Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Lagi 10 pusat ILHAM dibuka tahun depan bagi selaras operasi program aLIVE

Sebanyak 10 lagi pusat Hab Pembelajaran dan Pengurusan Islam (ILHAM) akan dibuka bagi menyelaras operasi program aLIVE pada tahun depan.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Sebanyak 10 lagi pusat Hab Pembelajaran dan Pengurusan Islam (ILHAM) akan dibuka bagi menyelaras operasi program aLIVE pada tahun depan.

Dengan penambahan itu, ILHAM akan mengendalikan 15 pusat kesemuanya, dengan lebih 560 kelas, hampir 10,000 pelajar dan lebih 200 asatizah pada Januari ini.

Malah 89 peratus daripada tempat yang disediakan pada tahun depan, sudahpun diisi.

Demikian menurut Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) sempena majlis penyampaian anugerah bagi asatizah ILHAM hari ini (4 Dis).

Pengarah Eksekutif ILHAM, Ustaz Mohamad Khidir Abdul Rahman, berkata: "Ini akan memberi kami sumber manusia yang lebih di mana kami boleh memanfaatkan kekuatan asatizah berbeza kerana dalam pusat-pusat yang tertentu ada kepakaran yang tertentu seperti asatizah yang lebih mahir mengajar Youth aLIVE ataupun asatizah yang lebih mahir mengajar Kids aLIVE.

"Jadi ini boleh disepadankan. Pengalaman dan kepakaran mereka boleh dikongsi antara satu pusat dengan pusat yang lain. Akhirnya tujuannya adalah untuk menjadikan semua asatizah di mana-mana pusat pun lebih terlatih dan lebih dibimbing oleh pakar-pakar yang sedia ada."

ILHAM menyediakan pembangunan kandungan dalam Pendidikan Islam yang progresif bagi program aLIVE, yang dikhususkan bagi kumpulan usia berbeza.

Selain itu, ILHAM juga bertujuan menjadikan asatizah lebih profesional dalam pengajaran mereka menerusi program tersebut.

5 PUSAT ILHAM SETAKAT INI

Setakat ini, usaha penyelarasan ILHAM itu dijalankan di lima pusat perintis - Masjid Al-Ansar, Masjid Al-Istighfar, Masjid Al-Taqua, Masjid Alkaff Kampung Melayu dan Masjid Darul Ghufran.

Sebanyak 179 kelas dihadiri lebih 3,000 pelajar, yang dikendalikan 77 guru sepenuh masa dan sambilan pada tahun ini.

"Saya mengalu-alukan kerjasama berterusan dengan lima masjid ini dan 10 masjid baru yang akan berganding bahu dengan ILHAM bermula Januari 2022.

"Dalam tahun-tahun mendatang, kami mengalu-alukan semua madrasah masjid dilaksanakan dengan model serupa di bawah pengurusan ILHAM," kata Ketua Eksekutif MUIS, Encik Kadir Maideen Mohamed.

"Kami juga berharap dapat melihat objektif di bawah projek penyelarasan ini mencapai hasil yang diinginkan."

Secara keseluruhan, sebanyak 37 madrasah masjid akan disertakan ke dalam ILHAM dalam tahun-tahun mendatang.

USTAZAH HALIMATUSSAADIAH ANTARA PENERIMA ANUGERAH ASATIZAH ILHAM

Dalam acara yang sama, 10 asatizah diiktiraf dengan Anugerah Asatizah ILHAM yang dikeluarkan buat pertama kalinya. Ia mengiktiraf prestasi cemerlang mereka di bilik darjah serta komitmen mereka kepada para pelajar.

Salah seorang daripadanya ialah Ustazah Halimatussaadiah Ali Barda Khan dari Masjid Alkaff Kampung Melayu.

Beliau sudahpun mengajar dalam program aLIVE secara sambilan sejak 14 tahun lalu dan mengadakan kelas-kelasnya secara kreatif bagi memastikan para pelajar memahami konsep dan menyumbang kepada perbincangan bermakna dalam kelas.

Misalnya, beliau yang mengajar golongan 'Tweens' dan 'Youth', menghasilkan model kaki dan telinga bagi mengajar pengambilan wuduk dengan betul secara online.

Usahanya itu turut menerima pujian daripada para pelajar dan ibu bapa.

"Apabila kita mengajar, kita selalu mengingatkan para pelajar bahawa ilmu ini bukan sahaja sekadar apa yang mereka pelajari, tetapi ilmu itu menjadi lebih bermanfaat apabila mereka membawanya kepada praktikal.

"Apabila kita mendapat anugerah ini, dia membantu kami bukan sahaja untuk menimba ilmu, tapi mendidik kami juga untuk menyampaikan ilmu itu dengan lebih baik," kata beliau.

Selain mengajar, Ustazah Halimatussaadiah juga memikul peranan tambahan dalam pembangunan program aLIVE sebagai jurulatih bagi program ADIL dan kursus Asas Pengajaran serta pemaju kandungan bagi Youth aLIVE 2.0.

Setiap asatizah penerima Anugerah ILHAM membawa pulang wang tunai S$300, sijil pencapaian, sebuah trofi dan surat kepujian.

Sembilan asatizah lain yang juga diiktiraf dengan Anugerah Asatizah ILHAM terdiri daripada:

1. Ustaz Harun Omar (Masjid Alkaff Kampung Melayu)
2. Ustazah Nurul Huda Yusoff (Masjid Al-Ansar)
3. Ustaz Ahmad Ridha Ramlan (Masjid Al-Ansar)
4. Ustazah Nur Amirah Sari (Masjid Al-Ansar)
5. Ustazah Aizzah Mohamed (Masjid Al-Ansar)
6. Ustazah Nurulhuda Ahmad Jamaludin (Masjid Darul Ghufran)
7. Ustaz Muhammad Zuhaily Md Ahzman (Masjid Darul Ghufran)
8. Nusaibah Sajiah Nailul Hafiz (Masjid Darul Ghufran & Masjid Alkaff Kampung Melayu)
9. Ustazah Ummi Khuzaimah Mohamed Shariff (Masjid Al-Istighfar)  

Sumber : BERITA Mediacorp/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan