Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Label Nutri-Grade diperluas kepada garam, sos, mi segera & minyak masak

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 22 Aug 2024 03:14PM Dikemas Kini : 22 Aug 2024 09:22PM
SINGAPURA: Pemerintah akan menguatkuasakan label wajib khasiat bagi garam yang telah dibungkus, sos dan perasa, mi segera serta minyak masak – serupa dengan yang digunakan bagi minuman manis.

Dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan pada Khamis (22 Ogos), Kementerian Kesihatan (MOH) dan Lembaga Penggalakan Kesihatan (HPB) menyatakan bahan-bahan tersebut adalah sumber utama pengambilan sodium dan lemak tepu di kalangan penduduk Singapura.

Secara purata, penduduk Singapura mengambil kira-kira 3,620mg sodium sehari, hampir dua kali ganda daripada had sodium harian yang disyorkan iaitu 2,000mg, kata MOH dan HPB.

Mereka menambah bahawa penduduk Singapura mengambil 36 peratus lemak tepu sebagai bahagian daripada jumlah lemak, melebihi cadangan tidak lebih daripada 30 peratus.

Langkah tersebut muncul sedang negara ini menyaksikan peningkatan kekerapan penduduk menderitai penyakit hipertensi, atau tekanan darah tinggi, dan hiperlipidemia, yang juga dikenali sebagai kolesterol darah tinggi.

Kedua-dua keadaan dikaitkan dengan pengambilan sodium dan lemak tepu yang berlebihan.

Tahun lalu, kira-kira satu dalam enam penduduk Singapura (15 peratus), yang berada dalam lingkungan usia 18 hingga 74 tahun, melaporkan mereka menghidapi hipertensi dan mengambil ubat yang ditetapkan, menurut laporan Tinjauan Kesihatan Penduduk Kebangsaan 2023, yang turut dikeluarkan pada Khamis.

Ia adalah keputusan yang sama bagi mereka yang menghidapi hiperlipidemia, dengan 15.3 peratus penduduk Singapura yang ditinjau melaporkan bahawa mereka mempunyai keadaan itu dan sedang mengambil ubat.

KAWAL SELIA PRODUK SODIUM DAN LEMAK TEPU

Dalam melanjutkan langkah-langkah untuk membendung sodium dan lemak tepu, MOH dan HPB menyatakan mereka berkemungkinan mengekalkan ciri-ciri utama label Nutri-Grade dan larangan pengiklanan, yang sudah dilaksanakan bagi minuman yang dibungkus dan dibuat sejurus dipesan.

Di bawah skim pelabelan Nutri-Grade - yang dilaksanakan pada Disember 2022 untuk mengurangkan kandungan gula dan lemak tepu dalam minuman - minuman yang paling sihat dinilai "A" manakala minuman yang mempunyai kandungan gula dan/atau lemak tepu tertinggi mendapat gred "D".

Sekalipun sesuatu minuman tidak mengandungi gula, ia masih boleh mendapat rating "C" atau "D" jika kandungan lemak tepunya tinggi.

Minuman yang diberi gred C atau D mesti mempunyai labelnya di bahagian hadapan bungkusan, dan iklan dilarang bagi minuman gred D dalam kebanyakan kes.

"Dengan gula, kami melihat bahawa pelabelan, sekatan pengiklanan, kerjasama dengan perumusan semula industri dan kemudian, pendidikan awam ... berhasil dalam mengalihkan kedua-dua bekalan - dari segi produk - dan permintaan pengguna," jelas jurucakap HPB.

MOH dan HPB menyatakan mereka telah melibatkan lebih 80 pengeluar, pengendali F&B, peruncit dan pengedar pada April dan Mei tahun ini mengenai langkah-langkah yang mungkin dilaksanakan bagi mengurangkan pengambilan natrium dan lemak tepu pengguna.

"Dalam sektor runcit, banyak pengeluar telah memulakan perjalanan perumusan semula mereka, dan komited untuk melakukan lebih banyak lagi.

Dalam sektor F&B, menangani kandungan sodium dan lemak tepu dalam hidangan adalah lebih mencabar, memandangkan kebolehubahan dalam bahan tambahan semasa memasak," nyata kenyataan bersama itu.

"Pengendali F&B juga menekankan bahawa masa diperlukan untuk pengguna menyesuaikan selera mereka dan menerima hidangan rendah sodium, dan untuk pengendali menggunakan bahan-bahan yang lebih sihat."

Menurut HPB, 22 pembekal telah memanfaatkan skimnya untuk menawarkan garam, sos dan perasa yang lebih rendah sodium setakat Jun tahun ini.

Semasa sidang media, HPB menyatakan ia akan menjalankan rundingan lanjut mengenai butiran pelaksanaan dengan industri antara September hingga awal tahun depan. Ini termasuk ambang khasiat yang menyokong langkah-langkah Nutri-Grade dalam memastikan ia boleh dipraktikkan dan boleh dilaksanakan.

"Bagi sodium, kita perlu melihat pelbagai jenis bahan dan kemudian menilai apakah ambang yang munasabah," kata jurucakap HPB, sambil menambah bahawa ini lebih rumit daripada gula atau lemak tepu.

"(Untuk) sos, perasa ... Anda mempunyai pelbagai jenis daripada kicap, sos tomato, sos tiram, sos ikan ... Jadi tidak boleh mempunyai ambang yang sama.

"Setiap kategori perlu mempunyai ambang sendiri dan ... untuk memastikan konsistensi dan kepaduan antara ambang Pilihan Lebih Sihat dan ambang Nutri-Grade. Produk Pilihan Lebih Sihat mesti layak bagi (label Nutri-Grade) 'A' atau B', sebagai tambahan kepada keperluan lain."

Maklumat lanjut termasuk garis masa pelancaran skim pelabelan dan keperluan pematuhan akan diumumkan apabila siap kelak, menurut MOH dan HPB.
Sumber : CNA/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan