Ladang suria terbaru Sembcorp berupaya kumpul & rawat air hujan

Gambar: Facebook/ Sembcorp Energy Singapore
SINGAPURA: Singapura telah membuka ladang tenaga suria pertama di darat, yang juga mampu menadah dan merawat air hujan.
Projek dua fungsi itu berupaya membekalkan tenaga kepada 4,700 unit flat 4-bilik setiap tahun, serta merawat air hujan yang boleh mengisi sehingga 68 kolam renang ukuran Olimpik.
Cuaca mendung atau hujan sering bermakna ladang suria seperti ini tidak dapat berfungsi, memandangkan ia bergantung kepada terikan sinar matahari.
Namun bagi projek di Tuas ini, apabila hujan turun, sistem yang pertama seumpamanya di dunia, mula bertindak.
Ia mampu menadah dan merawat air hujan sehingga 170,000 meter padu setiap tahun.
Air hujan dikumpulkan menerusi sistem saliran di celah-celah panel suria, dan dihubungkan kepada tangki simpanan bawah tanah.
Air hujan yang telah dirawat kemudian digunakan untuk kembali menyejukkan dan mencuci panel-panel suria.
Menurut syarikat Sembcorp, ladang suria seluas 10 hektar yang terletak di Tuas ini, adalah jenis mudah alih.
Ia boleh dipunggah dan dipasang semula di tempat lain dalam tempoh enam bulan.
Projek tersebut menyumbang kepada sasaran negara untuk menjana sekurang-kurangnya dua gigawatt tenaga suria menjelang 2030.
Ia juga merupakan sebahagian daripada usaha JTC untuk memanfaatkan 70 hektar tanah kosong milik pemerintah.
Selain menadah air hujan, JTC juga sedang meneroka cara-cara untuk memaksimumkan ruang di bawah panel-panel suria, contohnya, untuk kegunaan pertanian. Ia juga ingin memasang panel suria di ruang-ruang baru, seperti di atas laluan penghubung.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.