Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Lagi 6 stesen MRT bakal dibina dalam Fasa 2 Laluan Rentas Pulau

6 stesen Laluan Rentas Pulau - Turf City, King Albert Park, Maju, Clementi, West Coast dan Jurong Lake District - dijangka dibuka pada 2032.

Anggaran Waktu Membaca:
01:06 Min
Lagi 6 stesen MRT bakal dibina dalam Fasa 2 Laluan Rentas Pulau
Diterbitkan : 20 Sep 2022 05:15PM Dikemas Kini : 20 Sep 2022 09:14PM
SINGAPURA: Lagi enam stesen di Laluan Rentas Pulau (CRL) akan dibina dan dijangka dibuka pada 2032.

Demikian diumumkan oleh Menteri Pengangkutan S Iswaran pada Selasa (20 Sep).

Stesen-stesen itu ialah Turf City, King Albert Park, Maju, Clementi, West Coast dan Jurong Lake District, sekali gus membentuk Fasa 2 Laluan Rentas Pulau itu.

Stesen-stesen sepanjang 15 kilometer itu akan meningkatkan ketersambungan bagi para penduduk di bahagian barat, termasuk di kawasan seperti Sunset Way dan West Coast yang kini tidak mempunyai khidmat laluan MRT, menurut Penguasa Pengangkutan Darat (LTA).

Dua daripada stesen tersebut akan menjadi pusat pertukaran, dengan King Albert Park dihubungkan dengan Laluan Downtown dan Clementi ke Laluan Timur-Barat.

Laluan Rentas Pulau adalah laluan MRT kelapan Singapura dan yang terpanjang di bawah tanah sepenuhnya sejauh lebih 50km. Ia juga akan dibina dalam tiga fasa.

Fasa 1 laluan itu, yang diumumkan pada 2019, merangkumi 12 stesen dari Bright Hill di kawasan Sing Ming hingga ke Aviation Park di bahagian timur. Ia juga melalui kawasan-kawasan seperti Ang Mo Kio, Serangoon North, Defu, Tampines North dan Loyang.

Fasa 2 akan menjadikan waktu perjalanan lebih singkat bagi para penumpang di bahagian barat, terutama sekali mereka yang berada di West Coast.

Misalnya, seorang penuntut yang melakukan perjalanan dari hougang ke Politeknik Ngee Ann di Clementi Road akan mengambil masa 35 minit di CRL, jauh lebih singkat berbanding masa perjalanan lebih sejam sekarang ini, jelas LTA.

Satu lagi contoh ialah, menurut LTA, seorang penumpang yang melakukan perjalanan dari West Coast ke Taman Perindustrian Ang Mo Kio boleh menjimatkan masa sehingga 40 minit. Perjalanan sekarang ini mengambil masa satu jam 10 minit, dan akan dipendekkan menjadi 30 minit di CRL2.

Pembinaan CRL2 dijangka bermula tahun depan dan stesen-stesen itu dijangka dibuka menjelang 2032. Ia juga dijangka dapat memberi manfaat kepada 40,000 isi rumah yang tinggal di kawasan-kawasan itu.

LTA menyatakan ini akan membantu pihaknya mencapai sasaran, iaitu dengan lapan daripada 10 rumah dalam jarak perjalanan 10 minit ke stesen keretapi.

Dengan menghubungkan koridor-koridor perjalanan penting di seluruh Singapura, Laluan Rentas Pulau juga akan membahagikan semula pergerakan penumpang di laluan-laluan kereta api, sekali gus meningkatkan pengalaman pengangkutan awam secara keseluruhannya," kata Encik Iswaran.

"Rangkaian yang lebih luas dan padat akan mengukuhkan keutuhan di peringkat sistem."

TANAH UNTUK PEMEROLEHAN

Bagi memudahkan pembinaan CRL2, tiga bahagian lot tanah privet akan menjalani pemerolehan.

Ini termasuk dua unit perindustrian yang dimiliki JTC, yang kini disewakan kepada entiti-entiti privet di Estet Perindustrian Pandan Loop.

Pampasannya berdasarkan nilai pasaran tanah atau bawah tanah yang diperolehi itu.

Plot ketiga adalah bahagian ruang bawah tanah yang terletak di bawah sebahagian daripada tempat letak kereta, atau 18 petak letak kereta - di Casa Esperanza Condominium di Bukit Timah Road.

Kajian kejuruteraan bagi Fasa 3 CRL masih dijalankan dan perincian lanjut akan diumumkan selepas kajian itu selesai.

Sejak bulan Mac, semua kontrak sivil bagi Fasa 1 CRL sudahpun diberikan. Pembinaan sudah dimulakan dan dijangka tamat menjelang 2030.

Laluan tambahan yang menghubungkan Pasir Ris ke Punggol diumumkan pada 2020 dan dijangka siap dibina dan mula beroperasi pada 2032.
Sumber : CNA/IM/im

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan