gaji Progresif (PWM) bertujuan mengukuhkan lagi sokongan untuk para pekerja bergaji rendah.
PENDAPATAN PEKERJA BERGAJI RENDAH TUMBUH LEBIH PANTAS
Tahun lalu, pendapatan sebenar pekerja bergaji rendah tumbuh 4.7 peratus lebih pantas berbanding pekerja bergaji median iaitu pada 2 peratus.
Meskipun PWM tidak dikuatkuasakan sebagai undang-undang, pemerintah ingin memastikan lebih banyak majikan memahami dan melaksanakannya.
Ini memandangkan lebih banyak pekerja bergaji rendah kini terangkum di bawah PWM.
Kementerian Tenaga Manusia (MOM) juga memperkenalkan beberapa langkah bagi memastikan PWM dilaksanakan dengan sewajarnya.
Ini termasuk menggantung hak istimewa Pas Kerja majikan selepas tempoh penyesuaian enam bulan jika mereka didapati tidak mematuhi PWM.
"Ini adalah salah satu tanggungjawab majikan dan saya katakan, hubungan di antara majikan dan pekerja dan jika boleh kita mahu mereka mematuhi tetapi kita juga mahu memberi mereka masa untuk menyesuaikan diri dengan PWM yang baru. Walaupun kita mempunyai PWM sedia ada, dari September tahun lalu, hingga Mac tahun ini, kita telah memperkenalkan pelbagai PWM, seperti PWM runcit dan PWM F&B," kata Encik Zaqy Mohamad, Menteri Negara Kanan Tenaga Manusia.
TINGKATKAN KEMAHIRAN PEKERJA BERGAJI RENDAH
Pada masa yang sama, kenaikan gaji harus bergerak selaras dengan peningkatan daya penghasilan.
Oleh kerana itu, skim latihan akan diluaskan kepada lebih ramai pekerja bergaji rendah.
"Kita juga memberi sokongan kepada pekerja kita untuk meningkatkan kemahiran mereka melalui skim-skim seperti WSS dan bagi pihak majikan juga, kita prihatin akan keadaan ekonomi hari ini, di mana kita melihat kadar inflasi, keadaan kos bisnes yang lebih tinggi dan pemerintah juga akui walaupun kita mahu meningkatkan lagi pendapatan bagi pekerja kita, kita juga harus memberi sokongan bagi majikan dari segi PWC atau Skim Kredit Gaji Progresif," tambah Encik Zaqy.
Para pekerja bergaji rendah yang mencapai Kelayakan Penuh menerusi WSS juga lebih kemungkinan meraih gaji lebih tinggi.
Lantaran itu, Anugerah Komitmen Latihan bagi Kelayakan Penuh akan dinaikkan daripada $500 kepada $800.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.