Skip to main content

Singapura

Lagi 12 kamera lampu isyarat merah bakal dipasang

Sebanyak 12 lagi kamera lampu isyarat merah digital akan dipasang di kawasan-kawasan di mana kesalahan trafik sering dilakukan pada tahun ini.

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 06 Jul 2019 07:27PM Dikemas Kini : 06 Jul 2019 11:15PM

SINGAPURA: Sebanyak 12 lagi kamera lampu isyarat merah digital akan dipasang di kawasan-kawasan di mana kesalahan trafik sering dilakukan pada tahun ini.

Ia sebahagian daripada langkah untuk meningkatkan tahap keselamatan di jalan-jalan raya tempatan, sedang Polis Trafik juga berusaha memperbaiki sikap para pengguna jalan raya.

Satu tinjauan Polis Trafik menunjukkan hanya 40 peratus pengguna berasa selamat semasa berada di jalan raya.

Tinjauan itu dilakukan antara Februari hingga April lalu dan dapatannya didedahkan semasa Karnival RoadSense yang pertama hari ini (6 Jul).

Kira-kira 1,000 orang termasuk pejalan kaki, pengayuh basikal dan pemandu ditanya tentang tingkah laku serta sikap mereka semasa di jalan raya. Ia didapati sebab utama ramai yang tidak bertimbang rasa di jalan raya adalah kerana mereka berasa tertekan.

Responden yang ditinjau juga cenderung menilai tingkah laku mereka sendiri lebih positif berbanding pandangan orang lain.

Misalnya, 90 peratus pengguna alat mobiliti peribadi (PMD) percaya mereka lebih berwaspada ketika menggunakan laluan pejalan kaki. Bagaimanapun, hanya 20 peratus pejalan kaki yang ditinjau mempunyai pandangan sebegitu.

Menurut Setiausaha Parlimen Kanan Ehwal Dalam Negeri merangkap Kesihatan Amrin AMin, ramai pengguna jalan raya merasakan bahawa orang lain - seperti pemerintah dan para pengguna lain - yang bertanggungjawab untuk menjadikan jalan raya lebih selamat.

"Hampir separuh berkata tidak perlu bagi mereka untuk bertimbang rasa 'kecuali jika pemerintah memberikan insentif kewangan'. Hasil tinjauan itu menunjukkan bahawa masih banyak lagi yang boleh kita lakukan dan setiap daripada kita boleh bahkan harus menggalakkan budaya bertimbang rasa di jalan raya," nasihat Encik Amrin.

Polis Trafik akan menggunakan hasil tinjauan tersebut untuk melakar program-program bagi menggalak sikap bertimbang rasa dalam kalangan pengguna jalan raya. 

Sumber : CNA/RR/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita