Lagi 50 bas Go-Ahead dipasang panel suria lebih ringan
Syarikat pengendali bas, Go-Ahead Singapore, mulai Isnin (16 Jan) akan melancarkan secara bertahap-tahap 50 bas tambahan yang dipasangkan dengan panel-panel suria ultra tipis bagi mengurangkan lanjut jejak karbon kenderaannya.

Bas-bas Go-Ahead Singapore dipasangkan dengan panel suria. (Gambar: Go-Ahead Singapore)
Menjelang April tahun ini, sejumlah 52 bas akan dilengkapi dengan panel suria yang dipasangkan pada atas bumbung kenderaan, menurut syarikat itu dalam kenyataan medianya.
Ini termasuk dua bas yang diuji cuba sejak Mac 2021, iaitu kali pertama panel suria seumpama itu dipasangkan pada bas-bas di Singapura. Bas tersebut adalah bas nombor 15.
Inisiatif itu dilaksanakan di Singapura menyusuli kejayaan uji cuba yang dijalankan di Southampton, Britain, menurut Go-Ahead.
Panel-panel suria ultra tipis dipilih dan bukannya panel suria konvensional kerana ia ringan dan ciri-cirinya yang fleksibel.
Uji cuba itu bertujuan untuk menilai prestasi dan kecekapan bas dalam mengumpulkan serta menggunakan tenaga suria bagi mengurangkan pelepasan karbon dan penggunaan bahan api di iklim tropika serta keadaan lalu lintas Singapura.
Panel suria ultra tipis itu menukarkan tenaga suria kepada elektrik untuk menjana kuasa kepada bateri bas.
"Ini mengurangkan beban pada pengulang-alik/alternator bas, yang seterusnya menjimatkan minyak dan mengurangkan pelepasan gas rumah hijau," jelas Go-Ahead.
Go-Ahead menyatakan dapatan daripada uji cuba itu positif sejauh ini. Syarikat itu manambah bahawa ia dapat mencapai penjimatan bahan api antara 3 hingga 4 peratus setahun, iaitu sekitar 3.7 hingga 4 tan pelepasan karbon setiap tahun untuk setiap bas.
Berikutan hasil uji cuba itu, Go-Ahead memutuskan untuk memasang panel suria pada lebih banyak bas selepas rundingan bersama Penguasa Pengangkutan Darat (LTA).
Apabila bas-bas itu dikerahkan sepenuhnya untuk perkhidmatan penumpang, syarikat itu menyatakan pelepasan karbonnya akan dikurangkan sebanyak kira-kira 200 tan setiap tahun, iaitu bersamaan dengan pelepasan karbon tahunan daripada 43 kereta komersil.
Go-Ahead menyatakan inisiatif ini selaras dengan usahanya untuk menyokong pengangkutan mampan serta matlamat syarikat untuk menjadi sebuah perniagaan bebas sisa karbon menjelang tahun 2045.
"Ia juga seiring dengan komitmen Singapura untuk mengecapi matlamat bebas sisa karbon menjelang 2050," tambahnya.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.