Skip to main content

Singapura

Lagi 1,000 individu dijangka boleh dapatkan bantuan guaman sivil selepas ambang pendapatan dinaikkan

Sehingga lagi 1,000 rakyat Singapura dan penduduk tetap Singapura (PR) dijangka mendapat akses kepada bantuan guaman sivil apabila ambang pendapatan dinaikkan pada lewat tahun ini.
Anggaran Waktu Membaca:
Lagi 1,000 individu dijangka boleh dapatkan bantuan guaman sivil selepas ambang pendapatan dinaikkan
Gambar fail Mahkamah Negara di Singapura
Diterbitkan : 02 Mar 2026 01:35PM Dikemas Kini : 02 Mar 2026 01:36PM
  • Kementerian Undang-Undang Singapura akan menaikkan ambang pendapatan dan simpanan bagi bantuan guaman sivil dan jenayah pada lewat tahun ini, membolehkan lebih ramai rakyat dan PR mendapat akses.
  • Bantuan guaman disediakan melalui Biro Bantuan Guaman dan Pejabat Peguam Bela Awam, dengan sokongan peguam sukarela dan Pro Bono SG.
  • Rang undang-undang baharu akan diperkenalkan untuk memudahkan proses penguatkuasaan sivil, memberi mahkamah lebih kuasa dan kaedah penguatkuasaan.
  • Penguasa Tanah Singapura bekerjasama dengan agensi berkaitan untuk memanjangkan tempoh pajakan hartanah milik pemerintah, bagi menggalakkan inovasi penggunaan tanah.
Dijana oleh AI
SINGAPURA: Sehingga lagi 1,000 rakyat Singapura dan penduduk tetap Singapura (PR) dijangka mendapat akses kepada bantuan guaman sivil apabila ambang pendapatan dinaikkan pada lewat tahun ini.

Ambang pendapatan isi rumah per kapita bagi bantuan guaman sivil akan meningkat daripada S$1,050 kepada S$1,650, menurut Menteri Undang-Undang Edwin Tong di parlimen pada Isnin (2 Mac) sedang beliau membentangkan peruntukan belanjawan Kementerian Undang-Undang (MinLaw) bagi tahun mendatang.

Buat masa ini, kira-kira separuh daripada pihak yang terlibat dalam kes sivil dalam julat peratusan pendapatan yang diperluaskan masih tidak diwakili peguam, kata kementerian itu.

Ambang bagi simpanan bank dan pelaburan bukan Tabung Simpanan Pekerja (CPF) juga akan dinaikkan daripada S$10,000 kepada S$12,000 bagi kedua-dua bantuan guaman sivil dan bantuan pembelaan jenayah.

"Pemohon yang mempunyai keadaan yang meringankan akan terus disemak oleh panel ujian kemampuan bebas yang terdiri daripada pengamal undang-undang dan karyawan khidmat sosial," kata Setiausaha Parlimen Kanan Undang-Undang Eric Chua.

Tiga kategori bantuan guaman sivil yang paling biasa ialah isu perkahwinan, tuntutan kewangan dan urusan probat.

Pemerintah menawarkan bantuan guaman kepada rakyat Singapura dan penduduk tetap (PR) yang berpendapatan rendah dan rentan menerusi Biro Bantuan Guaman dan Pejabat Peguam Bela Awam.

Biro Bantuan Guaman menyediakan bantuan guaman sivil dengan sokongan peguam sukarela yang dilantik sebagai peguamcara yang ditugaskan, manakala Pejabat Peguam Bela Awam menyampaikan bersama bantuan pembelaan jenayah dengan Pro Bono SG, yang mentadbir skim bantuan guaman jenayah.

Untuk layak mendapat bantuan guaman pemerintah, pemohon perlu memenuhi ujian kemampuan dan merit.

"Pemohon bantuan guaman yang layak tidak perlu membayar bagi mendapatkan nasihat guaman sivil, tetapi mungkin diperlukan membuat sumbangan kewangan bagi urusan bantuan guaman. Jumlah sumbangan dikenakan mengambil kira sumber kewangan pemohon," menurut MinLaw.

Selain skim-skim bantuan guaman pemerintah, pihak kementerian terus bekerjasama dengan masyarakat guaman dan pihak berkepentingan utama bag mengukuhkan ekosistem bantuan guaman Singapura.

Ini termasuk langkah pihak kementerian membiayai bersama pusat guaman masyarakat Pro Bono SG, yang menawarkan sokongan sosio-undang-undang kepada penduduk yang memerlukan.

PROSES PENGUATKUASAAN SIVIL

Rang undang-undang akan diperkenalkan pada lewat tahun ini bagi memudahkan proses penguatkuasaan sivil, kata Encik Chua.

Ini akan memberikan mahkamah lebih banyak kuasa bag mengenal pasti aset dan kemampuan penghutang penghakiman serta memperkenalkan kaedah penguatkuasaan baharu bagi menghalang dan menghukum ketidakpatuhan terhadap perintah mahkamah.

"Kami menerima maklum balas bahawa masa, usaha dan kos menguatkuasakan penghakiman tidak seimbang dengan jumlah penghakiman, menyebabkan beberapa penghakiman tidak dikuatkuasakan," kata Encik Chua.

"Ini adalah sesuatu yang tidak diingini. Kami menyasarkan untuk memudahkan proses penguatkuasaan menjadi lebih berkesan, cekap dan dimampui."

Ia juga diumumkan bahawa Penguasa Tanah Singapura (SLA) sudah pun bekerjasama dengan agensi berkaitan untuk memajak hartanah milik pemerintah terpilih untuk tempoh yang lebih lama, tertakluk kepada pertimbangan perancangan.

Buat masa ini, hartanah milik pemerintah biasanya disewakan untuk kegunaan sementara dengan tempoh kurang daripada 10 tahun.

Langkah itu bertujuan untuk menggalakkan inovasi yang lebih besar dalam mengoptimumkan penggunaan hartanah milik pemerintah, kata MinLaw.
Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita