Skip to main content

Singapura

Lagi 300 mesin BCRS akan dipasang di institusi pengajian tinggi, kawasan perindustrian

Anggaran Waktu Membaca:
Lagi 300 mesin BCRS akan dipasang di institusi pengajian tinggi, kawasan perindustrian

Seorang pengguna meletakkan bekas minuman ke dalam mesin Return Right pada 18 Mac 2026. Sebanyak 1,070 mesin ini akan digunakan di seluruh Singapura mulai 1 April. (Gambar: CNA/Syamil Sapari)

Diterbitkan : 06 Aug 2026 04:07PM Dikemas Kini : 06 Aug 2026 04:13PM
SINGAPURA: Sebanyak 300 mesin tambahan akan dipasang di luar kawasan fasa awal di bawah Skim Pulangkan Bekas Minuman (BCRS).

Antara kawasannya termasuklah institusi pengajian tinggi, asrama pekerja, kawasan perindustrian, pusat rekreasi dan tempat tumpuan pelancong.

Syarikat tidak berasaskan keuntungan, BCRS Ltd, yang mengendalikan skim kitar semula nasional ini, menyatakan pada Khamis (6 Ogos) bahawa sebanyak 1,200 mesin sudah pun dipasang.

Ini merangkumi 1,070 mesin yang mula beroperasi semasa skim dilancarkan pada 1 April, dan 130 lagi mesin yang ditambah sepanjang fasa peralihan setakat ini.

Syarikat itu berada di landasan yang betul untuk menggandakan jumlah tempat pemulangan secara berperingkat dalam tahun pertama pelaksanaan.

Kini, lebih 90 peratus isi rumah Lembaga Pembangunan dan Perumahan (HDB) terletak dalam jarak lima minit berjalan kaki dari mesin tersebut.

Sejak 1 April, sebanyak 5.5 juta bekas minuman kosong dikumpul, dengan lebih satu juta urus niaga yang berjaya setakat ini.

Menteri Negara Kanan Kemampanan dan Sekitaran, Janil Puthucheary, memberitahu parlimen pada Rabu (5 Ogos) bahawa jumlah ini dijangka terus meningkat apabila lebih banyak produk berlabel BCRS masuk ke pasaran.

Inisiatif ini bertujuan untuk memastikan sekurang-kurangnya 60 peratus bekas minuman di pasaran dipulangkan untuk dikitar semula dalam tahun pertamanya, iaitu sasaran yang ditetapkan oleh Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA).

Matlamat seterusnya adalah untuk mencapai kadar pemulangan 80 peratus bermula tahun 2029, iaitu tahun ketiga skim ini dijalankan.

Mediacorp bertanya kepada BCRS Ltd tentang kadar kitar semula semasa berdasarkan 5.5 juta bekas yang dikumpul setakat ini.

Pengendali tersebut menyatakan dalam dokumen fakta media bahawa mereka melihat "kemajuan yang memberangsangkan" sejak pelancaran, di mana purata kadar pemulangan mingguan meningkat daripada 2.8 bekas pada bulan April kepada 5.9 bekas pada masa ini.

Daripada bahan yang dikumpul setakat ini, 55 peratus adalah plastik manakala 45 peratus lagi adalah logam.

Di bawah skim ini, pengguna boleh memulangkan bekas minuman yang layak di mesin khas untuk mendapatkan semula deposit sebanyak S$0.10.

Bekas minuman ini adalah bekas prabungkus yang diperbuat daripada plastik atau logam, berkapasiti antara 150ml hingga 3,000ml, dan mempunyai tanda deposit BCRS.

Bekas minuman tanpa tanda deposit masih boleh didapati di pasaran sepanjang tempoh peralihan sehingga 30 September, bagi memberi masa kepada pengeluar menghabiskan bekalan sedia ada.

Bermula 1 Oktober, semua bekas minuman terkawal yang dijual di Singapura wajib mempunyai tanda deposit tersebut.

BCRS Ltd bertanggungjawab mengumpul dan mengitar semula bekas minuman bagi pihak pengeluar minuman.

Syarikat ini ditubuhkan oleh konsortium pengeluar minuman yang terdiri daripada Coca-Cola Singapore Beverages, F&N Foods dan Pokka.

PENAMBAHBAIKAN PADA MESIN

BCRS Ltd menyatakan bahawa mereka sudah membuat beberapa penambahbaikan praktikal pada skim ini berdasarkan pengalaman yang dipelajari sepanjang tempoh peralihan.

Ini termasuk mereka semula paparan antaramuka pada semua mesin Return Right agar butang "Tap for Refund" (Sentuh untuk Bayaran Balik) lebih jelas kelihatan, memanjangkan masa tamat bayaran balik, serta meningkatkan kelantangan nada bunyi bagi memberitahu pengguna apabila urus niaga atau sentuhan kad mereka berjaya.

"Kami menggunakan pengalaman daripada operasi awal ini untuk menambah baik proses pemulangan, mengurangkan masalah mesin rosak yang boleh dielakkan, melaras semula sistem pengecaman bekas, dan memperkemas proses bayaran balik," kata BCRS Ltd.

Pihak syarikat bersama NEA juga berhubung dengan pengeluar, peruncit utama, kedai runcit, pengusaha makanan dan minuman, kedai kopi serta kedai makan untuk menyediakan mereka menghadapi skim ini.

Mereka diberi maklumat tentang keperluan skim serta perkara yang perlu dijangkakan semasa fasa peralihan dan selepas pelaksanaan penuh.

Pengendali itu sudah menganjurkan 12 bengkel bersama perusahan sosial Green Nudge di pusat-pusat penuaan aktif di seluruh negara, yang melibatkan lebih 430 warga emas dengan "keputusan yang amat positif".

Kira-kira 97 peratus warga emas mendapati proses pemulangan adalah mudah atau sangat mudah, manakala kesemua mereka (100 peratus) dapat mengenal pasti bekas yang layak dengan tanda deposit, menurut BCRS Ltd.

Pihak syarikat akan memperluas bengkel ini ke 40 atau lebih pusat penuaan aktif dalam beberapa bulan akan datang.

Selain itu, BCRS Ltd mengadakan enam pameran jalanan di pasar raya kawasan perumahan sejak 1 April untuk menunjukkan cara penggunaan mesin secara terus, dengan lebih 400 pameran jalanan lagi dirancang di pasar raya bermula Ogos dan seterusnya.

Pembantu atau "buddies" Return Right akan membantu pembeli dan melatih kakitangan barisan hadapan pasar raya tentang cara mengendalikan mesin serta menjawab soalan lazim daripada orang awam.

Di kawasan perumahan HDB, duta Return Right juga mula ditempatkan secara bertingkat di kawasan mesin yang berdekatan kolong blok yang menjadi tumpuan ramai.

Penduduk boleh menyemak laman Return Right untuk jadual sesi terkini.BCRS Ltd juga bekerjasama dengan NEA untuk menjalankan sesi pendidikan di beberapa sekolah rendah dan menengah terpilih. Lima sesi dijadualkan bagi bulan Ogos dan September.

Mereka juga akan melancarkan program pendidikan di institusi pengajian tinggi bagi menggalakkan penyertaan golongan belia.

"Kami menggalakkan semua orang untuk mengambil bahagian secara aktif dengan lebih peka terhadap bekas minuman yang digunakan, dan memulangkan bekas minuman kosong di tempat pemulangan yang ditetapkan," menurut pengendali itu.
Sumber : CNA/NK/ll
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita