Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Lagi 230 laluan automatik di pusat pemeriksaan SG akan dipasang tahun ini

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 13 Feb 2024 03:00PM Dikemas Kini : 13 Feb 2024 09:13PM
SINGAPURA: Singapura akan memasang lagi 230 laluan imigresen automatik di pusat pemeriksaannya tahun ini, selain 160 yang ditambah pada 2023.

Demikian menurut Penguasa Imigresen & Pusat Pemeriksaan (ICA) pada Selasa (13 Feb).

Ini selepas Singapura menyaksikan 192.8 juta pengunjung melepasi pusat pemeriksaannya pada 2023, naik 84 peratus atau lebih 88 juta orang berbanding 2022.

Semasa tempoh cuti sekolah atau umum, jumlah pengunjung di pusat pemeriksaan darat melebihi jumlah sebelum COVID, mencecah 440,000 sehari, dedah ICA dalam laporan statistik tahunannya.

Pemasangan lebih banyak laluan akan memenuhi keperluan jumlah pengunjung yang meningkat, tambahnya.

Pelepasan imigresen juga akan menjadi lebih lancar, dengan Sistem Kawalan Sempadan Automatik (ABCS) "generasi seterusnya" yang diperkenalkan ICA tahun ini.
Pihak berkuasa itu menyatakan ia menyasarkan untuk membenarkan semua pengunjung asing, tidak kira kerakyatan, untuk melepasi imigresen menggunakan laluan automatik Singapura tanpa pendaftaran.

Laluan ABCS tersebut, yang akan menggantikan laluan automatik dan kaunter manual sedia ada secara berperingkat di semua pusat pemeriksaan, akan membolehkan penduduk Singapura dan pengunjung yang meninggalkan negara ini dengan pelepasan tanpa kontak.

Ini bermakna mereka tidak perlu menunjukkan pasport mereka.

ICA menarik perhatian bahawa lebih dua pertiga pengunjung yang tiba ke Singapura melalui Lapangan Terbang Changi kini boleh melepasi imigresen melalui laluan automatik. Ini berbanding satu pertiga semasa tempoh sebelum pandemik.

Laluan automatik juga menjadi pilihan utama penumpang bas, dengan lebih 90 laluan automatik dipasang di dewan bas pusat pemeriksaan Woodlands dan Tuas.

Ia membolehkan ICA untuk mengendalikan pelepasan kira-kira 8,500 pengunjung setiap jam semasa tempoh kemuncak pelepasan, berbanding 5,000 sebelum pandemik.

DOKUMEN PERJALANAN PALSU, DIUBAH

Sedang jumlah pengunjung meningkat, ICA menyatakan ia kekal berjaga-jaga terhadap mereka yang menggunakan dokumen palsu.

Jumlah pengunjung yang menggunakan dokumen palsu atau diubah naik lebih dua kali ganda, daripada 21 pada 2022 kepada 65 pada 2023, tambah ICA.

Kebanyakan kes melibatkan pasport asing yang mengandungi muka surat biodata diubah atau yang palsu.

Satu sistem pelepasan biometrik pelbagai kaedah sudah digunakan untuk menangani perkara tersebut.

Sementara itu, jumlah kes pelbagai identiti yang dikesan di pusat pemeriksaan turun sedikit.

Ia turun 0.9 peratus daripada 441 kes pada 2022 kepada 437 kes pada 2023.

Kenaikan jumlah pengunjung tahun lalu juga menyaksikan lonjakan 23 peratus dalam percubaan menyeludup produk terlarang yang digagalkan oleh ICA di pusat pemeriksaan, daripada kira-kira 35,000 kes pada 2022 kepada kira-kira 43,000 pada 2023.

Kes-kes tersebut termasuk percubaan untuk menyeludup dadah terkawal, rokok tidak dibayar cukai, vape dan senjata replika ke Singapura.
Sumber : CNA/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan