Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Lagi 4 pelatih didapati menipu peperiksaan tarik balik permohonan jadi peguam

Anggaran Waktu Membaca:
Lagi 4 pelatih didapati menipu peperiksaan tarik balik permohonan jadi peguam

Gambar fail Mahkamah Tinggi Singapura.

SINGAPURA: Empat pelatih terakhir daripada 11 peguam pelatih, yang menipu dalam peperiksaan kelayakan pada 2020, pada Jumaat (26 Ogos) menarik balik permohonan mereka untuk menjadi peguam.

Keempat-empat peguam pelatih itu adalah Encik Sean Wong Wai Loong, Cik Joleen Ong Jia Yi, Encik Lim Zi Yi dan Cik Annabelle Au Jia En.

Hakim Besar Sundaresh Menon yang mendengarkan permohonan mereka di Mahkamah Tinggi melarang mereka berempat daripada membuat permohonan baru untuk peperiksaan kelayakan tersebut bagi tempoh antara sembilan bulan sehingga tiga tahun.

Tempoh yang ditetapkan bagi Cik Ong adalah tiga tahun. Manakala, tempoh bagi Encik Wong adalah dua tahun. Tempoh yang diberikan kepada Encik Lim adalah setahun sementara tempoh bagi Cik Au pula adalah sembilan bulan.

Hakim Besar sebelum ini mendengarkan dan mengenakan tempoh yang sama ke atas peguam pelatih yang pertama, Encik Leon Tay Quan Li.

Pada Mei lalu, Encik Tay memutuskan untuk menarik balik permohonannya.

Encik Tay turut diharamkan daripada membuat permohonan baru untuk peperiksaan kelayakan itu di Singapura atau mana-mana bidang kuasa lain dalam tempoh lima tahun akan datang.

Enam calon lain, yang terdiri daripada Cik Monisha Devaraj, Encik Kushal Atul Shah, Encik Sreeraam Ravenderan, Encik Matthew Chow Jun Feng, Encik Lionel Wong Choong Yoong dan Cik Lynn Kuek Yi Ting, juga memutuskan untuk menarik balik permohonan mereka pada 15 Ogos. Ia diluluskan oleh Hakim Choo Han Teck, yang tidak menetapkan masa untuk mereka memohon semula.

Mereka berenam didapati menipu semasa menduduki peperiksaan 'Bahagian B', di mana graduan undang-undang mesti lulus peperiksaan tersebut untuk diterima sebagai peguam di Singapura. Lima daripada mereka saling berkomunikasi antara satu sama lain dan berkongsi jawapan, termasuk satu bagi "Etika dan Tanggungjawab Profesional", menerusi WhatsApp.

Calon keenam, Cik Kuek didapati berpakat dengan seorang lagi calon untuk menipu bagi tiga kertas peperiksaan.

Pada April lalu, Hakim Choo menangguhkan prosiding permohonan Cik Kuek untuk diterima menjadi peguam selama 12 bulan, dan prosiding untuk kelima-lima calon yang lain selama 6 bulan.

Sebelum ini, Hakim Choo mengarahkan nama calon-calon berkenaan tidak didedahkan supaya tidak menjejas kerjaya mereka dalam jangka panjang. Nama calon-calon bagaimanapun selepas kes tersebut mendapat perhatian ramai.

Pada bulan yang sama, Peguam Negara turut mendedahkan bahawa lima lagi pelatih didapati menipu dalam peperiksaan kelayakan pada 2020, menjadikan jumlah orang yang terlibat kepada 11 orang kesemuanya.

Lima ini termasuk empat yang menarik balik permohonan mereka hari ini (26 Ogos).
Sumber : CNA/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan