Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Lagi 2 kes cacar monyet disahkan di Singapura

MOH menyatakan kedua-dua kes baru itu tidak ada kaitan dengan jangkitan cacar monyet sebelum ini.

Anggaran Waktu Membaca:
Lagi 2 kes cacar monyet disahkan di Singapura

Gambar menunjukkan petikan bahagian paling tipis elektron-mikroskopik virus cacar monyet. (Gambar: AFP/RKI Robert Koch Institute/Freya Kaulbars)

SINGAPURA: Lagi dua kes jangkitan cacar monyet disahkan di Singapura, sekali gus membawa jumlah jangkitan di negara ini kepada lapan.

Dalam kemas kini di lamannya pada Ahad (24 Jul), Kementerian Kesihatan (MOH) menyatakan kedua-dua kes baru itu tidak ada kaitan dengan jangkitan cacar monyet sebelum ini.

Salah satu daripadanya ialah kes import yang melibatkan lelaki Estonia berusia 46 tahun yang tiba di Singapura dari London pada 21 Jul dan diuji positif pada 24 Jul.

Beliau mengalami ruam, demam dan kelenjar yang bengkak, dan mendapatkan jagaan perubatan pada 23 Jul, menurut MOH.

Beliau kemudian dimasukkan ke Pusat Nasional bagi Penyakit Berjangkit (NCID) pada hari yang sama.

Kes kedua melibatkan seorang lelaki Singapura berusia 26 tahun yang diuji positif bagi cacar monyet pada 24 Jul.

Beliau mengalami ruam dan mendapatkan jagaan perubatan pada 24 Jul.

Beliau kemudian dimasukkan ke NCID pada hari yang sama.

Kedua-dua kes dalam keadaan stabil dan usaha mengesan kontak sedang dijalankan, menurut MOH.

Cacar monyet adalah penyakit jangkitan virus, dengan pesakit pulih dalam masa 14 hingga 21 hari.

Mereka yang dijangkiti biasanya mengalami demam, sakit kepala, sengal otot, sakit tulang belakang, kelenjar bengkak, rasa seram sejuk, lelah dan ruam.

Setiap kes cacar monyet biasanya menyebabkan tiga hingga empat kontak rapat dikuarantin. Ini tidak seperti COVID-19, di mana sehingga 20 arahan kuarantin mungkin dikeluarkan, jelas Menteri Kesihatan Ong Ye Kung.

Daripada lapan kes cacar monyet yang diumumkan di Singapura sejak Jun, empat adalah kes import dan empat lain adalah kes tempatan. Semua kes tiada kaitan antara satu sama lain sejauh ini.

Pada Isnin, Encik Ong berkata MOH tidak tidak menyarankan vaksinasi besar-besaran bagi penduduk negara ini terhadap cacar monyet, sambil menekankan lagi pendirian kementerian itu berhubung penyakit tersebut.
Sumber : CNA/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan