Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Lagi 1,800 peluang pekerjaan akan diwujudkan dalam sektor ICT tahun depan

Seawal tahun depan, lagi 1,800 peluang pekerjaan akan diwujudkan dalam sektor teknologi infokom (ICT), iaitu tambahan kepada sekitar 18,000 peluang pekerjaan dan latihan yang sudahpun ditawarkan dalam sektor tersebut sekarang.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Seawal tahun depan, lagi 1,800 peluang pekerjaan akan diwujudkan dalam sektor teknologi infokom (ICT), iaitu tambahan kepada sekitar 18,000 peluang pekerjaan dan latihan yang sudahpun ditawarkan dalam sektor tersebut sekarang.

Demikian didedahkan oleh Menteri Perhubungan dan Penerangan S Iswaran, semasa menggariskan teras-teras utama kementeriannya dalam penggal baru pemerintah.

Mewujudkan peluang pekerjaan dengan lebih pantas, khususnya dalam sektor ICT, sememangnya salah satu tumpuan utama Kementerian Perhubungan dan Penerangan (MCI) bagi membantu para pekerja dan perusahaan mengharungi krisis COVID-19.

Usaha tersebut akan dijalankan menerusi pelbagai inisiatif, seperti program Pemacu Kemahiran Teknologi (TeSA), yang dijangka mewujudkan 5,500 peluang pekerjaan dalam tempoh tiga tahun mendatang.

Peluang-peluang ini akan dibuka kepada golongan pertengahan kerjaya mahupun mereka yang baru tamat pengajian.

Jawatan-jawatan yang ditawarkan pula termasuk dalam bidang pengkomputeran awan (cloud computing), kecerdasan buatan (AI), keselamatan siber dan kejuruteraan sofwe.

Gambar fail Menteri Pengangkutan S Iswaran.

"Untuk mengharungi krisis COVID-19, satu aspek penting adalah pendigitalan. Ia satu asas untuk produktiviti dan masa depan ekonomi. Jadi dari segi jangka masa terdekat ataupun panjang, ia satu usaha yang penting untuk seluruh aspek ekonomi," kata Encik Iswaran.

BANTUAN BAGI SME

Di samping itu, syarikat-syarikat kecil dan sederhana (SME) akan terus dibantu untuk memanfaatkan wadah-wadah digital.

Ini penting, tambah Encik Iswaran, kerana SME menggajikan sekitar 70 peratus tenaga kerja Singapura. Maka itu beralih ke wadah digital akan dapat memacu produktiviti negara.

Menurut Encik Iswaran, semua SME secara amnya terbuka kepada idea pendigitalan, meskipun sektor runcit dan makanan mengambil lebih masa.

"Kalau dua tiga tahun lalu, masih susah sedikit untuk memberitahu ketua-ketua SME apakah pentingnya peralihan digital. Tapi sekarang, oleh sebab pengalaman dan krisis COVID-19, boleh dikatakan semua SME sudah menyedari apakah manfaatnya," jelas Encik Iswaran.

(Gambar: TODAY)

"Jadi sekarang apa yang harus dilakukan adalah bagaimana kami boleh membantu meningkatkan kecekapan digital dan menggunakannya dalam perniagaan-perniagaan."

Bagi sektor runcit dan khidmat makanan yang terjejas teruk sekarang, MCI akan memberikan bantuan kewangan menerusi Bonus Daya Tahan Digital, di mana peniaga yang menggunakan wadah seperti PayNow, akan menerima agihan bonus sehingga S$10,000.

MCI juga mempunyai skim-skim dengan skop lebih luas untuk membantu SME menembusi pasaran antarabangsa.

STRATEGI SEBAR MAKLUMAT

Sementara itu, strategi MCI dalam penyebaran maklumat akan diperhalusi lagi dengan menggunakan analisis data dan teknologi.

Ini bermakna, kandungan atau maklumat penting akan disampaikan dengan lebih baik lagi kepada pelbagai lapisan masyarakat, mengikut keperluan dan platform yang sering mereka gunakan.

"(Ini) demi memastikan semua warga akan dapat maklumat penting dengan sempurna. Selepas itu mereka boleh memanfaatkan apa-apa rancangan Pemerintah," ujar Encik Iswaran.

Usaha untuk mendampingi warga emas juga akan terus dijalankan, selain memastikan golongan lemah seperti keluarga berpendapatan rendah, mendapat akses asas kepada wadah-wadah digital.

"Tujuan usaha seperti ini untuk meningkatkan taraf kehidupan semua warga Singapura. Mereka mesti percaya, tanpa mengira latar belakang, pelajaran, semua boleh menggunakan digital, untuk meningkatkan taraf kehidupannya dan menggunakan sebaik-baiknya peluang-peluang yang diwujudkan dalam ekonomi digital."

Tumpuan lain MCI termasuk mengukuhkan keselamatan infrastruktur maklumat penting Singapura. 

Sumber : BERITA Mediacorp/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan