Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Lagi 4 perbahasan Parlimen yang wajar anda tahu

Pegawai kanan perkhidmatan awam dalam gred 'superscale' MX 9 dibayar gaji antara S$200,000 hingga S$260,000 setahun sepanjang tempoh lima tahun lalu.

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Pegawai kanan perkhidmatan awam dalam gred 'superscale' MX 9 dibayar gaji antara S$200,000 hingga S$260,000 setahun sepanjang tempoh lima tahun lalu.

Ini didedahkan dalam jawapan kepada satu soalan Parlimen pada Selasa (5 Jul) berhubung gaji pegawai khidmat awam berpangkat kanan.

MX 9 adalah gred permulaan bagi penjawat awam kanan dalam gred 'superscale', atau gred paling tinggi, dan ia biasanya bagi jawatan peringkat pengarah dalam kementerian pemerintah.

Pada 2020, akibat krisis COVID-19, pegawai perkhidmatan awam dalam gred paling tinggi menerima potongan gaji 0.5 atau satu bulan, dengan mereka yang dalam gred lebih tinggi menyaksikan pemotongan gaji lebih besar.

Soalan-soalan lain yang difailkan oleh para Anggota Parlimen (AP) termasuk topik-topik berkaitan peralihan kerjaya bagi mereka yang bersara daripada Angkatan Bersenjata Singapura (SAF), insiden salah tata laku dalam fraterniti sukan dan waktu permulaan bagi sekolah.

Berikutan adalah beberapa sedutan jawapan bertulis bagi soalan-soalan tersebut.

1. Gaji tahunan pegawai perkhidmatan awam dalam gred paling tinggi atau 'superscale'

Soalan oleh Encik Leon Perera, AP Kawasan Undi Perwakilan Berkumpulan (GRC) Aljunied


- Apakah gaji purata, gaji median dan julat pendapatan tahunan keseluruhan bagi gred ('superscale') dalam perkhidmatan awam?

Daripada keseluruhan gaji tahunan yang dibayar kepada pegawai MX 9, berapakah pecahan purata gaji asas dan setiap komponen bonus yang dibayar?

Jawapan oleh Menteri Bertanggungjawab bagi Perkhidmatan Awam Chan Chun Sing

Pegawai dalam gred paling tinggi MX 9 biasanya memegang jawatan pengurusan kanan dan membentuk sekitar 2.5 peratus daripada perkhidmatan awam.

Sepanjang lima tahun lalu, pendapatan tahunan pegawai MX 9 bermula dari S$200,000 hingga S$260,000, bergantung kepada pertumbuhan ekonomi tahun berkenaan dan prestasi perseorangan setiap pegawai.

Gaji merangkumi kedua-dua komponen tetap dan berubah-ubah, di mana komponen berubah-ubah bergantung kepada keadaan ekonomi serta prestasi pegawai.

Secara keseluruhannya, komponen berubah-ubah membentuk sekitar 20 hingga 35 peratus daripada keseluruhan pendapatan tahunan bagi peringkat MX 9 sepanjang lima tahun lalu.

2. Jumlah kakitangan yang disokong oleh pusat peralihan kerjaya SAF

Soalan oleh AP GRC Sengkang, Profesor Madya Jamus Lim


- Berapakah jumlah bukan pegawai berbanding kakitangan peringkat pegawai (termasuk pegawai waran) yang disokong oleh pusat sumber peralihan kerjaya dalam membantu mereka beralih kerjaya daripada angkatan bersenjata?

Adakah Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) mengekalkan statistik penempatan yang berjaya bagi bukan pegawai dan pesara peringkat pegawai?

Jawapan oleh Dr Ng Eng Hen, Menteri Pertahanan

Usia persaraan yang ditetapkan bagi pegawai tentera SAF adalah 50 tahun dan 55 tahun bagi pegawai waran dan pakar paling kanan.

Memandangkan kerjaya lebih singkat mereka bersama SAF, Pusat Sumber Peralihan Kerjaya (CTRC) Kementerian Pertahanan (MINDEF) menyokong semua kakitangan sedemikian dalam peralihan mereka ke kerjaya kedua selepas bersara.

Sokongan CTRC termasuk bimbingan kerjaya khusus oleh penasihat kerjaya dalaman yang bertauliah, rujukan pekerjaan dan acara rangkaian.

Kakitangan yang menerima sokongan juga diberikan dana dan kelapangan masa dari kerja untuk menghadiri kursus serta seminar, menghadiri temu duga serta memulakan latihan amali yang boleh dimanfaatkan untuk mengorak langkah dalam sektor yang diminati.

Program-program itu sudahpun berjaya membantu kebanyakan kakitangan dalam peralihan kerjaya mereka.

Bagi kedua-dua pegawai dan pegawai waran atau pakar yang berhasrat untuk terus bekerja selepas mereka meninggalkan SAF, lebih 80 peratus berjaya mendapat pekerjaan dalam tempoh enam bulan manakala 90 peratus daripada mereka dalam tempoh setahun.

3. Jumlah sekolah yang menggunakan kebebasan memulakan waktu persekolahan lebih lewat

Soalan oleh AP Yio Chu Kang Yip Hon Weng


- Berapa banyak sekolah kini mengunakan kebebasannya untuk mengamalkan waktu permulaan sekolah lebih lewat iaitu selepas pukul 7.30 pagi?

- Bagaimana Kementerian Pendidikan (MOE) menggalak atau memudahkan sekolah-sekolah untuk memulakan waktu persekolahan lebih lewat?

Jawapan oleh Menteri Pendidikan Chan Chun Sing

Semua sekolah memulakan waktu persekolahan tidak lebih awal dari pukul 7.30 pagi.

Sekitar satu daripada tujuh sekolah rendah, sekitar separuh daripada sekolah menengah dan kebanyakan maktab rendah memulakan waktu persekolahan selepas pukul 7.30 pagi pada sekurang-kurangnya tiga hari seminggu.

Sekolah mempertimbangkan pelbagai faktor ketika memutuskan waktu permulaan.

Ini termasuk latar belakang pelajar, program selepas waktu persekolahan dan program antara sekolah, peruntukan pengangkutan serta keadaan pengangkutan.

Lantas, Kementerian Pendidikan memberikan sekolah-sekolah kebebasan untuk memulakan persekolahan sama ada pada pukul 7.30 pagi atau lebih lewat.

4. Insiden dilaporkan di bawah Kod Gabungan Sukan Selamat

Kod Gabungan Sukan Selamat adalah sebuah set garis panduan yang pertama dilakarkan bagi fraterniti sukan di Singapura berhubung apa yang meliputi salah tata laku seksual, fizikal dan psikologi serta tingkah laku salah yang lain.

Ia dilancarkan oleh Suruhanjaya Sukan Selamat, dibentuk pada 2019 sebagai sebuah panel penasihat, untuk menggalakkan nilai-nilai serta amalan terbaik dalam sukan.

Soalan oleh Cik He Ting Ru, AP GRC Sengkang

- Sejak pelancaran Kod Gabungan Sukan Selamat pada November tahun lalu, berapakah insiden salah tata laku di bawah kod itu yang diterima di bawah Program Sukan Selamat?

- Daripada jumlah insiden itu, berapa banyak dirujukkan untuk mendapatkan penyelesaian rasmi?

- Apakah pecahan jumlah insiden yang tergolong di bawah setiap kategori kes yang dirujukkan untuk mendapatkan penyelesaian rasmi?

Jawapan oleh Encik Edwin Tong, Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia

Sejak kod itu dilancarkan, terdapat 22 aduan yang dipercayai melanggar kod tersebut.

Dua puluh dua aduan itu meliputi lapan aduan rasmi dan 14 pendedahan.

Tidak seperti laporan rasmi, pendedahan tidak membawa kepada siasatan rasmi. Bagaimanapun individu yang membuat pendedahan itu boleh mengubahnya menjadi satu aduan rasmi pada bila-bila masa.

Daripada lapan aduan rasmi yang diterima oleh suruhanjaya tersebut, dua dipercayai insiden serius, enam insiden dipercayai insiden dengan bahaya yang rendah atau kebersalahan yang rendah atau kedua-duanya.

Suruhanjaya Sukan Selamat sudahpun menyiasat keseua lapan aduan rasmi dan merujukkannya kepada persatuan sukan kebangsaan yang relevan atau Pejabat Pendaftaran Jurulatih Kebangsaan untuk penyelesaian.

Lima daripada lapan kes aduan rasmi itu sudahpun dihuraikan. Hukuman dan syarat yang wajar dikenakan terhadap pihak-pihak bersalah seperti menjalani latihan dalam isu-isu sukan selamat.

Baki tiga aduan masih menanti penyelesaiannya.

Suruhanjaya itu juga menyediakan kaunseling dan bentuk sokongan lain kepada para mangsa.
Sumber : Today/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan