Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Lagi 10 masjid akan mula tawar 3 sesi solat Jumaat bermula 4 Sep

Bermula minggu depan, lagi 10 buah masjid mula menawarkan tiga sesi solat Jumaat berbanding dua sesi sekarang ini.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Bermula minggu depan, lagi 10 buah masjid mula menawarkan tiga sesi solat Jumaat berbanding dua sesi sekarang ini.

Selain itu lagi 20 masjid akan menjalankan solat Jumaat dengan 100 jemaah bagi setiap sesi.

Semua perubahan baru ini akan menambah 34 peratus ruang bagi solat Jumaat setiap minggu. Bermakna 13,000 jemaah akan dapat menunaikan solat Jumaat setiap minggu.

Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) mendedahkan perkembangan terbaru itu hari ini (28 Ogos).

RUANG SOLAT DILUASKAN HINGGA 13,000 TEMPAT

Sekarang ini, 65 masjid tempatan sudah mula menjalankan solat Jumaat, sejak 26 Jun selepas langkah pemutus rantaian jangkitan COVID-19 dilonggarkan.

Namun hanya empat masjid - iaitu Masjid Assyafaah, Mujahidin, Al-Istighfar dan Al-Iman - dibenar menerima 100 jemaah untuk setiap sesi dalam satu ujian perintis bermula 7 Ogos.

Jadi jika tiga sesi solat Jumaat dijalankan, ini bermakna sehingga 300 jemaah dapat ditampung setiap masjid tersebut.

MUIS hari ini mengumumkan, ujian tersebut ternyata berjaya, dan bermula 4 September ini lagi 20 masjid akan dibolehkan mengambil 100 jemaah bagi setiap sesi solat Jumaat berbanding 50.

Ini sekali gus bermakna sejumlah 24 masjid yang akan menerima 300 jemaah solat Jumaat bagi tiga sesi setiap minggu.

Berikut adalah senarai 20 masjid yang akan menerima jemaah lebih ramai mulai 4 Sep:

MASJID KELOMPOK TIMUR
1. Masjid Al-Ansar
2. Masjid Alkaff Kampung Melayu
3. Masjid Al-Islah
4. Masjid Al-Mawaddah
5. Masjid Darul Ghufran

MASJID KELOMPOK BARAT
6. Masjid Al-Khair
7. Masjid Al-Mukminin
8. Masjid Ar-Raudhah
9. Masjid Assyakirin
10. Masjid Hasanah
11. Masjid Maarof

MASJID KELOMPOK UTARA
12. Masjid Al-Istiqamah
13. Masjid Al-Muttaqin
14. Masjid An-Nahdah
15. Masjid An-Nur
16. Masjid Darul Makmur
17. Masjid Muhajirin
18. Masjid Yusof Ishak

MASJID KELOMPOK SELATAN
19. Masjid Angullia
20. Masjid Sultan

Selain itu, MUIS juga mengumumkan bahawa lagi 10 buah masjid lain akan turut menawarkan tiga sesi Jumaat, berbanding dua sesi sekarang ini. Berikut adalah senarai masjid-masjid dalam senarai tersebut:

1) Masjid Alkaff Upper Serangoon
2) Masjid Omar Salmah
3) Masjid Petempatan Melayu Sembawang
4) Masjid Al-Abrar
5) Masjid Hajjah Fatimah
6) Masjid Jamae (Chulia)
7) Masjid Moulana Mohd Ali
8) Masjid Tasek Utara
9) Masjid Hussein Sulaiman
10) Masjid Pusara Aman

Dengan ini, sejumlah 57 masjid akan menawarkan tiga sesi solat Jumaat setiap satu mulai minggu depan.

Muft Negara Dr Nazirudin Nasir menyampaikan khubat semasa solat Jumaat di Masjid Mujahidin pada 28 Ogos 2020. (Gambar: Ummu Rabbisyfina/BERITAmediacorp)

"Kita dapat mula mewujudkan lebih banyak ruang-ruang bagi menunaikan solat Jumaat secara khususnya kerana kita sangat prihatin dengan kerisauan, kekhuatiran mereka yang belum lagi berkesempatan untuk menunaikan solat Jumaat. Namun, kita perlu mengambil pendekatan bertahap-tahap dan hanya membuka ruang apabila ia dapat diwujudkan dengan cara yang selamat.

"Maka ruang-ruang baru ini akan memberikan lebih banyak peluang bagi masyarakat Islam kita di Singapura untuk sama-sama turut serta menunaikan Solat Jumaat mereka walaupun masih lagi sebahagian yang mungkin belum berkesempatan," kata Mufti Negara Ustaz Dr Nazirudin Nasir, yang ditemui di Masjid Mujahidin siang tadi (28 Ogos).

PENDAFTARAN SLOT AKAN DILAKUKAN 2 MINGGU SERENTAK

Rata-rata para jemaah yang ditemui menyambut baik langkah baru itu memandangkan ada di antara mereka yang sukar untuk mendapatkan tempat daripada pembukaan semula masjid selepas pemutus rantaian jangkitan COVID-19.

"Ini pertama kali saya dapat solat Jumaat, saya amat gembira dan bersyukur dapat peluang untuk menghadiri masjid untuk pertama kali sejak COVID-19.

"Untuk mendaftar ini saya tunggu dalam empat minggu jadi pada saya selalu pada Selasa pagi saya akan ke lama internet untuk buat pendaftaran tetapi selalunya akan penuh. Saya tinggal di Jurong, jadi Jurong pun ada Masjid Maarof, Mukmimin dan Assyakirin tapi selalu dah penuh jadi untuk saya, saya dapat di Queenstown kali ini saya macam okay tak apa saya akan pergi juga, saya tak kisah," kongsi Encik Mohd Ezan Jasni.

Memberikan maklum balas, seorang Anggota Lembaga Pentadbir Masjid Mujhadin Encik Hesham Suni berkongsi jemaah yang datang ke masjid itu menunjukkan penyesuian dengan norma-norma baru, namun ada juga sesetangah daripada mereka yang tidak mematuhi garis panduan.

"Ada mereka yang tidak ada mendaftar mereka cuba-cuba untuk masuk ke dalam tetapi mendaftar itu untuk ini kan, jadi kita agak ketat untuk membenarkan mereka masuk," katanya.

Menurut MUIS, kini pendaftaran bagi slot solat Jumaat bagi dua minggu berbeza iaitu pada 4 dan 11 September akan dibuka secara serentak pada hari yang sama bagi memudahkan para jemaah membuat pendaftaran.

TENTANG PENUTUPAN MASJID SULTAN

Masjid Sultan ditutup sementara kepada pelancong. (Gambar: BERITAmediacorp)

Mengulas tentang penutupan Masjid Sultan ekoran kunjungan seorang pengunjung yang disahkan positif COVID-19 semalam (27 Sep).

Ustaz Dr Nazirudin berkata insiden tersebut tidak akan menjejas slot tambahan bagi solat Jumaat memandangkan peningkatan usaha keselamatan sudah dijalankan dan masjid Sultan akan dibuka semula, esok.

"Jadi saya kira bila berlaku sesuatu peristiwa itu kita tidak kita ingini, tetapi Alhamdulillah dengan peningkatan usaha-usaha keselamatan, kita lihat tidak seperti dahulu kala, semua masjid perlu ditutup dan banyak jemaah yang terjejas dengan kita berdaftar, kita tahu siapa individu yang terjejas, hanya masjid yang berkenan saja ditutup dan hanya untuk satu hari sahaja," tambah Ustaz Dr Nazirudin.  

Sumber : BERITA Mediacorp/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan