Skip to main content

Singapura

Kursus possiswazah dikecualikan dari skim pertengahan kerjaya SkillsFuture untuk elak buru sijil akademik semata-mata

Inisiatif SkillsFuture yang menawarkan elaun kepada pekerja pertengahan kerjaya berusia 40 tahun ke atas yang mengikuti kursus latihan tidak diperluaskan ke program possiswazah kerana kebanyakan pekerjaan di Singapura tidak memerlukan kelayakan sedemikian, kata Menteri Negara Kanan Pendidikan, Janil Puthucheary di parlimen pada Khamis (25 Sep).

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 25 Sep 2025 02:57PM Dikemas Kini : 04 Oct 2025 02:20PM
SINGAPURA: Inisiatif SkillsFuture yang menawarkan elaun kepada pekerja pertengahan kerjaya berusia 40 tahun ke atas yang mengikuti kursus latihan tidak diperluaskan ke program possiswazah kerana kebanyakan pekerjaan di Singapura tidak memerlukan kelayakan sedemikian, kata Menteri Negara Kanan Pendidikan, Janil Puthucheary di parlimen pada Khamis (25 Sep).

Pihak berkuasa "juga berhati-hati agar tidak secara tidak sengaja meneruskan budaya yang hanya memburu kelayakan akademik semata-mata di peringkat sarjana," kata Dr Janil semasa menjawab pertanyaan Anggota Parlimen Hamid Razak (PAP-West Coast-Jurong West) dan Kenneth Tiong (WP-Aljunied) mengenai peluasan program SkillsFuture untuk menyokong pengajian possiswazah.

Elaun latihan, yang pertama kali diumumkan pada 2024 sebagai sebahagian daripada Program Peningkatan SkillsFuture (SkillsFuture Level-Up Programme), membantu mengimbangi sebahagian kehilangan pendapatan semasa menjalani latihan sepenuh masa. Program ini menyokong kursus latihan sehingga ke peringkat ijazah sarjana muda.

Sekalipun demikian, rakyat Singapura pertengahan kerjaya boleh menggunakan tokokan kredit SkillsFuture sebanyak S$4,000 untuk mengimbangi yuran latihan yang perlu ditampung sendiri untuk program-program sarjana terpilih yang ditawarkan oleh universiti-universiti berautonomi.

"Para individu perlu membuat keputusan mengenai pelaburan bagi ijazah sarjana. Kosnya biasanya lebih tinggi dan pulangannya juga lebih tinggi, namun ini mungkin melibatkan segelintir pekerjaan di Singapura," kata Dr Janil.

Beliau menambah bahawa pemerintah bersedia untuk mempertimbangkan perkara tersebut. "Isu sekarang adalah sama ada hari ini, bekalan orang dengan kelayakan yang sesuai untuk memacu pembangunan dalam bidang-bidang tersebut terhad oleh jenis latihan yang disediakan, dan (ia) tidak kelihatan sebagai petunjuk langsung pada ketika ini," katanya kepada Dewan, sambil mengulangi bahawa pemerintah tidak mahu mewujudkan budaya 'paper chase' (terlalu menumpukan perhatian kepada kelayakan akademik).

Secara keseluruhannya, Dr Janil berkata sambutan terhadap program Level-Up adalah positif.

Lebih 36,000 rakyat Singapura sudahpun menggunakan tokokan kredit SkillsFuture sebanyak S$4,000mereka semasa tahun pertama pelaksanaan skim itu antara Mei 2024 dan April 2025,dengan tuntutan berjumlah lebih S$24 juta dalam tempoh yang sama.

Data bagi menebus kredit SkillsFuture menunjukkan peningkatan hampir enam kali ganda bagi jumlah individu yang memilih Program Peralihan Kerjaya SkillsFuture - dari sekitar 1,500 kepada hampir 8,500, berbanding tempoh yang sama pada tahun sebelumnya.

Dr Janil juga mengumumkan bahawa program Level-Up akan diperluaskan untuk merangkumi program latihan sambilan mulai awal tahun depan, di samping penambahan lebih banyak program peralihan kerjaya untuk memenuhi keperluan kemahiran yang muncul.
Sumber : CNA/NK/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita