Lagi 3 kes pesanan pukal palsu libatkan individu menyamar sebagai anggota MINDEF, SAF
Kementerian Pertahanan (MINDEF) pada Selasa (23 Sep) malam menyatakan pihaknya dimaklumkan mengenai tiga kes baharu berhubung pesanan pukal yang disyaki penipuan dibuat oleh individu yang mendakwa dirinya daripada pihak kementerian atau Angkatan Bersenjata Singapura (SAF).
Tiga kes baharu itu melibatkan penggunaan pesanan perolehan palsu. (Gambar: Facebook/Kementerian Pertahanan)
Kes-kes tersebut melibatkan “penggunaan pesanan perolehan palsu yang kononnya dari MINDEF atau SAF,” menurut kenyataan MINDEF di Facebook.
“Kami menggesa orang awam dan semua perniagaan supaya berwaspada dan melaporkan sebarang aktiviti mencurigakan kepada polis,” tambahnya.
Catatan itu turut disertakan dengan petikan skrin pesanan pukal palsu sepanjang tiga halaman.
Terdapat beberapa kes pesanan pukal palsu yang menyasarkan perniagaan di Singapura baru-baru ini, di mana para individu menyamar sebagai anggota SAF.
Antara mangsa kes termasuk sebuah kedai roti, penjual bunga dan sebuah gerai penjaja yang menyediakan 150 bungkus briyani ayam dan kambing – sebelum menyedari bahawa pesanan tersebut adalah palsu.
Berbeza dengan tiga kes baharu itu yang melibatkan dokumen pesanan yang dipalsukan, dalam kes-kes sebelumnya para pelaku akan menghubungi mangsa menerusi telefon.
Setakat 19 September, enam irang diberkas berhubung skim-skim penipuan melibatkan penyamaran sebagai anggota SAF.
Salah seorang tertuduh adalah seorang wanita berusia 22 tahun, dan dia sudah didakwa di mahkamah.
Siasatan awal mendapati suspek dipercayai bertindak atas arahan satu sindiket penipuan.
Dalam satu lagi varian skim penipuan berkenaan, tiga perniagaan, termasuk seorang penjual buah-buahan dan syarikat peralatan tempat tidur, baru-baru ini menjadi sasaran penipu yang mendakwa dirinya sebagai kakitangan Sekolah Perempuan Cina Singapura (SCGS).
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.