Lagi 4 didakwa langgar peraturan COVID-19 semasa sambut Tahun Baru di Clarke Quay
Empat lagi individu akan didakwa kerana melanggar beberapa peraturan COVID-19 pada malam Tahun Baru di Clarke Quay.
SINGAPURA: Empat lagi individu akan didakwa kerana melanggar beberapa peraturan COVID-19 pada malam Tahun Baru di Clarke Quay.
Kejadian yang berlaku pada 31 Disember tahun lalu itu dirakam dan menjadi tular di media sosial.
Keempat-empat individu itu berusia antara 19 dengan 22 tahun, menjadikan jumlah keseluruhan individu yang didakwa berkaitan kejadian tersebut kini seramai 14 orang.
Demikian menurut Penguasa Pembangunan Semula Bandar (URA) dalam kenyataannya pada Isnin (21 Mac).
URA bagaimanapun tidak menyatakan bila keempat-empat individu itu akan didakwa.
Dalam kalangan 10 individu yang didakwa, enam daripada mereka iaitu Kevan Loh Wei Kang, Declan Goh (Wu Yiren), Shae Mika'il Farook, Glaxy Low Xuan Ming, Shyama Kumar Sharath dan Ateesh Ashutosh Rao - didakwa pada 1 Mac.
Lagi empat orang iaitu Verma Pulkit, Harjaz Singh, Kotra Venkata Sai Rohankrishna dan Brooks-Potts William Alexander - didakwa pada 25 Januari.
URA tidak mendedahkan nama keempat-empat individu yang didakwa baru-baru ini.
Lagi tiga individu dikenakan saman S$1,000 setiap seorang kerana melanggar peraturan COVID-19, sekali gus bermakna jumlah individu yang disaman kini seramai 19 orang.
"Pihak berkuasa tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap individu dan perniagaan yang melanggar undang-undang. Kami menggesa semua orang supaya memainkan peranan masing-masing untuk melindungi kesihatan diri sendiri dan orang lain," menurut URA.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.