Skip to main content

Singapura

Label khasiat baru diperkenalkan bagi semua minuman ringan

Label baru kandungan khasiat dalam minuman ringan dipanggil Nutri-Grade akan diperkenalkan mulai akhir 2021 untuk membantu pembeli menilai kandungan gula dalam minuman tersebut, Kementerian Kesihatan (MOH) mengumumkan pada Khamis (5 Mac).

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 05 Mar 2020 09:07PM Dikemas Kini : 06 Mar 2020 11:25PM

SINGAPURA: Label baru kandungan khasiat dalam minuman ringan dipanggil Nutri-Grade akan diperkenalkan mulai akhir 2021 untuk membantu pembeli menilai kandungan gula dalam minuman tersebut, Kementerian Kesihatan (MOH) mengumumkan pada Khamis (5 Mac).

Rancangan serupa juga bakal diperkenalkan bagi minuman segar.

Menteri Negara Kanan Kesihatan Edwin Tong menjelaskan sebab langkah tersebut perlu dilakukan semasa perbahasan Jawatankuasa Perbekalan Kementerian Kesihatan pada Khamis (5 Mac).

"Walaupun kita sudah mencatat kemajuan dalam menggalak warga Singapura lebih bersenam dan makan lebih sihat, pengambilan gula seharian masih tinggi. Khususnya, minuman dalam kotak dan botol menyumbang lebih daripada separuh pengambilan gula kita," kata Encik Tong.

Label Nutri-Grade mempunyai empat gred yang diberi kod warna A (hijau tua), B (hijau muda), C (jingga) dan D (merah) berdasarkan kandungan gula dan lemak tepu.

Tanda hijau tua gred A menunjukkan minuman tersebut mengandungi gula dan lemak tepu paling rendah manakala gred D merah sebaliknya.

"Label ini memberikan ringkasan sekilas mengenai mutu khasiat minuman itu, yang membolehkan pembeli membandingkan produk sebelum membeli," kata Encik Tong.

Pada Oktober tahun lalu MOH menyatakan bahawa sebagai sebahagian daripada usaha melawan kencing manis, label khasiat "depan bungkusan" dengan kod warna baru akan diwajibkan bagi minuman dalam kotak dan botol yang mempunyai kandungan gula yang tinggi. Turut diumumkan juga larangan iklan ke atas minuman yang dianggap paling tidak sihat dan mendapat gred rendah.

Kementerian itu juga sebelum ini mengadakan rundingan awam mengenai empat pilihan langkah termasuk mengharamkan atau mengenakan cukai ke atas minuman bergula.

Label baru itu hanya diwajibkan bagi minuman yang menerima gred C atau D, manakala bagi minuman dengan gred A atau B adalah secara sukarela.

Pihak berkuasa menyatakan sekitar 75 peratus minuman yang dijual kini adalah jenis gred C dan D. 20 peratus minuman jatuh di bawah gred D.

Pengilang akan diberi masa hampir dua tahun untuk menyesuaikan semula formula produk mereka bersesuaian dengan langkah-langkah ini, kata MOH. Peraturan tersebut akan diterbitkan menjelang hujung 2020, sebelum ia mula berkuatkuasa pada akhir 2021.

LANJUTKAN LABEL BAGI MINUMAN SEGAR

Terdapat rancangan untuk melanjutkan skim label itu bagi minuman yang baru disediakan, seperti 'bubble tea'. HPB menyatakan meskipun terdapat pelbagai faktor untuk dipertimbangkan, seperti pilihan kandungan gula, penyediaan minuman sedemikian adalah agak sama.

Peraturan melekatkan label tersebut akan dimulakan rangkaian F&B yang "mempunyai ramai pelanggan", tambah MOH.

Encik Tong menambah bahawa pihak berkuasa akan memantau kesan langkah-langkah tersebut, dan secara bertahap mungkin akan melanjutkannya kepada lebih banyak kedai.

Dalam beberapa bulan akan datang, MOH dan HPB akan terus berbincang dengan pemain industri untuk lebih memahami isu-isu dan menentukan pendekatan yang sesuai untuk melaksanakan langkah-langkah itu, menurut agensi-agensi berkenaan.

Semasa sesi rundingan awam yang diadakan antara Disember 2018 hingga Januari 2019, MOH menerima maklum balas yang lantang mengenai perlunya mengawal selia sektor minuman segar, menurut kementerian itu lagi.

HAD PENGIKLANAN

Minuman Gred D tidak boleh diiklankan di wadah-wadah media seperti siaran tv, pawagam, media cetak, luar rumah, online dan mudah alih, tambah MOH.

Minuman sedemikian boleh diiklankan di tempat jualan, seperti menggunakan papan tanda promosi, paparan produk dan iklan 'pop-up' di laman web e-dagang.

Tambahan lagi, demi menggalak orang ramai minum air jarang, 82 pusat penjaja akan dilengkapi dengan dispenser air menjelang pertengahan tahun ini. Kini 30 pusat penjaja sudah dilengkapi dengan alat sedemikian.

Alat pendingin air (water cooler) juga akan dipasang di 14 daripada 39 pusat pertukaran bas, termasuk di Bukit Batok dan Woodlands.

HPB juga akan melancarkan kempen menggalak minum air jarang jelang pertengahan 2020, tambah MOH. 

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita