Lagi 3 Duta Bahasa dilantik, SG jadi tuan rumah MASTERA 2025
Rakan Bahasa 2024, Fatih Hamdani (kiri), pelakon dan pengacara, Izyan Mellyna (tengah) dan aktivis seni, Hidayat Nordin (kiri) dilantik sebagai Duta Bahasa tahun ini. (Gambar: Hidir Ezat)
SINGAPURA: Lagi tiga orang Duta Bahasa dilantik tahun ini bagi memeriahkan lagi kempen yang menggalak penggunaan dan kelestarian bahasa Melayu itu.
Mereka ialah:
1. Izyan Mellyna – Pelakon, Pengacara, Penerbit, dan Usahawan
2. Hidayat Nordin – Aktivis Seni dan Teater, dan Pencipta Kandungan
3. Fatih Hamdani – Rakan Bahasa 2024
Pelantikan mereka diumumkan dalam sidang media Bulan Bahasa pada Jumaat (18 Jul).
3 PROFIL BERBEZA, 1 MATLAMAT YANG SAMA
Bagi Izyan Mellyna yang merupakan seorang bekas jururawat dan ibu kepada tiga orang anak lelaki, beliau mahu menggunakan platform media sosialnya untuk memperkasakan wanita, meraikan kepelbagaian dan memperkasakan Bahasa Melayu.
"Saya harap dengan penggunaan media sosial, kerana ia kekuatan saya, saya menyampaikan kepada para belia. Kandungannya, bagi saya, harus kekal relevan dan perlu dengan gaya santai. Ia tidak boleh terlalu formal atau akademik" kata Cik Izyan.
Lagi seorang Duta Bahasa yang terpilih kali ini ialah Nur Muhammad Hidayat Nordin, seorang seniman pelbagai disiplin.
Bidang kerjanya merangkumi teater, kesusasteraan, muzik dan media.
Duta Bahasa ketiga pula Fatih Hamdani Muhammad Effendy.
Tahun lalu, penuntut Raffles Institution itu dilantik sebagai Rakan Bahasa dan kali ini beliau diiktiraf dengan pelantikan baharunya sebagai Duta Bahasa.
"Saya akan cuba menggunakan bakat-bakat saya untuk membuat Bahasa Melayu lebih senang bagi mereka untuk mendakap dan memeluk, dan untuk menjadikan budaya Melayu mungkin lebih 'trendy' bagi mereka" kongsinya.
DUTA BAHASA BUKAN MELAYU?
Secara keseluruhan, 53 orang Duta Bahasa sudah dilantik sejak 2010.
Encik Zhulkarnain melahirkan penghargaannya atas sumbangan mereka setakat ini.
Beliau juga tidak menolak kemungkinan untuk seorang individu bukan Melayu yang sudah banyak menyumbang kepada usaha melestarikan Bahasa Melayu dilantik menjadi seorang Duta Bahasa pada masa akan datang.
"Pelantikan Duta Bahasa tidak kira usia dan rupa bentuk seseorang itu tetapi menilai kepada penggunaan dan niat untuk melestarikan bahasa kita. Kita tidak menafikan mungkin pada masa akan datang, ada warga negara Singapura yang ingin memartabatkan, yang telah membuat pelbagai inisiatif untuk memartabatkan bahasa Melayu kita, yang datang daripada bukan masyarakat kita tetapi juga warga negara Singapura kerana kita tidak harus terlepas pandang bahawa bahasa kebangsaan kita, bahasa ibunda kita juga digunakan oleh masyarakat yang bukan Melayu juga," kongsi Encik Zhulkarnain kepada wartawan Hidir Ezat.
Selain pelantikan Duta Bahasa, pelbagai program menarik juga telah dirancang dan dijadualkan bagi Bulan Bahasa 2025.
Ini termasuk Bengkel Menulis Komik Melayu, siri dokumentari Gabungan Kumpulan Dikir Barat Singapura dan persembahan Gelanggang Langkah Berseni yang akan menyemarakkan lagi kempen Bulan Bahasa 2025.
Program-program Bulan Bahasa akan berlangsung antara 16 Ogos hingga 12 Oktober 2025.
mengikut peredaran masa. Untuk memeliharanya bagi generasi akan datang, kita harus memperkukuh usaha kita untuk mempromosikan bahasa Melayu setiap tahun. Tahun ini, sempena sambutan SG60, kita juga meraikan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan Singapura yang telah digunakan oleh generasi rakyat Singapura dari pelbagai kaum sejak awal pembangunan negara kita," kata Encik Zhulkarnain.
SG JADI TUAN RUMAH MASTERA 2025
Beliau yang juga Pengerusi Majlis Bahasa Melayu Singapura (MBMS) juga mengumumkan bahawa MBMS akan menjadi tuan rumah untuk Seminar dan Persidangan Majlis Sastera Asia Tenggara (MASTERA) pada September 2025.
Seramai 50 wakil dari negara-negara anggota iaitu Malaysia, Indonesia dan Brunei Darussalam akan berada di Singapura untuk menghadiri program-program MASTERA.
"MASTERA membangunkan dan memperkaya budaya kesusasteraan Melayu Singapura. Majlis Bahasa Melayu Singapura berbesar hati kerana bakal menjadi tuan rumah MASTERA 2025, bersamaan dengan sambutan SG60," kata Dr Azhar Ibrahim, Timbalan Pengerusi MBMS dan Pengerusi Jawatankuasa Persuratan MBMS.
MBMS juga akan menganjurkan Hari MASTERA pada hari Sabtu, 16 Ogos 2025.
MASTERA ditubuhkan pada tahun 1995 dan Singapura menjadi anggota rasmi pada tahun 2012.
Ia bertujuan untuk mempromosikan kesusasteraan Melayu di peringkat serantau melalui pelbagai program tahunan seperti seminar dan bengkel.
Negara-negara anggota bergilir-gilir menjadi tuan rumah seminar dan persidangan tahunan, dan Singapura pernah menjadi negara tuan rumah pada tahun 2015 dan 2019.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.