Skip to main content

Singapura

Ladang SG teroka tanaman baharu dan logistik dikongsi bersama untuk kekal berdaya saing

Sesetengah ladang di Singapura beralih kepada produk-produk yang lebih murah daripada yang import dan lebih sesuai dengan iklim tropika – dengan sokongan daripada inisiatif pemerintah yang menggalakkan eksperimen.
Anggaran Waktu Membaca:
Ladang SG teroka tanaman baharu dan logistik dikongsi bersama untuk kekal berdaya saing
Tomato Town menjalankan kajian pasaran untuk menilai permintaan terhadap hasil tanaman baharu, kata pengarahnya, Webster Tham (gambar). (Gambar: CNA)
Diterbitkan : 06 Nov 2025 12:40PM Dikemas Kini : 06 Nov 2025 12:49PM
SINGAPURA: Sesetengah ladang di Singapura beralih kepada produk-produk yang lebih murah daripada yang import dan lebih sesuai dengan iklim tropika – dengan sokongan daripada inisiatif pemerintah yang menggalakkan eksperimen.

Tanaman seperti kale Itali dan basil (selasih) dituai segar di ladang Tomato Town di Woodlands dan Jurong. Syarikat tersebut telah beroperasi selama hampir empat tahun, membekalkan hasilnya kepada pasar raya dan restoran.

Ia menanam sekitar 3,000kg sayur-sayuran setiap bulan dan kini menjalankan percubaan untuk mengenal pasti jenis lain yang sesuai untuk ditanam. Tanaman-tanaman ini mestilah tahan terhadap haiwan perosak, mampu tumbuh subur dalam iklim Singapura dan harganya pula berdaya saing.

EKSPERIMEN PENTING

Tomato Town membelanjakan sekurang-kurangnya S$10,000 untuk menjalankan percubaan bagi menentukan tanaman mana yang menguntungkan. Kajian pasaran dan ujian cita rasa pengguna digunakan untuk menilai permintaan bagi hasil baharu, kata pengarahnya Webster Tham.

"Jika titik harga terlalu jauh berbeza apabila kami mengimportnya berbanding apabila kami menanamnya sendiri secara tempatan, kami akan cuba untuk tidak bersaing," katanya.

"Kami tidak mahu akhirnya mengalami kerugian akibat harga, jadi kami cenderung untuk menanam tanaman yang tidak mudah ditanam atau mudah didapati. Dengan cara itu, lebih mudah untuk kami mengawal harga dan memastikan terdapat lebih banyak pilihan untuk pengguna."

Syarikat itu mendapati bahawa kailan dan jenis bayam tertentu tidak tumbuh dengan baik, disebabkan oleh daya tahan perosak yang rendah dan kesesuaiannya yang lemah untuk cuaca Singapura.

Sesetengah tanaman bagaimanapun terbukti berjaya – tanaman utama Tomato Town kini ialah kale, selasih dan tomato, dengan salad Jepun turut mendapat perhatian.

Salad Jepun lebih keras berbanding jenis 'romaine' atau 'iceberg', kata Encik Tham. Ini membantu sayur-sayuran mengekalkan kandungan air lebih lama, menjadikannya lebih sesuai untuk keadaan lembap di Singapura.

Tomato Town juga menerima sokongan daripada Agensi Makanan Singapura (SFA) dalam pengurusan perosak dan pembangunan tanaman. Institusi pengajian tinggi seperti Politeknik Republik membantu dengan kerja-kerja pengujian dan nasihat.

“Pertanian bandar di Singapura masih agak baharu, jadi saya pasti masih terdapat banyak tanaman yang sesuai untuk ditanam di Singapura yang belum ditemui lagi,” tambah Encik Tham.

MENARUH HARAPAN PADA UDANG

Di Singaponics High Tech Farm berhampiran Old Choa Chu Kang Road, 90 peratus tanahnya kini digunakan untuk menternak ikan seperti 'dory' patin dan 'jade perch'.

Tetapi menjelang 2030, ladang tersebut merancang untuk menukar 80 peratus tanah tersebut kepada penternakan udang. Memandangkan kedua-dua penternakan ikan dan udang menggunakan sistem akuakultur yang serupa, ladang tersebut tidak perlu melabur lebih banyak untuk melakukan peralihan.
Singaponics High Tech Farm merancang untuk menggunakan 80% daripada kawasan tanahnya bagi penternakan udang menjelang 2030. (Gambar: CNA)
“Udang memperoleh harga yang lebih baik, dan kitaran penternakan udang lebih pantas. Selama setahun, anda boleh menternak sehingga tiga hingga empat kitaran udang, berbanding ikan, yang biasanya mengambil masa kira-kira satu hingga dua tahun untuk membesar,” kata pengarah urusan Johnson Pay.

Ladang tersebut kini menternak terutamanya udang vannamei, yang boleh diternak pada kepadatan 500 hingga 600 udang setiap meter persegi, mengurangkan kos pengeluaran dan menjadikannya lebih berdaya saing berbanding import.

Encik Pay berkata penternakan udang tempatan lebih berdaya saing kerana import dari Malaysia dan Indonesia sering mengalami kadar kematian yang tinggi disebabkan oleh masa pengangkutan yang lebih lama dan mutu air yang berbeza.

Udang import boleh mati dalam tempoh tiga hingga empat hari, manakala udang ternakan tempatan boleh bertahan sehingga enam hari hingga seminggu, tambahnya.

“Menternak udang di Singapura memerlukan mutu yang sangat tinggi, jadi ini bermakna tiada antibiotik, tiada bahan berbahaya lain yang diberikan kepadanya. Jadi secara semula jadi, udang lebih sihat,” tambahnya.

Ladang-ladang tempatan juga boleh mengawal mutu hasil dengan lebih baik, kata Encik Pay. Bagi udang, ia tidak diberi makan sehingga seminggu sebelum dijual. Ini membolehkannya membuang sisa dari usunya, sekali gus mengurangkan bau “berlumpur”.

Ladang itu juga mula menanam sayur-sayuran di atas tangki ikannya tiga tahun lalu. Ini kebanyakannya dijual sebagai produk makanan - seperti aiskrim bayam - ke restoran, kerana terdapat terlalu banyak persaingan apabila menjualnya dalam bentuk asalnya, tambah Encik Pay.

LOGISTIK DIKONGSI UNTUK KURANGKAN KOS

Encik Pay dan Encik Tham berkata sokongan daripada SFA telah menggalakkan para petani untuk menguji spesies baharu melalui geran dan kepakaran teknikal seperti benih baharu dan makanan ikan yang lebih baik.

Sementara itu, sebuah kumpulan yang mewakili petani sedang berusaha untuk menangani perbelanjaan yang semakin meningkat dengan perkhidmatan logistik yang dikongsi yang bertujuan untuk mengurangkan kos penghantaran dan pengedaran, yang boleh menjadikan hasil tempatan lebih berpatutan.

Diterajui oleh Singapore Agro-Food Enterprises Federation (SAFEF), projek perintis ini boleh mengubah cara makanan dihasilkan dengan mewujudkan hab pengedaran pusat di mana para petani boleh menghantar hasil mereka untuk diambil oleh pembeli dan pengedar.

Kemudahan sedemikian akan memberi manfaat kepada ladang seperti MEOD, yang pasukannya memulakan penghantaran ke serata negara dari ladang Lim Chu Kang seawal pukul 3.00 pagi setiap hari. Dua lorinya menghantar sayur-sayuran ke pasar basah terlebih dahulu, sebelum menuju ke pasar raya dan rumah para pelanggan.

Perjalanan ini menelan belanja kira-kira S$10,000 sebulan untuk bahan api, penyelenggaraan dan gaji.

“Jika pemerintah mempunyai kawasan khusus, ia pasti akan membantu ramai petani,” kata Pengarah Urusan MEOD, Ong Boon Chuan.

Dengan hanya mempunyai satu lokasi untuk menghantarnya, ia akan meningkatkan kecekapan, tambahnya. “Jadi, daripada dua lori, mungkin saya hanya memerlukan satu lori. Itu lebih mudah.”

SAFEF, yang mewakili sekurang-kurangnya 50 petani, berharap dapat memulakan perkhidmatan sedemikian di Lim Chu Kang, dan akhirnya mempunyai lebih banyak pusat pengedaran kecil sedemikian untuk mengurangkan jarak antara ladang dan rakan kongsi lain yang terlibat.

Pusat sedemikian "akan membuka daya saing baharu untuk hasil tempatan", kata Ketua Pegawai Eksekutif SAFEF, Ken Cheong.

"Pembeli dan pengedar akan beralih dengan lebih mudah kepada hasil tempatan jika kami lebih mudah diakses oleh mereka."

Persekutuan itu juga sedang meneroka perkhidmatan tenaga kerja kongsi dan bas ulang-alik privet untuk mengangkut pekerja tempatan ke ladang.

SAFEF memberitahu Mediacorp bahawa ia telah berbincang dengan syarikat-syarikat lain sejak tiga bulan lalu untuk memajukan projek-projek ini. Mediacorp difahamkan bahawa beberapa ladang kecil di Lim Chu Kang sudah berkongsi ruang penghantaran secara tidak rasmi.

SAFEF juga sedang mengkaji lokasi pengedaran berpusat untuk akuakultur di dua jeti SFA di Lorong Halus dan Lim Chu Kang.
Sumber : CNA/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita