Ladang telur keempat SG mula beroperasi pada 2024
(Gambar: NABEL)
SINGAPURA: Ladang telur keempat Singapura akan mula beroperasi pada 2024 sebagai sebahagian daripada kemudahan penghasilan bersepadu.
Demikian diumumkan pengendali tempatan ISE Foods Holdings (IFH) pada Selasa (25 Okt) setelah menerima kelulusan daripada Agensi Makanan Singapura (SFA) untuk membangunkan ladang telur komersil di tapak tanah sekitar 10 hektar di Lim Chu Kang.
Syarikat tersebut disokong oleh penghasil telur terunggul Jepun, ISE Jepun, yang juga beroperasi di Amerika Syarikat, China, Vietnam dan Thailand.
Selain ladang telur, kemudahan penghasilan telur bersepadu itu termasuk tempat penetasan anak ayam.
Apabila sudah beroperasi sepenuhnya, ia berupaya menghasilkan 360 juta telur dan sehingga lima juta anak ayam setiap tahun, menurut ISE Food Holdings.
"Ini boleh meningkatkan kapasiti industri telur Singapura untuk memenuhi sekitar separuh permintaan telur Singapura, naik daripada sekitar 30 peratus hari ini," tambahnya.
Pembinaan kemudahan bersepadu itu akan bermula secara berperingkat mulai suku pertama 2023.
LADANG BIJAK
Ladang tersebut menjadi yang pertama di Singapura untuk mempunyai ekosistem penuh bagi penghasilan telur, daripada import anak ayam yang baru menetas kurang 72 jam dan belum diberi makan, yang kemudian akan menjadi ibu bapa kepada anak ayam lain yang akan bertelur untuk digunakan.
Buat masa ini, ladang telur di Singapura hanya mengimport anak ayam yang bertelur untuk digunakan.
Teknologi canggih sedang dibangunkan dengan kerjasama Universiti Nasional Singapura untuk membina sistem pemantauan kendiri, menurut ISE Food Holdings.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.