Skip to main content

Singapura

Lagi 3 diberkas disyaki terlibat penipuan tempahan pukal

Anggaran Waktu Membaca:
Lagi 3 diberkas disyaki terlibat penipuan tempahan pukal

Tiga lagi individu ditangkap kerana disyaki terlibat dalam penipuan tempahan pukal palsu. (Gambar: iStock)

SINGAPURA: Tiga lagi individu ditangkap kerana disyaki terlibat dalam penipuan tempahan pukal palsu, di mana mereka menyamar sebagai anggota Angkatan Bersenjata Singapura (SAF), menurut Pasukan Polis Singapura (SPF) pada Jumaat (19 Sep).

Ketiga-tiga suspek, yang berusia antara 17 dengan 28 tahun, diberkas pada Khamis dan Jumaat selepas para pegawai dari Markas Antipenipuan Jabatan Ehwal Komersial (CAD) dan Divisyen Polis Central menjalankan serbuan serentak di kawasan sekitar Bukit Batok West, Fernvale Lane dan Northshore Drive.

Menurut kenyataan media SPF, siasatan awal mendapati ketiga-tiga suspek bertindak mengikut arahan sebuah sindiket penipuan bagi memudahkan pelaksanaan penipuan tersebut.

"Lelaki berusia 28 tahun itu dipercayai telah menyerahkan butiran Singpass miliknya kepada sindiket penipuan sebagai ganjaran untuk mendapatkan wang, manakala remaja perempuan berusia 17 tahun dan lelaki berusia 21 tahun telah membantu individu tidak dikenali untuk melanggani syarikat telko.

"Sebahagian daripada nombor telefon itu terkait dengan kes penipuan ini," kata polis.

Siasatan masih dijalankan.

Beberapa perniagaan di Singapura sebelum ini menjadi mangsa penipuan pesanan pukal palsu, di mana penipu menyamar sebagai anggota SAF.

Pada Selasa lalu, SPF memaklumkan bahawa tiga individu berusia antara 16 hingga 31 tahun ditangkap kerana disyaki terlibat dalam penipuan tersebut.

Seorang wanita berusia 22 tahun yang turut dikaitkan dengan kes pesanan palsu itu didakwa di mahkamah pada Rabu lalu.

Kesalahan mendedahkan butiran Singpass untuk melakukan kesalahan di bawah Seksyen 8A Akta Penyalahgunaan Komputer boleh membawa kepada hukuman penjara sehingga tiga tahun, denda, atau kedua-duanya sekali.

Sesiapa sahaja yang dengan sengaja memberikan kad SIM berdaftar kepada individu lain untuk tujuan jenayah boleh dikenakan hukuman penjara sehingga tiga tahun, denda sehingga S$10,000, atau kedua-duanya sekali.
Sumber : CNA/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita