Kursus rumah tangga, kempen kesedaran dipertingkat demi tangani keganasan keluarga: MSF
Program-program persiapan rumah tangga sudah dipertingkat untuk membantu pasangan, khususnya mereka yang mudah terjejas, menimba kemahiran-kemahiran dalam melayari bahtera perkahwinan.

Gambar: istock
SINGAPURA: Program-program persiapan rumah tangga sudah dipertingkat untuk membantu pasangan, khususnya mereka yang mudah terjejas, menimba kemahiran-kemahiran dalam melayari bahtera perkahwinan.
Ini termasuk yang di bawah usia 21 tahun dan pasangan berlainan kerakyatan.
Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) pada Khamis (28 Okt) menyatakan bahawa kursus-kursus persiapan rumah tangga itu adalah salah satu daripada beberapa peningkatan yang dibuat ke atas pelbagai inisiatif untuk menangani isu keganasan keluarga.
Ini termasuk menyemak kempen-kempen yang meningkat kesedaran tentang keganasan keluarga dan meluaskan talian telefon untuk membuat aduan.
Langkah pemerintah itu diambil menyusuli satu laporan dengan 16 saranan yang diserahkan kepada pihak berkuasa bulan lalu oleh pasukan bertindak 21 anggota yang terdiri daripada para wakil agensi-agensi khidmat sosial, mahkamah dan hospital, antara lain.
Jumlah kes baru keganasan keluarga yang ditangani Pusat Pakar Keganasan Keluarga dan Khidmat Bersepadu Pave bagi Individu serta Pusat Pakar Perlindungan Keluarga melonjak dari 891 kepada 1,103 antara 2018 dengan 2020.
Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga Masagos Zulkifli berkata: "Isu keganasan keluarga luas. Ia bukan sahaja merangkumi penderaan terhafap pasangan. Ia juga termasuk penderaan anak-anak, warga emas dan juga termasuk pengabaian.
"Apabila kita bercakap tentang penderaan, ia juga lebih luas daripada hanya (aspek) fizikal. Ia termasuk penderaan seksual dan emosi. Maka penting untuk kita memahami konteksnya."
Encik Masagos juga berkata pemerintah menerima sepenuhnya saranan-saranan tersebut yang boleh dibahagikan kepada empat bidang - menyokong bekas mangsa, mempertingkat perlindungan, mengelak insiden berulang dan mewujudkan kesedaran.
Saranan-saranan itu akan mengambil masa setahun hingga tiga tahun untuk dilaksanakan, tambah Encik Masagos.
Semasa membentangkan garis masa bagaimana pemerintah akan menangani bidang-bidang itu, beliau berkata pada tahun pertama, MSF akan menumpukan perhatian kepada usaha meningkatkan kesedaran tentang isu keganasan keluarga.
Untuk melakukan sedemikian, ia akan meneruskan kempen Break the Silence pada bulan depan untuk meningkatkan kesedaran tentang keganasan keluarga.
Kempen itu, yang bermula pada 2016, merangkumi pendampingan awam dan media sosial serta pendekatan masyarakat. Sejak ia dilancarkan, semua enam video Break The Silence sudahpun mendapat lebih 37 juta tontonan secara keseluruhannya.
Sebagai sebahagian daripada kempen itu, MSF juga menganjurkan latihan kesedaran tentang keganasan keluarga kepada pihak-pihak yang berminat termasuk kakitangan di sekolah-sekolah dan tempat-tempat kerja untuk memberi kefahaman asas mengenai keganasan keluarga termasuk pelbagai jenis penderaan dan pengabaian.
Pada tahun pertama, MSF juga akan menambah Talian Bantuan Antikeganasan Kebangsaan untuk menyediakan beberapa wadah membuat aduan tentang keganasan keluarga.
Dalam fasa pertama penambahbaikan itu yang sudahpun selesai dijalankan, talian-talian bantuan sedia ada untuk menangani keganasan dan penderaan disatukan untuk memudahkan lagi seseorang membuat aduan.
MSF menyatakan pada fasa kedua, ia akan menawarkan wadah aplikasi telefon bijak dan ruang sembang secara langsung di laman web untuk orang ramai membuat aduan.
Misalnya, ia akan menambah baik aplikasi Community Guardian yang membantu para pemimpin akar umbi dan relawan bertindak sebagai responden pertama untuk membuat aduan tentang keganasan keluarga dan memastikan tindak balas lebih cepat kepada insiden-insiden sedemikian.
Menurut Encik Masagos, selepas penambahbaikan itu dibuat dalam tahun pertama, kementeriannya akan meneliti bidang lain yang hanya boleh diperbaiki menerusi perundangan.
"Oleh sebab perundangan akan mengambil masa, bidang-bidang di mana kita perlu meluluskan undang-undang baru atau menggubal undang-undang sedia ada dan juga memerlukan kerjasama antara agensi seperti polis misalnya, dalam menangani keganasan keluarga, ini akan mengambil masa setahun, dua."
Encik Masagos menambah menjangkaui undang-undang, pemerintah juga akan meneliti usaha menangani saranan-saranan lebih rumit dalam laporan itu.
Ini termasuk menyediakan jagaan institusi bagi para pesalah keganasan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.