Lagi 333 Rakan Bahasa dilantik, terlibat dalam pelancaran Bulan Bahasa

Sebilangan Rakan Bahasa 2025 memimpin lafaz ikrar. (Foto: BERITA Mediacorp)
Dalam Majlis Pelantikan Rakan Bahasa siang tadi, Pengerusi Jawatankuasa Bulan Bahasa, Zhulkarnain Abdul Rahim menekankan pentingnya peranan Rakan Bahasa kepada sahabat-handai dan kaum keluarga masing-masing.
Beliau juga menggalakkan mereka untuk memikirkan cara bagi terus mengasah kemahiran berbahasa dan memperdalam cinta terhadap Bahasa Melayu.

333 Rakan Bahasa ini terdiri daripada 190 pelajar sekolah rendah, 126 pelajar sekolah menengah, 14 pelajar Maktab Rendah, seorang pelajar Institut Pendidikan Teknikal dan dua orang mahasiswa universiti.
"Hal ini amat memberangsangkan kerana ia menunjukkan bahawa guru-guru dan ibu bapa terus memberikan keutamaan untuk memupuk rasa cinta terhadap bahasa dalam kalangan anak-anak kita," ujar Encik Zhulkarnain dalam ucapannya.
Tambahnya, para Rakan Bahasa ini juga berpeluang mendalami penulisan skrip dan drama audio, selain peluang terlibat dalam reruai pelancaran Bulan Bahasa pada Ogos 2025.
Bulan Bahasa 2025 akan diadakan dari 16 Ogos hingga 12 Oktober 2025.
Inisiatif Rakan Bahasa mula diadakan sejak 2014.
Ia sebahagian daripada inisiatif Bulan Bahasa untuk memperkasa belia dalam menyebarkan cinta kepada bahasa selain menerajui kegiatan-kegiatan bahasa di sekolah masing-masing.
Tahun lalu, seramai 363 Rakan Bahasa dilantik.

PENDEKATAN MENARIK SEMAI CINTA TERHADAP BAHASA MELAYU
Sementara itu, acara dan inisiatif yang dikongsi siang tadi, seperti Kad Kembara dan Pertandingan TeeVers, memberi peluang kepada Rakan-Rakan Bahasa ini memperdalam penghargaan dan menggalakkan penggunaan bahasa Melayu.
Ia juga melibatkan sesi latihan yang dikendalikan oleh Duta Bahasa, Asnida Daud, yang juga anggota jawatankuasa Bulan Bahasa 2025.
"Kita ada 333 pelajar, murid kita yang dinobatkan sebagai Rakan Bahasa. Tahun ini juga mereka akan dapat peluang untuk melibatkan diri dalam Pertandingan TeeVers iaitu satu wadah bagi mereka bukan sahaja untuk melaksanakan dalam pengkhususan dalam pembikinan skrip tetapi untuk menjadikan satu drama audio, supaya mereka dapat mempelajari penggunaan bahasa, dalam lontaran suara, dalam penggunaan kata-kata yang dapat membangkitkan emosi dalam penyampaian skrip tersebut," ujar Encik Zhulkarnain.
RAKAN BAHASA TERUJA MAHU ANJURKAN KEGIATAN BAHASA
Antara yang dilantik tahun ini ialah Nayla Najwa Mohamed Naguib, 18 tahun dari Maktab Rendah Jurong-Pioneer.
Beliau bertekad untuk cuba merancang dan menganjurkan aktiviti-aktiviti Melayu yang tidak dilakukan dalam sekitaran sekolah.
"Disebabkan dalam maktab rendah, jumlah murid Melayu kecil. Namun tidak bermaksud bahawa saya sebagai seorang Rakan Bahasa patut membiarkan minat pelajar terhadap kebudayaan Melayu pudar sebegitu sahaja dan disebabkan itu mungkin aktiviti-aktiviti yang dapat dilakukan di luar Minggu Bahasa adalah seperti membuat makanan lakuran, mempelajari bagaimana untuk memasak makanan Melayu, bagaimana menulis pantun dan syair dengan cara yang berbeza seperti lirik, seperti cara nyanyian yang berbeza," kongsi Nayla.
Dari Institusi Raffles pula, Maqil Dzulfakir, 13 tahun, akan cuba mencari kaedah yang dipercayainya tepat dalam memenuhi peranan yang digalasnya.
"Sebagai Rakan Bahasa dan rakan yang baik, saya akan mempromosikan budaya dan Bahasa Melayu kepada pelajar-pelajar melalui seni Melayu seperti lagu tradisional Melayu dan seni seperti Silat. Pada pendapat saya, golongan remaja dewasa ini lebih tertarik kepada seni berbanding sastera. Oleh itu, saya rasa lebih sesuai untuk menggunakan seni untuk menarik pelajar supaya mencintai budaya kita," luah Maqil.
Di samping itu, Encik Zhulkarnain juga menekankan peranan ibu bapa untuk menggalak penggunaan bahasa ibunda lebih-lebih lagi di rumah.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.