Skip to main content

Singapura

Kutipan masjid sempena kempen 'Aid For Gaza 2026' dijalankan sehingga 22 Jan

Anggaran Waktu Membaca:
Kutipan masjid sempena kempen 'Aid For Gaza 2026' dijalankan sehingga 22 Jan
Kotak kutipan dana di masjid untuk kempen 'Aid For Gaza 2026' (Gambar: MDDI)

SINGAPURA: Pungutan derma di masjid-masjid merata Singapura dimulakan hari ini (16 Jan) bagi kempen 'Aid For Gaza 2026'. 

Kutipan masjid itu akan diadakan sehingga Khamis depan (22 Jan).

Kempen 'Aid For Gaza 2026' dikelolakan oleh Yayasan Rahmatan Lil Alamin (RLAF) dengan kerjasama Bulan Sabit Merah Mesir (ERC) dan Tabung Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF).

Pemangku Menteri Bertanggungjawab Bagi Ehwal Masyarakat Islam Dr Muhammad Faishal Ibrahim yang turun padang ke Masjid Al Abdul Razak untuk menunaikan solat Jumaat amat "menghargai sambutan mesra yang diberikan, serta sokongan padu masyarakat terhadap usaha RLAF."

Related article image
(Gambar: MDDI)
"Saya amat terharu dengan kemurahan hati rakyat Singapura. Berkali-kali kita membuktikan bahawa sifat belas ihsan kita melangkaui sempadan. Saya menggalakkan semua untuk terus menyokong dan menyumbang kepada usaha murni ini," nyata Dr Faishal.

Beliau berkata demikian menerusi satu catatan Facebook petang tadi (16 Jan).

Kempen 'Aid For Gaza 2026' dianjurkan bagi menyokong usaha bantuan kecemasan kepada orang awam yang terjejas akibat krisis kemanusiaan yang berterusan di Gaza.

Kempen itu juga akan menyediakan bantuan segera kepada keluarga-keluarga yang berdepan kekurangan makanan, air bersih, bekalan perubatan dan tempat perlindungan.

Dalam catatan Facebook beliau, Dr Faishal berkata: "RLAF terus bekerjasama rapat dengan rakan-rakan kongsi seperti UNICEF dan Bulan Sabit Merah Mesir untuk menyokong keluarga di Gaza dalam usaha pemulihan dan pembinaan semula kehidupan mereka. Melalui kerjasama ini, bantuan disalurkan bagi keperluan penting seperti penjagaan kesihatan, pendidikan, tempat perlindungan, klinik bergerak serta sokongan psiko-sosial kepada kanak-kanak dan keluarga yang kehilangan tempat tinggal."

"Usaha-usaha ini membantu anak-anak meneruskan pembelajaran, memulihkan kehidupan seharian, serta memberi sokongan dan ketenangan kepada mereka yang telah melalui trauma dan kehilangan," tambah beliau.

Keseluruhan kempen 'Aid For Gaza 2026' akan dijalankan sehingga 31 Mac.

Orang ramai boleh menderma menerusi kaedah digital, PayNow, pemindahan wang menerusi bank atau cek.

- PayNow – sertakan UEN: 200910530ZRLA dan nyatakan ‘AIDFORGAZA2026’ dalam ruangan butiran tambahan

- Giving.SG – menerusi kempen di giving.sg/donate/campaign/Gaza2024c

- Pemindahan wang antara bank melalui RLAF ke 'OCBC Current Account' dengan nombor akaun 601313315001

- Cek kepada ‘RLAF’ - nyatakan di bahagian belakang cek: nama dan nombor telefon penderma, selain menandakan “AIDFORGAZA2026”. Cek boleh dikirimkan ke RLAF (Masjid Yusof Ishak, No 10, Woodlands Drive 17, Singapore 737740)
Sumber : BERITA Mediacorp/hk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita