Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura iklan

Kursus persiapan rumahtangga lengkapi bakal mempelai dengan ilmu, kemahiran sebelum melangkah ke alam perkahwinan

Anggaran Waktu Membaca:
Kursus persiapan rumahtangga lengkapi bakal mempelai dengan ilmu, kemahiran sebelum melangkah ke alam perkahwinan

(Gambar: iStock)

Diterbitkan : 21 Jan 2023 07:00AM Dikemas Kini : 25 Jan 2023 09:12PM
BERITAmediacorp: Setiap pasangan yang berhasrat untuk mendirikan rumahtangga mengimpikan bahtera yang dapat dilayari dengan tenang dan bahagia.

Perkahwinan adalah perjalanan sepanjang hayat dan seperti setiap perjalanan adalah penting untuk bersedia menghadapi cabaran yang mendatang.

Pengetahuan dan kemahiran yang ditimba sebelum status diri berubah menjadi suami dan isteri akan dapat membantu memastikan rumah tangga bagai tangguk lerak dengan bingkainya - stabil hingga ke akhir hayat - sekali gus mewujudkan persekitaran yang baik untuk anak-anak membesar.

Sebuah keluarga yang utuh juga dapat membentuk individu-individu yang berdaya tahan dan yang akan menyumbang kembali kepada masyarakat.

Untuk mencapai matlamat tersebut, pasangan-pasangan mempelai sangat digalakkan untuk mengikuti kursus rumahtangga yang dikendalikan oleh agensi yang dilantik oleh Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) untuk mendapatkan maklumat dan tip untuk mengukuhkan sebuah perkahwinan.

Sokongan dan dorongan kepada pasangan untuk mereka turut serta dalam kursus rumahtangga dan mendapatkan pelbagai sokongan selepas mendirikan rumahtangga adalah antara rancangan dalam Pelan Singapura Mesra Keluarga 2025 atau A Singapore Made For Families 2025 (MFF 2025) Plan.

Selain daripada mendapatkan maklumat dan tip melalui kursus rumahtangga, pasangan beragama Islam yang akan mendirikan rumahtangga perlu juga berjumpa Naib Kadi terlebih dahulu sebagai persediaan sebelum bernikah.

NAIB KADI SEBAGAI PENASIHAT, PEMBIMBING SEBELUM & SELEPAS NIKAH

Di bawah program Bersamamu, Naib Kadi membimbing setiap pasangan sebelum dan selama dua tahun sesudah pernikahan. Program Bersamamu merupakan usaha di bawah Pejabat Pendaftaran Pernikahan Orang Islam (ROMM) yang disokong oleh Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) berserta rangkaian M³ - MUIS, MESRA dan MENDAKI. Ia bertujuan memberi sokongan menyeluruh kepada pasangan yang bakal berumah tangga.
Program Persiapan Perkahwinan bersama Ustaz Fakhrudin Amin. (Gambar: Ustaz Fakhrudin Amin)
Melalui program Bersamamu, setiap Naib Kadi akan juga menggalakkan pasangan mereka untuk mengikuti kursus rumahtangga. Menurut Naib Kadi, Ustaz Mohamed Asysallehan Mohamed Ali: “Kursus rumahtangga yang dikendalikan oleh agensi yang dilantik oleh MSF adalah satu langkah permulaan untuk pasangan membuktikan komitmen masing-masing dalam membina rumah tangga yang stabil.

“Contohnya, program ini bertujuan untuk membantu pasangan mengenal pasti betapa pentingnya peranan yang dimainkan oleh kedua-dua individu dalam membina kehidupan yang baru sebagai sebuah keluarga. Adalah penting untuk pasangan memahami bahawa kebahagiaan rumahtangga bukanlah terletak di bahu suami mahupun isteri sahaja kerana kehidupan yang bahagia memerlukan setiap individu menjalankan tanggungjawab masing-masing sebaik mungkin,” kata Ustaz Mohamed Asysallehan.
Naib Kadi, Ustaz Mohamed Asysallehan Mohamed Ali. (Gambar: Ustaz Mohamed Asysallehan Mohamed Ali)
Seorang lagi Naib Kadi, Ustaz Fakhrudin Amin berkata ramai masih lagi yang keliru mengenai tanggungjawab suami dan isteri. Masih ramai lagi bertanggapan bahawa tanggungjawab suami adalah untuk mencari kewangan sahaja dan tanggungjawab isteri termasuk juga menghias dan membersihkan rumah.

“Walhal tanggungjawab secara keseluruhan perlu dilaksanakan bersama”.

"Dengan menyertai kursus rumahtangga, insya-Allah pasangan akan mendapat maklumat dan tip dari sudut tanggungjawab suami isteri dari sudut Islam yang disampaikan oleh Naib Kadi dan cara lebih efektif untuk berkomunikasi bukan saja antara suami dan isteri, juga dengan mertua contohnya. Kursus rumahtangga juga memberi tip bagaimana mengatasi konflik rumahtangga dan pengurusan kewangan harian yang disampaikan oleh seorang profesional. Pasangan perlu faham bahawa suami bukanlah raja, isteri bukanlah pembantu rumah, tetapi pasangan melaksanakan tanggungjawab masing-masing mengikut konteks atau keperluan sesebuah keluarga melalui perundingan dengan cara yang terbaik,” tambah Ustaz Fakhrudin Amin.
Naib Kadi, Ustaz Fakhrudin Amin. (Gambar: Ustaz Fakhrudin Amin)
ANTARA MANFAAT YANG DIRAIH MENERUSI KURSUS PERSIAPAN RUMAHTANGGA

Yang jelas, pasangan yang mengikuti kursus rumahtangga untuk persiapan perkahwinan, insya-Allah dapat meraih manfaat yang besar ibarat pelaburan masa depan bagi kehidupan berumah tangga kelak.

Ia sedikit sebanyak memberi pendedahan kepada pasangan berkaitan realiti kehidupan di Singapura hari ini, di mana masih terdapat mereka yang kurang bersedia menghadapi cabaran yang rencam dan rumit.

“Sering kali kehidupan yang diinginkan oleh seseorang individu itu terbentuk oleh pelbagai faktor, termasuk latar belakang keluarga, pengaruh sekeliling dan sebagainya. Namun, adalah penting untuk kita sedari bahawa kehidupan rumahtangga setiap pasangan adalah sangat unik dan berbeza dan sesuatu masalah mahupun cabaran yang bakal dihadapi itu tidak semestinya dapat diselesaikan dengan mudah seperti pasangan ataupun keluarga lain.

“Jalan penyelesaian yang mungkin berkesan untuk pasangan lain boleh jadi kurang sesuai untuk situasi kita sendiri. Begitu juga kebahagiaan orang lain tidak seharusnya menjadi kayu ukur bagi kebahagiaan yang ingin dicapai oleh seseorang individu serta pasangan masing-masing,” ujar Ustaz Mohamed Asysallehan.
Program Persiapan Perkahwinan bersama Ustaz Fakhrudin Amin. (Gambar: Ustaz Fakhrudin Amin)
Maka, dengan mengikuti kursus rumahtangga, pasangan mempelai akan dilengkapi dengan ilmu dan tip-tip yang berguna, insya-Allah.

Ini termasuk mengenali diri dan pasangan dengan lebih mendalam menerusi perbincangan mengenai kekuatan diri, aspirasi dan jangkaan mereka. Pasangan mempelai juga akan mempelajari teknik berkomunikasi dengan berkesan, mencari huraian kepada masalah, merancang kewangan, memperkukuh hubungan dengan keluarga, memupuk kepercayaan antara satu sama lain serta menimba kemahiran bagi menjalin hubungan sihat termasuk dari segi keintiman dengan pasangan.

“Antara maklum balas yang kami terima daripada pasangan setelah mengikuti kursus rumahtangga, mereka lebih jelas tentang peranan masing-masing dan lebih bersedia menghadapi cabaran yang biasa dalam kehidupan berumah tangga. Kursus rumahtangga ini adalah menyeluruh di mana ia direka mengikut kesesuaian pasangan yang berbeza-beza seperti pasangan bawah umur, pasangan muda, pasangan yang pertama kali bernikah dan pasangan yang ingin mendirikan rumahtangga sekali lagi. Ia juga percuma, tidak perlu bayaran dan ada juga yang bersubsidi tinggi, jadi pasangan tak perlu bimbang mengenai kemampuan untuk mengikuti kursus rumahtangga. Saya sangat berharap pasangan akan menyertai kursus rumahtangga sebelum memasuki alam perkahwinan dan para ibu bapa galakkan anak-anak yang bakal mendirikan rumahtangga untuk menyertainya” kata Ustaz Mohamed Asysallehan lagi.

KRITERIA IKUTI KURSUS PERSIAPAN RUMAHTANGGA

Terdapat kursus rumahtangga yang dikendalikan oleh agensi-agensi yang diluluskan oleh MSF.

Untuk lebih banyak maklumat mengenai kursus rumahtangga yang dikendalikan oleh agensi yang dilantik MSF, pasangan boleh melungsuri laman https://go.gov.sg/msfmarriagepreparation atau bertanya dengan Naib Kadi mereka. Maklumat mengenai A Singapore Made For Families 2025 pula boleh diperolehi di https://go.gov.sg/MFF2025plan.
Sumber : BERITA Mediacorp/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan