Ladang tempatan guna teknologi tingkatkan hasil sayur, telur
Ladang-ladang tempatan yang diberi tender tapak tanah di Lim Chu Kang merancang untuk menggunakan sistem lebih canggih termasuk rumah hijau yang dikendalikan secara automasi.
SINGAPURA: Ladang-ladang tempatan yang diberi tender tapak tanah di Lim Chu Kang merancang untuk menggunakan sistem lebih canggih termasuk rumah hijau yang dikendalikan secara automasi.
Teknologi sedemikian diharapkan dapat meningkatkan lagi penghasilan dan mengatasi masalah kekurangan tanah di sini.
Pada Jumaat (21 Dis) Penguasa Agromakanan dan Veterinar (AVA) mengumumkan tujuh petak tanah di Lim Chu Kang dianugerahkan kepada syarikat-syarikat untuk pertanian dan penternakan telur puyuh.
PENGELUARAN SAYUR JANGKA NAIK SEGANDA
Ladang sayur Yili menghasilkan 600,000 tan sayur setahun.
Bagaimanapun jumlah itu mungkin dapat dinaikkan seganda apabila ia berpindah ke tempat baru seluas enam hektar mulai tahun depan.
Di tempat barunya nanti, ladang yang sudah beroperasi selama 22 tahun itu juga bercadang membelanjakan sekurang-kurangnya S$12 juta untuk membina rumah-rumah hijau yang menggunakan sistem bumbung dan pengairan automasi.
Ia juga merancang mencuba kaedah bercucuk tanam tanpa menggunakan tanah yang mungkin dapat menambah penghasilan sayurnya sebanyak 90 peratus.
Yili menyatakan permintaan bagi sayur-sayurannya naik 20 peratus tahun lalu.
Ladang Yili memenangi tiga daripada tujuh tapak tanah di Lim Chu Kang yang ditawarkan secara tender awal tahun ini bagi tempoh pajakan 20 tahun.
Lima daripada tapak tanah itu bagi tanaman sayur dan baki dua lagi bagi penghasilan telur burung puyuh.
TEKNOLOGI BANTU PENGHASILAN TELUR TEMPATAN
Tender bagi menghasilkan telur puyuh itu dimenangi syarikat N&N yang kini menghasilkan sekitar 300,000 biji telur ayam sehari bagi memenuhi 13 peratus keperluan telur tempatan.
Pengeluaran telur di ladang itu dihasilkan secara automasi daripada proses memberi ayam makan dan minum sehingga memungut telur.
Teknologi canggih seperti itu akan juga digunakan di ladangnya untuk menghasilkan telur puyuh.
Pada masa ini permintaan telur puyuh sekitar 120,000 biji sehari tetapi ladang-ladang tempatan baru menghasilkan kira-kira 60,000 hingga 70,000 bji telur itu sehari.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.