Lagi 4 lulusan Melayu/Islam NTU raih Ijazah Sarjana Muda dengan Kepujian Tertinggi
Sekurang-kurangnya empat pelajar Melayu/Islam dari Universiti Teknologi Nanyang (NTU) mendapat Ijazah Sarjana Muda dengan Kepujian Tertinggi tahun ini. Ia dahulunya dikenali sebagai Ijazah Kepujian Kelas Pertama.
SINGAPURA: Sekurang-kurangnya empat pelajar Melayu/Islam dari Universiti Teknologi Nanyang (NTU) mendapat Ijazah Sarjana Muda dengan Kepujian Tertinggi tahun ini. Ia dahulunya dikenali sebagai Ijazah Kepujian Kelas Pertama.
Para lulusan Melayu/Islam cemerlang itu datang dalam pelbagai jurusan. Mereka adalah antara sekitar 9,000 siswazah NTU yang menerima ijazah masing-masing tahun ini. Sekitar 70 peratus bakal menggengam ijazah sarjana muda sementara yang lain lulus pada peringkat lebih tinggi.
BERITAmediacorp dimaklumkan oleh NTU, empat lulusan Melayu/Islam yang cemerlang itu ialah Aisyah Yusoff (Sosiologi), Muhammad Hilmi Rahman (Sains), Rifdi Rosly (Seni, Desain & Media) dan Dian Nadia Muhamad Tahir (Linguistik, Berbilang Bahasa).
MINAT TERHADAP SOSIOLOGI BERPUTIK SEJAK SEKOLAH MENENGAH
Bagi Aisyah Yusoff, beliau bukan sahaja lulus Ijazah Sarjana Muda (Kepujian Tertinggi) dalam Sosiologi dan Dasar Awam serta Hal Ehwal Global, malah lebih manis lagi beliau juga menjadi penerima biasiswa Anugerah Koh Boon Hwee atas pencapaiannya di NTU.
Aisyah akan melanjutkan pengajiannya dalam bidang Antropologi Sosial pada peringkat sarjana di Universiti Cambridge, Britain, pada Oktober ini.
Minat Aisyah dalam bidang sosiologi berputik sejak beliau dari sekolah menengah. Dari pengalamannya dalam interaksi seharian, Aisyah ingin tahu apakah yang membentuk identiti budaya seseorang. Maka itu, sebaik sahaja melangkah ke NTU, beliau tekad untuk mengkaji isu ini dengan lebih mendalam menerusi bidang sosiologi.
KAJI KEHIDUPAN WANITA BERNIQAB DI S'PURA
Dek prestasi akademik yang cemerlang, gadis berusia 23 tahun itu juga dipelawa untuk menyertai program penyelidikan URECA NTU (Pengalaman Penyelidikan Siswazah di Kampus) yang hanya ditawarkan kepada para mahasiswa pada tahun kedua atau ketiga dan mempunyai Purata Nilai Gred (YGPA) 4.5 dan ke atas.
Semangat dan minatnya begitu mendalam sehingga Aisyah merebut peluang untuk mengikuti program tersebut selama dua tahun berturut-turut - walhal program tersebut memerlukan komitmennya untuk melakukan penyelidikan selama 10 jam setiap minggu. Ini tidak termasuk modul-modulnya yang lain.
"Saya dibimbing dua mentor yang begitu baik sekali iaitu Prof Madya Premchand Dommaraju dan Prof Madya Kamaludeen Mohamed Nasir. Malah, mereka menarik minat saya untuk meneroka masyarakat di luar negara dan sosiologi Islam," cerita Aisyah.
Bagi Projek Tahun Akhirnya, Aisyah memutuskan untuk mengkaji wanita berniqab Singapura kerana ingin tahu cabaran yang dihadapi golongan itu.
"Setiap seorang akan mempunyai pandangan masing-masing terhadap orang lain. Dalam konteks masa kini pula, ada pengaruh Arab yang kian ketara terutama sekali di Asia Tenggara.
"Saya berfikir, kalau isu ini tidak dikaji dan kita hanya mempercayai stereotaip kurang baik terhadap wanita berniqab misalnya, akan timbul rasa kurang percaya antara satu sama lain," jelas Aisyah.
LUANG MASA 3 BULAN BERSAMA WANITA BERNIQAB
Kajian itu memakan masa yang lama. Untuk bertemu dan mengenali golongan wanita berniqab sahaja memakan masa sekitar tiga bulan. Dalam tempoh tersebut, Aisyah bertemu dengan lebih dekat lagi sekitar 20 wanita berniqab - semuanya merupakan rakyat Singapura.
"Saya gembira dan terharu kerana mereka ingin berkongsi kisah kehidupan mereka," cerita Aisyah.
Aisyah juga berkongsi bahawa beliau gembira melihat sesetengah wanita berniqab yang ditemuinya juga menunjukkan keinginan untuk bergaul dengan masyarakat umum.
Di samping itu, Aisyah turut aktif dalam kegiatan sekolah lain seperti program intensif pembangunan kepimpinan selama sebulan dipanggil NTU Peak. Semasa menyertai program tersebut, beliau bekerja bersama seorang pegawai daripada syarikat Rolls-Royce untuk mempelajari dan menghuraikan cabaran-cabaran dihadapi para kakitangan yang bekerja secara berkumpulan.
Atas prestasinya yang cemerlang, Aisyah dipilih sebagai valediktorian dalam satu majlis konvokesyen di sekolahnya.
CINTA KEPADA MAKANAN BAWA HILMI RAHMAN KE TANGGA KEJAYAAN
Seorang lagi anak Melayu dari NTU yang meraih Ijazah Sarjana Muda Sains dengan Kepujian Tertinggi ialah Muhammad Hilmi Rahman. Minat anak bongsu tiga beradik ini sedikit berlainan tetapi beliau juga berjiwa besar.
Sejak kecil lagi, Hilmi memang meminati makanan. Beliau suka meneliti makanan yang dimakan.
"Bukan minat memasak, saya hanya suka ambil tahu tentang rasa makanan seperti apa," seloroh Hilmi.
Walaupun NTU menawarkan pelbagai jurusan dalam 10 bidang umum, pemuda berusia 26 tahun ini tidak berfikir panjang untuk menceburi bidang kimia, sains dan teknologi makanan. Hilmi bahkan menjalani latihan amali dengan antara syarikat snek terbesar di dunia iaitu Mondelez International. Beliau terlibat dalam penghasilan pelbagai prototaip bagi bermacam-macam jenama gula-gula.
"Saya diberi peluang untuk menyumbang idea bagi mempertingkat rasa produk-produk syarikat itu," kata Hilmi.
PILIH KERJAYA BERMAKNA DENGAN NTUC
Hilmi antara 70 peratus mahasiswa NTU yang sudahpun mendapat pekerjaan jauh sebelum pencapaiannya diraikan dalam majlis konvokesyen sekolah. Beliau kini merupakan seorang pegawai pengurusan di NTUC Fairprice yang menaruh impian untuk bersama-sama menghasilkan barangan-barangan keluaran syarikat itu sendiri.
"Ini cara saya untuk menyumbang kepada masyarakat. Saya menyertai NTUC Fairprice kerana saya percaya syarikat itu mempunyai misi sosial yang kuat iaitu untuk menyederhanakan kos kehidupan di Singapura," jelas Hilmi.
Hilmi percaya, dengan pengalaman dan ilmu yang diraih semasa menuntut di NTU, beliau dapat membantu syarikat pasar raya itu menghasilkan produk-produk yang berkualiti dan lebih dimampui ramai.
MEMANG SUKA TABUR BAKTI DENGAN CARA TERSENDIRI
Sebenarnya, Hilmi memang giat menabur bakti sejak beliau masih lagi menuntut di NTU. Meskipun jadual sekolahnya padat, Hilmi melakukan kerja-kerja sukarela bersama Kelab Khidmat Kebajikan NTU. Bersama rakan-rakan lain, beliau menjadi mentor kepada para pelajar sekolah rendah dan menengah dari keluarga-keluarga kurang berkemampuan.
Bagi Projek Tahun Akhirnya pula, Hilmi juga melakukan sesuatu yang dapat membantu masyarakat mengatasi masalah yang boleh menjejas kesihatan mereka. Beliau meninjau penggunaan graphene quantum dots iaitu karbon bersaiz nano untuk mengesan bahan cemar dalam minuman.
DIAN NADIA MUHAMAD TAHIR: FASIH BAHASA KOREA DAN AKAN SERTAI MFA
(Gambar: Majlis Belia Kebangsaan)
Dian Nadia Muhamad Tahir, 23 tahun, pula mendapat Ijazah Sarjana Muda Sastera (Kepujian Tertinggi) dalam bidang Pengajian Linguistik dan Berbilang Bahasa.
Beliau sudahpun mendapat pekerjaan dengan Perkhidmatan Awam dan akan bertugas di Kementerian Ehwal Luar Singapura tidak lama lagi, menurut NTU.
Dian Nadia fasih dengan bahasa Korea dan sangat berminat dengan ehwal Korea, sehingga pernah mewakili Singapura sebagai ketua delegasi bagi Forum Belia Antarabangsa ke-29, yang dihoskan oleh Kementerian Kesamaan Jantina dan Keluarga.
Pada Januari 2018, Dian Nadia sekali lagi mewakili Singapura ke Korea Selatan selaku ketua delegasi, tetapi bagi Program Pertukaran Belia Orientasi Masa Depan ASEAN-Korea ke-19. Semasa program itu, beliau bekerjasama dengan 100 anggota delegasi dari 10 negara ASEAN dan Korea Selatan.
RIFDY ROSLY: MENANG PINGAT EMAS LEE KUAN YEW
Kesemuanya 54 Anugerah Pingat Emas Lee Kuan Yew dan Sarjana Koh Boon Hwee diberikan kepada mahasiswa yang begitu cemerlang tahun ini. Antara penerima anugerah berprestij Pingat Emas Lee Kuan Yew itu termasuklah Rifdi Rosly, 25 tahun, yang lulus dengan Ijazah Kepujian Sarjana Muda Seni Halus (Kepujian Tertinggi).
Beliau muncul sebagai mahasiswa terbaik dalam jurusan Seni, Desain dan Media NTU. Apa yang membuat Projek Akhir Tahun mahasiswa ini istimewa? Rifdy memutuskan untuk menerapkan pengalamannya membesar dalam sebuah keluarga kacukan Melayu-Cina di Singapura.
Buat masa ini, Rifdy masih perlahan-lahan menempa nama dengan bekerja sebagai seorang jurugambar komersil bebas. Namun, beliau sudah mempunyai rancangan untuk membuka sebuah agensi kreatif bersama rakan-rakan seperjuangannya. Agensi itu akan dibuka khusus untuk menghasilkan kandungan-kandungan online.
Rifdy juga yakin untuk terus mengorak langkahnya dalam bidang yang diminati apalagi beliau baru-baru ini memenangi Anugerah Cemerlang Kwek Leng Joo 2019 dalam bidang fotografi. Dengan penganugerahan itu, Rifdi mendapat geran tunai untuk melanjutkan kerjayanya dan menghasilkan karya-karya yang akan dipamerkan pada Mei tahun depan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.