Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Label khasiat diwajibkan bagi minuman lebih tinggi kandungan gula & lemak jelang hujung 2023

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Kedai makan dan minuman akan dikehendaki membubuhkan label khasiat pada menu masing-masing bagi menunjukkan minuman yang mengandungi kandungan gula dan lemak tepu yang lebih tinggi. 

Ini termasuk minuman yang baru dibancuh di kedai kopi, jus dan 'bubble tea'.

"Langkah terkini ini akan memastikan kedai-kedai yang menjual minuman untuk menampalkan label pada minuman yang mengandungi jumlah gula dan lemak tepu yang lebih tinggi bagi menu fizikal dan onlinenya," kata Menteri Kesihatan Ong Ye Kung pada Khamis (11 Ogos). 

Menyifatkan minuman sedemikian sebagai "sumber gula yang meningkat dalam pemakanan warga Singapura", Encik Ong berkata Kementerian Kesihatan (MOH) sedang berusaha untuk menerbitkan langkah-langkah itu pada pertengahan tahun depan dan menguatkuasakannya menjelang hujung 2023. 

"Larangan pengiklanan juga akan dikenakan terhadap minuman yang baru saja dibancuh dan mengandungi jumlah tertinggi gula dan lemak tepu," kata Encik Ong semasa menyampaikan ucapannya di perasmian Kongres Persatuan Antarabangsa bagi Dialisis Ginjal yang ke-19.

Tambah Encik Ong, langkah-langkah tersebut bertujuan untuk "untuk membantu pengguna membuat pilihan yang lebih berhemah dan lebih sihat, mengurangkan pengaruh iklan terhadap pilihan pengguna dan merangsang semula industri". 

"Walaupun kita tidak boleh mengelak gula dalam jus dan minuman tebu, kita boleh menikmati kopi, teh, Milo dan 'bubble tea' dengan kandungan gula yang lebih rendah," katanya. 

"Saya berharap lebih ramai warga Singapura akan menyedari bahawa kandungan gula yang lebih rendah akan menyerlahkan perisa semula jadi minuman dan kita mungkin akan lebih suka minuman sedemikian. 

"Paling penting, ia akan memastikan kita sihat dan berupaya mengelakkan diri daripada penyakit yang amat mengerikan, iaitu penyakit kencing manis." 

Pada Disember, MOH mengumumkan bahawa minuman yang telah dibungkus seperti minuman ringan, jus dan susu dikehendaki menampal label baru 'Nutri-Grade' menjelang hujung 2022. 

Sistem gred empat tahap itu berdasarkan kandungan gula dan lemak tepu dalam minuman. Ia ditandakan dengan warna berbeza - A (hijau gelap), B (hijau terang), C (jingga) dan D (merah), dengan A merupakan kategori minuman dengan kandungan gula dan lemak yang paling rendah sekali. 

Minuman yang diberikan gred C atau D harus meletakkan label berkenaan di bahagian depan bungkusan, menurut MOH. Jika dijual online, ataupun melalui mesin layan diri, imej Nutri-Grade mesti dipamerkan mengikut peraturan yang ditetapkan.

Iklan juga dilarang bagi sebahagian besar minuman gred D. 

Encik Ong pada Khamis (11 Ogos) berkata langkah-langkah untuk minuman yang sudah dibungkus "membawa respons yang amat positif dari segi permintaan dan bekalan industri" sejak ia diumumkan. 

"Data awal menunjukkan bahawa median kandungan gula dalam minuman yang sudah dibungkus merosot dengan ketara dari 7.1 peratus pada 2017 kepada 4.7 peratus pada 2021," tambah Encik Ong.

Penjualan minuman paket yang dinilai gred C atau D juga merosot dari 63 peratus pada 2017 kepada 40 peratus pada 2021. 

Dalam pada itu, penjualan minuman dengan kandungan gula kurang lima peratus naik dari 37 peratus kepada 60 peratus pada tempoh yang sama. 

"Perubahan ini ketara, seperti yang dicatatkan di Britain, yang mengenakan cukai gula dan peraturan pasaran yang lebih ketat," katanya lagi. 

"Ini menunjukkan bahawa pasaran kita, dengan menyediakan maklumat yang betul melalui cara yang baik, industri dan pengguna kita lebih berpengetahuan dan mengambil berat tentang kesihatan mereka untuk bertindak secara positif dan ini amat memberangsangkan.

"Dengan perkembangan yang menggalakkan ini, MOH dan Lembaga Penggalakan Kesihatan (HPB) akan mempertingkatkan usaha kami untuk mengurangkan pengambilan gula dalam minuman yang dibancuh." 

Sumber : CNA/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan