Lagi 6 didakwa langgar peraturan COVID-19 di Clarke Quay pada malam Tahun Baru
Lagi enam individu didakwa pada Selasa (1 Mac) kerana dipercayai melanggar langkah-langkah pengurusan selamat COVID-19 semasa berhimpun di kawasan Clarke Quay pada malam Tahun Baru.
(Petikan skrin: Tiktok/shihanahnafshoeb/imnosimpp)
SINGAPURA: Lagi enam individu didakwa pada Selasa (1 Mac) kerana dipercayai melanggar langkah-langkah pengurusan selamat COVID-19 semasa berhimpun di kawasan Clarke Quay pada malam Tahun Baru.
Keenam-enam lelaki yang berusia antara 19 dengan 23 tahun itu adalah Ateesh Ashutosh Rao, Shyama Kumar Sharath, Low Xuan Ming Glaxy, Shae Mika'il Farook, Declan Goh dan Kevan Loh Wei Kang.
Usia dan kerakyatan tertuduh tidak didedahkan dalam dokumen mahkamah.
Kesemuanya didakwa kerana gagal menjaga jarak selamat 1 meter antara satu sama lain ketika berada di tempat awam.
Rao dan Sharath juga didakwa kerana menghadiri perhimpunan dengan sekurang-kurangnya enam individu bagi menyambut tahun baru di luar Riverside Point, sekali gus melanggar peraturan COVID-19 yang menghadkan perhimpunan sedemikian kepada tidak lebih daripada lima individu saja.
Dokumen mahkamah mendedahkan bahawa Low, bersama dengan tiga lagi orang, menghadiri satu perhimpunan dengan lebih lima individu dengan tujuan untuk merakam temu bual video dan memetik gambar dekat Jambatan Read di Clarke Quay.
Farook, Goh dan Loh juga berdepan satu tuduhan setiap satu kerana gagal memakai pelitup yang menutup bahagian hidung dan mulut ketika berada di tempat awam.
Dengan ini, jumlah individu yang didakwa berkaitan kejadian di Clarke Quay kini seramai 10 orang.
Lagi empat didakwa pada Januari.
Rakaman video yang tular di media sosial pada Januari lalu menunjukkan ramai orang berhimpun di luar Riverside Point di Clarke Quay untuk menyambut ketibaan tahun baru pada 31 Disember, dengan pasukan bertindak berbilang kementerian yang menangani COVID-19 kemudian menyifatkan perhimpunan itu sebagai "sebuah acara yang berisiko mencetuskan penularan secara besar-besaran".
Penguasa Pembangunan Semula Bandar (URA) menyatakan pada Isnin (28 Feb) bahawa lagi 11 individu masing-masing didenda S$1,000 kerana melanggar langkah-langkah pengurusan selamat, menjadikan keseluruhan jumlah individu yang didenda kini 15 orang.
URA juga menyatakan bahawa siasatan lanjut terhadap individu lain masih dijalankan, dengan tindakan penguatkuasaan akan diambil jika mereka didapati bersalah kerana melanggar sebarang langkah pengurusan selamat.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.