Skip to main content

Singapura

Laba SMRT Trains naik hampir seganda kepada S$12.8 juta

Keuntungan selepas cukai SMRT Trains hampir naik seganda kepada S$12.8 juta pada tahun kewangan terkini, sedang pendapatan meningkat 5.6 peratus didorong jumlah penumpang dan hasil tambang lebih tinggi.

Anggaran Waktu Membaca:
Laba SMRT Trains naik hampir seganda kepada S$12.8 juta

Sebuah kereta api menghampiri stesen Buona Vista di Laluan Timur-Barat. (Gambar fail: TODAY)

Diterbitkan : 05 Aug 2026 06:22PM
SINGAPURA: Keuntungan selepas cukai SMRT Trains hampir naik seganda kepada S$12.8 juta pada tahun kewangan terkini, sedang pendapatan meningkat 5.6 peratus didorong jumlah penumpang dan hasil tambang lebih tinggi.

Keuntungan selepas cukai meningkat daripada S$6.9 juta pada tahun sebelumnya, manakala pendapatan bertambah S$51.5 juta.

Pendapatan sebelum faedah dan cukai pula meningkat kepada S$16.2 juta daripada S$4.9 juta.

SMRT menyatakan peningkatan itu sebahagiannya diimbangi perbelanjaan pembaikan dan penyenggaraan yang lebih tinggi, sedang syarikat itu terus melabur dalam aset rel dan memperkukuh keupayaan kejuruteraannya.

Jidar keuntungan SMRT Trains meningkat kepada 1.3 peratus daripada 0.75 peratus.

Syarikat itu mengaitkannya dengan pengurusan kos yang berdisiplin serta kontrak tenaga yang dimeterai sebelum perkembangan geopolitik baru-baru ini.

Pada tahun sebelumnya, jidar keuntungan terjejas oleh kos sekali sahaja sebanyak S$10 juta akibat gangguan Laluan Timur-Barat pada September 2024.

Pengerusi SMRT Corporation Seah Moon Ming berkata kos keseluruhan penyenggaraan kereta api mencecah S$245 juta, manakala kos tenaga berjumlah S$125 juta.

KEANDALAN RANGKAIAN REL

Rangkaian kereta api SMRT mencapai purata sekitar dua juta kilometer perjalanan antara kerosakan (MKBF) buat pertama kali awal tahun ini.

Ia dua kali ganda penanda aras sejuta MKBF yang dikaitkan dengan beberapa sistem metro berprestasi terbaik di dunia, menurut Encik Seah.

MKBF mengukur keandalan rangkaian rel berdasarkan purata jarak perjalanan kereta api sebelum berlaku kelewatan perkhidmatan melebihi lima minit.

"Ini tidak berlaku secara kebetulan," kata Encik Seah.

"Ia hasil disiplin, kerja berpasukan dan komitmen untuk terus melakukan penambahbaikan setiap hari."

PEMBAHARUAN LESEN REL

Encik Seah turut berkata sudah tiba masanya bagi SMRT memulakan perbincangan dengan pihak berkuasa mengenai pembaharuan lesen relnya.

Lesen Laluan Thomson-Pantai Timur (TEL) tamat pada 2029, manakala lesen Laluan Utara-Selatan, Laluan Timur-Barat, Laluan Circle dan LRT Bukit Panjang tamat pada 2031.

Menurutnya, tempoh lesen yang lebih panjang akan memberi lebih banyak kepastian bagi pelaburan jangka panjang, meningkatkan kestabilan tenaga kerja dan mengurangkan kos peralihan.

Beliau berkata pembaharuan lesen adalah sebahagian daripada rangka kerja kawal selia biasa dan SMRT akan bekerjasama dengan Kementerian Pengangkutan serta Penguasa Pengangkutan Darat (LTA).

KERJASAMA DENGAN GUANGZHOU METRO

SMRT turut bekerjasama dengan Guangzhou Metro untuk membangunkan teknologi bagi meramal kesesakan penumpang serta keperluan penyenggaraan kereta api dan stesen.

Satu sistem yang sedang dibangunkan menggunakan data masa nyata di pintu tambang untuk meramal jumlah penumpang di stesen dan dalam kereta api.

Ini membolehkan SMRT mengerahkan petugas kawalan orang ramai atau menambah kereta api lebih awal bagi mengurangkan kesesakan.

SMRT dan Guangzhou Metro juga bekerjasama untuk membida bagi mengendalikan Laluan Rentas Pulau (CRL) pada masa depan.

Sementara itu, projek Sistem Transit Rapid (RTS) Johor Bahru-Singapura sudah lebih 82 peratus siap setakat akhir Jun dan kini menjalani ujian.

Tarikh pembukaan dan tambangnya akan diumumkan kelak.
Sumber : CNA/FD/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita