Skip to main content

Singapura

Lagi 7 jasad ditemui, 1 masih hilang dalam tragedi kepala air

Anggaran Waktu Membaca:
Lagi 7 jasad ditemui, 1 masih hilang dalam tragedi kepala air

(Gambar: Bernama)

Diterbitkan : 03 Jul 2023 07:28PM
CHUKAI: Sebanyak tujuh lagi jasad mangsa lemas tragedi kepala air di Jeram Air Putih, di Chukai berjaya ditemukan pada Isnin (3 Julai), menjadikan keseluruhan sembilan jasad mangsa sudah dijumpai pasukan mencari dan menyelamat (SAR) setakat ini.
Satu daripada jenazah itu disahkan identitinya sebagai Muhammad Haziq Ziqree Hakim Karim berusia enam tahun, manakala satu lagi mangsa masih hilang.

Ketua Polis Terengganu Mazli Mazlan berkata kesemua tujuh jenazah berkenaan ditemukan di sektor A dan B di kawasan seluas 25 kilometer (km) dari lokasi kejadian. 

"Kesemua mereka ditemukan antara pukul 11.00 pagi hingga 1.00 tengah hari tadi dalam keadaan tersangkut pada dahan pokok, terapung di permukaan air dan di pinggir sungai. 

"Keseluruhannya, dua mayat lelaki dewasa, satu wanita dewasa, dua kanak-kanak lelaki dan dua kanak-kanak perempuan ditemukan hari ini. Bagaimanapun, enam daripada mereka masih belum dapat disahkan identiti," katanya pada sidang media di Pusat Kawalan Operasi di Balai Polis Air Putih, di Chukai pada Isnin.

Menurutnya setakat ini, kawasan pencarian meliputi sebanyak 25km daripada keseluruhan jangkaan 32km radius operasi SAR. 

Encik Mazli berkata keadaan cuaca yang baik dengan arus sungai yang semakin perlahan membantu memudahkan operasi pencarian yang kini diteruskan bagi mengesan seorang lagi mangsa.

Pada Ahad (2 Julai), media melaporkan 10 individu dengan sembilan daripadanya adalah sekeluarga berasal dari Felda Lepar Hilir, Kuantan, Pahang.

Seorang lelaki yang berasal dari Batu Pahat, Johor dipercayai tunang kepada seorang daripada ahli keluarga itu datang ke Jeram Air Putih di Chukai untuk berkelah pada Sabtu (1 Jul) sebelum dihanyutkan arus deras fenomena itu.

Dua jenazah pertama ditemukan orang ramai tengah hari semalam (2 Jul) iaitu Azizah Eiyi, 40, dan anaknya Muhammad Zulqarnain Haikal Karim, 11.
Sumber : Bernama/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita