Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Lagi 2 biasiswa baru diwujudkan bagi pelajar cemerlang Madrasah Al-Arabiah

Ia terdiri daripada Biasiswa Maimunah Uriff Sa’adiah dan Biasiswa Tuan Jalil bin Abdul Kadir, yang bernilai lebih $2,000 setiap satu dan ditaja oleh dua keluarga berasingan.
 

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Lagi dua biasiswa baru diwujudkan bagi para pelajar Madrasah Al-Arabiah Al-Islamiah (MAI) demi menaja yuran sekolah pelajar cemerlang selama setahun.

Ia terdiri daripada Biasiswa Maimunah Uriff Sa’adiah dan Biasiswa Tuan Jalil bin Abdul Kadir. Biasiswa-biasiswa itu bernilai lebih $2,000 setiap satu dan ditaja oleh dua keluarga berasingan.

Kedua-dua biasiswa itu akan berjalan sekurang-kurangnya dua tahun.

Ia diumumkan semasa Majlis Anugerah MAI bagi Kecemerlangan Akademik hari ini (12 Mac).

Ini sekali gus bermakna MAI kini mempunyai sebanyak lima jenis biasiswa yang disediakan bagi para pelajarnya.

16 PELAJAR MAI DIANUGERAHKAN BIASISWA

Dalam majlis itu seramai 16 pelajar menerima biasiswa sempena Haflah MAI, dengan 10 daripada mereka menerima Anugerah MAI bagi Kecemerlangan Akademik, dua diberikan Anugerah Ustaz Abdul Rahman Harun dan dua lagi dianugerahkan Biasiswa Asia Lutfun Nesa Halim.

haflah al-arabiah

Baki dua pelajar masing-masing menerima Biasiswa Maimunah Uriff Sa’adiah dan Biasiswa Tuan Jalil bin Abdul Kadir.

Biasiswa-biasiswa Anugerah MAI bagi Kecemerlangan Akademik dan Anugerah Ustaz Abdul Rahman Harun sudah diwujudkan sejak 2014, manakala Biasiswa Asia Lutfun Nesa Halim pula diperkenalkan sejak 2019.

TIDAK JADI HALANGAN JIKA ADA MASALAH KEWANGAN

Ketua Jabatan Bahasa dan Kemanusiaan di MAI, Suharni Mohd Shariff berkata tajaan biasiswa itu diberikan "supaya dapat menolong anak-anak MAI dan juga akan dapat memberi keberkatan kepada arwah-arwah yang mereka sayangi".

"Mereka tahu bahawa arwah-arwah sangat memberi kepentingan kepada pembelajaran dan mereka mahu budaya belajar di dalam pelajar-pelajar dikekalkan dan tidak menjadi halangan jika ada masalah kewangan di kalangan pelajar-pelajar ini.

suharni

"Di akhir pembelajaran mereka, mereka memang diasuh untuk memberi balik kepada masyarakat yang telah membantu mereka jadi itu saya rasa menjadi satu putaran - masyarakat menolong anak-anak MAI untuk mendapat kecemerlangan dan insyaAllah kita juga memberi kebaikan kepada masyarakat selepas itu," kata Cik Suharni.

MISHEL MARYAM DIIKTIRAF SEBAGAI PELAJAR TERBAIK 2021

Sempena Haflah MAI itu juga, lebih 80 pelajar menerima anugerah atas kecemerlangan mereka dalam bidang akademik dan ukhrawi.

Daripada jumlah tersebut, seramai 31 bekas pelajar MAI juga diundang semula untuk menerima anugerah atas prestasi cemerlang mereka dalam Peperiksaan Peringkat GCE O tahun lalu.

Bekas Ketua Pengawas MAI Mishel Maryam Nasir diberi pengiktirafan sebagai pelajar terbaik kohort 2021 selepas muncul sebagai pelajar madrasah terbaik dengan sembilan kepujian.

mishel maryam

Mishel Maryam menjadi pelajar pelatih sains bioperubatan di Makmal A*Star di Biopolis tahun lalu dan kini mengambil diploma dalam jurusan Sains Bioperubatan di Politeknik Singapura.

Penuntut berusia 17 tahun itu berkata: "Saya merancang untuk belajar perubatan untuk menjadi doktor dan saya harap dengan ini, saya dapat membantu masyarakat saya dengan menjadi inspirasi untuk pelajar-pelajar Melayu dan Muslim bahawa mereka boleh mencapai cita-cita mereka jika mereka dapat berusaha dan dapat sokongan yang boleh membantu mereka."

USAHA MAI DIPUJI

Dalam ucapannya, tetamu terhormat Menteri Negara Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara Dr Muhammad Faishal Ibrahim memuji usaha-usaha MAI dalam mendidik para pelajarnya.

"Saya kagum dengan usaha-usaha MAI dalam memberi setiap daripada anda kelebihan yang anda perlukan untuk berdiri sama tinggi dengan rakan-rakan sebaya di sekolah-sekolah aliran utama... masyarakat boleh mengalu-alukan graduan MAI yang boleh memenuhi pelbagai keperluan yang lebih luas dalam masyarakat, namun, tetap berakar kepada Qur'an dan Sunnah," kata Dr Faishal.

Beliau juga yakin penting bagi para pelajar memiliki daya penyesuaian, flekibiliti dan daya ketahanan bagi menghadapi cabaran akan datang.

Majlis penganugerahan itu diadakan secara hibrid yang ditonton secara online serta dihadiri oleh 100 hadirin secara fizikal.
 

Sumber : BERITA Mediacorp/im

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan

Aa