Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Kutu sampah akan diarah bersihkan kawasan bandar; NEA berharap hukuman baru akan tingkatkan kesedaran

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Sesi-sesi Perintah Kerja Pemulihan (CWO) diperkenalkan di kawasan-kawasan bandar buat julung-julung kalinya pada November tahun ini sedang Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) berusaha untuk meningkatkan kesedaran orang ramai terhadap sesi-sesi sedemikian.

Dua sesi pertama dijalankan di kawasan Chinatown dan Tanjong Pagar pada 15 November dan 17 November, menurut kenyataan yang dikeluarkan NEA pada Jumaat (18 Nov).

Sesi-sesi CWO yang dijalankan di kawasan-kawasan bandar adalah sebahagian daripada langkah NEA bukan saja untuk meningkatkan kesedaran orang ramai tentang CWO tetapi juga bagi memastikan orang ramai memahami kesan membuang sampah sembarangan, jelas agensi tersebut.

CWO diperkenalkan pada 1992 dan ia mewajibkan para pesalah untuk membersihkan tempat-tempat awam selama sekurang-kurangnya tiga jam atau sehingga maksimum 12 jam.

"Rejim ini bertujuan untuk meningkatkan kesedaran para pesalah bentan tentang kesan membuang sampah sembarangan, serta mengalami sendiri kesukaran yang dihadapi oleh para pekerja pembersihan," menurut NEA.

Agensi tersebut juga akan terus meletakkan papan tanda bermaklumat di sekitar lokasi-lokasi yang dikenal pasti bagi sesi-sesi CWO.

Para pegawai NEA juga menjalankan tindakan penguatkuasaan yang bersasar di kawasan-kawasan yang dikenal pasti sebagai 'tompok panas' membuang sampah sembarangan dan di kawasan-kawasan di mana ramai orang berkumpul.

Dari 2017 hingga 2021, sekitar 10,200 CWO dikeluarkan terhadap para pesalah.

Sepanjang tempoh yang sama, sebanyak 27,200 saman sudah dikeluarkan secara purata terhadap kesalahan membuang sampah sembarangan dan membuang sampah dari tempat tinggi.

Malah, perbuatan membuang sampah sembarangan kerap berlaku di kawasan-kawasan kejiranan, kawasan-kawasan di sekitar pusat penjaja, stesen-stesen MRT dan pusat beli-belah.

Jumlah saman tertinggi yang dikeluarkan dalam satu tahun adalah pada 2018 apabila kira-kira 39,200 samam dikenakan terhadap para pesalah. Pada 2021, sekitar 15,500 saman dikeluarkan.

"Sebahagian besar pesalah yang membuang sampah sembarangan adalah lelaki dan berusia antara 18 dengan 35 tahun," dedah agensi tersebut.

Malah, tinjauan yang dijalankan mendapati bahawa puntung rokok masih merupakan antara sampah yang dibuang sembarangan.

Para individu yang didapati membuang sampah sembarangan boleh dikenakan denda sebanyak S$300 bagi kesalahan pertama.

Mereka yang didapati bersalah atas kesalahan membuang sampah sembarangan boleh didenda sehingga S$2,000 bagi sabitan pertama, S$4,000 bagi sabitan kedua, S$10,000 bagi sabitan ketiga dan seterusnya. Mereka juga boleh dikenakan CWO selain denda yang dikenakan itu.

"Setiap orang berperanan menjaga tahap kebersihan dan kesihatan awam yang tinggi di Singapura," tegas Pengarah Kumpulan Operasi Kesihatan Awam Persekitaran NEA, Tony Teo.
Sumber : Today/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan