Lagi 10 lagu Allahyarham Zubir Said diterbitkan semula dalam projek 'Orang Singapura Bersatu'
Ini merupakan kompilasi kedua untuk diedarkan kepada sekolah-sekolah, institusi pengajian tinggi dan persatuan untuk memperkenalkan semula karya Allahyarham Zubir Said.
Kompilasi kedua sebanyak 10 lagu Allahyarham yang diberi nafas baharu di bawah projek 'Orang Singapura Bersatu', dilancarkan Menteri Kedua Pendidikan, Dr Maliki Osman pada Sabtu (28 Sep).

"Lagu lagu Pak Zubir Said mempunyai kekuatan daya tarikan tersendiri untuk memberikan inspirasi kepada rakyat Singapura. Seperti yang dapat kita lihat dalam koleksi 'Orang Singapura Bersatu' kali ini, lagu-lagu ini mengandungi mesej perpaduan dan semangat kebangsaan yang begitu kuat sekali contohnya, lagu Bersatu. Secara langsung menggalakkan perpaduan dalam kalangan rakyat Singapura yang berbilang kaum dan budaya," tambah beliau.
Antara lagu terpilih bagi kompilasi kedua ini adalah Bersatu dan Bunga Telur Nasi Minyak.
Edisi pertama projek itu dilancarkan tahun lalu dan mendapat sambutan memberangsangkan daripada guru dan pelajar.
Timbalan Pengarah Jabatan Bahasa Ibunda bahagian Perancangan dan Pembangunan Kurikulum Kementerian Pendidikan, Salbiah Abas mengatakan, "Kami galakkan terutama para pendidik untuk menggunakan lagu-lagu tersebut sebagai bahan tambahan yang dapat digunakan dan disulam dalam pengajaran Bahasa Melayu. Di luar waktu kurikulum, ia juga boleh digunakan untuk aktiviti dan program pengayaan"

Artis yang terlibat kali ini ialah Ainul Yaqin, Reyza Hamizan, Suryana Norddin dan Syah Riszuan.
Sebuah lagu baharu juga dipersembahkan di majlis pelancaran siang tadi yang diilhamkan daripada karya Allahyarham Zubir Said.

"Perasaan bangga saya yang yang telah pernah saya rasai dahulu apabila berada di sekolah apabila kami menyanyi lagu kebangsaan Singapura bersama murid-murid dan oleh itu, beberapa nota pertama di rangkap dan korus lagu kebangsaan Singapura telah saya cuba untuk terapkan dan gunakan dalam lagu terbaru ini dan seterusnya ia dikembangkan di bahagian-bahagian lain lagu itu," jelas Bakti Khair.
Lulusan Kolej LASALLE itu juga pernah menghasilkan karya berjudul Norae Cinta, Letak Tepi dan beberapa yang lain.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.