Skip to main content

Singapura

Label Nutri-Grade diperluas kepada garam, sos & perasa mulai pertengahan 2027

Anggaran Waktu Membaca:

New: You can now listen to articles.

This audio is generated by an AI tool.

Diterbitkan : 06 Apr 2025 06:59PM Dikemas Kini : 16 May 2025 03:50PM
SINGAPURA: Mulai pertengahan tahun 2027, mi segera, perasa dan minyak masak yang dijual di Singapura perlu disertakan dengan gred nutrisi.

Label Nutri-Grade yang memberikan gred 'A', 'B', 'C' atau 'D' terhadap produk makanan, kini hanya tertumpu pada kandungan gula dan ia diwajibkan ke atas minuman.

Menjelang pertengahan tahun 2027, penggunaan label itu diperluaskan untuk meliputi kandungan sodium dan lemak tepu, dan ia akan disertakan para produk makanan yang merupakan penyumbang utama bahan sodium dan lemak tepuk bagi penduduk Singapura.

Walaupun ia pertama kali diumumkan pada Ogos tahun lalu oleh Kementerian Kesihatan (MOH), butiran mengenai bagaimana ia dilancarkan hanya dikongsikan pada Ahad (6 Apr) oleh Menteri Kesihatan Ong Ye Kung.

Berucap di satu acara sempena ulang tahun ke-55 Yayasan Jantung Singapura (SHF) di Galeri Nasional Singapura, Encik Ong berkata jumlah penduduk Singapura yang didiagnos menghidap penyakit jantung telah meningkat sepanjang sedekad.
 
Related article image
Menteri Kesihatan Ong Ye Kung berucap di acara ulang tahun ke-55 Yayasan Jantung Singapura di Galeri Nasional Singapura pada 6 April 2025. (Gambar: CNA/Chew Hui Min).
"Pada 2022, 36 rakyat Singapura didiagnos menghidap infarksi miokardium akut atau serangan jantung setiap hari... Jumlah itu adalah lebih daripada seorang individu setiap jam. 10 tahun sebelumnya, jumlahnya adalah 25 individu setiap hari," kata Encik Ong.

"Ini bukan sekadar perangkaan, kerana setiap mangsa merupakan seorang ahli keluarga, teman atau rakan sekerja."

Selain pengesanan awal menerusi pemeriksaan secara kerap, rakyat Singapura perlu memberi perhatian terhadap "tiga faktor" ini - penyakit kencing manis, tekanan darah tinggi dan kolesterol tinggi - kesemuanya boleh meningkatkan risiko menghidap penyakit jantung, katanya.
 
Berdasarkan perangkaan nasional terkini pada 2022, jumlah kekerapan rakyat Singapura mengalami tekanan darah tinggi dan kolesterol tinggi kekal tinggi, menurut MOH.

Lebih sepertiga (37 peratus) rakyat Singapura mengalami hipertensi atau tekanan darah tinggi, dan jumlah ini meningkat hampir seganda sejak 2010.

Dan hampir sepertiga (31.9 peratus) rakyat Singapura mengalami kolesterol tinggi atau hiperlipademia.

Pengambilan garam dan lemak tepu yang terlalu banyak adalah faktor risiko utama bagi penyakit-penyakit kronik tersebut.

90 peratus rakyat Singapura mengambil lebih sodium daripada jumlah yang disarankan, iaitu 2,000 mg dalam sehari.

Jumlah sodium yang diambil juga telah meningkat sehingga 3,620mg sehari daripada 3,480mg pada 2019.

Pengambilan lemak tepu juga melebihi panduan yang ditetapkan.

Lemak tepu membentuk 36 peratus daripada keseluruhan pengambilan lemak diet penduduk Singapura, di mana jumlahnya lebih daripada had atas 30 peratus yang disarankan.

Sumber utama lemak tepu dalam diet pemakanan rakyat Singapura adalah minyak masak.
Sumber : CNA/HA/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita